Monday, 2 October 2017

Pemuda Tak Dikenali Nama

Lebih tiga jam memandu Cork ke Dublin Ireland, sambil Spotify mengalunkan tarannum Surah YaaSiin, kisah pemuda tak dikenali nama yang bersungguh menyampaikan risalah (وجاء من اقصى المدينة رجل يسعى).

Beberapa pelajaran yang boleh diambil. Antaranya, kita mahu membiasakan budaya tidak mengejar nama, pangkat dan harta dalam jalan dakwah ini (لا يسألكم أجرا), sepertimana pemuda dalam ayat ini tidak disebutkan namanya. Kita hanya menjual jiwa dan harta kita ikhlas pada Allah semata-mata.

Kedua, biarpun di mana kita duduk, walau di jauh dan lama perjalanan menemui mad’u, semangat untuk menyampaikan itu jangan terpadam. Iman yang terpelihara baik dalam diri pendakwah akan menggerakkannya untuk beramal dan menyampaikan risalah-Nya (إني آمنت بربكم فاسمعون).

Ketiga, apapun usaha yang telah kita letakkan, semuanya akan dihisab dan diganjarkan oleh Allah, walau mungkin seruan tidak disambut manusia. Seperti lelaki tersebut yang akhirnya dimasukkan kedalam syurga (قيل ادخل الجنة). Meskipun begitu, tidaklah menafikan perlunya kita saling menghargai usaha dan susah payah sesama kita.

Moga kisah dalam surah YaaSiin ini memberikan pengajaran dan semangat dalam diri kita dalam mempraktiskan dan menyampaikan ajaran Islam walau di mana jua.

Monday, 25 September 2017

Qudwah

#NotaSemBaru Qudwah

Anjuran untuk mengikut teladan orang yang baik, soleh dan cemerlang (qudwah) dapat difahami melalui ayat uswatun hasanah (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) dalam AlQuran.

Perkataan yang sama turut digunakan agar kita mencontohi Nabi Ibrahim as yang dimaklumi teguh dengan prinsip akidah baginda, seperti yang tertulis dua kali dalam surah AlMumtahanah.

Selain pemilihan role model, arah hidup kita turut dipandu berdasarkan dengan siapa kita berkawan. Allah menggambarkan penyesalan mereka yang dahulunya tidak memilih untuk mengikut jalan Rasul (يا ليتني اتخذت مع الرسول سبيلا) dan tidak pandai dalam memilih kawan baik (يا ويلتى ليتني لم أتخذ فلانا خليلا).

Juga terdapat anjuran agar kita menghindari daripada bersama “circle of influence” yang tidak positif (فلا تقعدوا معهم), dirisaukan kita menjadi seperti mereka (إنكم إذا مثلهم) atau setidak-tidaknya terikut-ikut dengan gaya mereka.

Atas jalan tarbiyyah ini, qudwah dijadikan sebagai salah satu komponen yang dititikberatkan. Bukan sekadar cemerlang sebagai dai, juga cemerlang dalam bidang diceburi. Mereka yang pada hari ini tepat dalam mencontohi, esok sampailah pula giliran mereka mencontohkan.

Juga bersempena musim ketibaan pelajar baru ini, eloklah kita merenung dan berpesan pada diri kita dan mereka dengan nasihat ini agar perjalanan ilmu di sini dapat dilangkah dengan baik

* Terima kasih Abah yang menginspirasi - Anugerah Fellowship Royal College Obstetricians & Gynaecologists London

Sunday, 17 September 2017

Slogan Indah Bertoksik


#NotaHujungMinggu - Slogan Indah Bertoksik

1. Membaca kisah nabi Adam as dalam Quran, iblis menggoda baginda dengan slogan atau konsep yang indah - kemalaikatan dan kekal dalam syurga.

2. Konsepnya nampak cantik - malaikat bersifat taat dan tidak bermaksiat. Berkelebihan dari sudut rupa bentuk, sayap dan kemuliaan. Digabungkan pula dengan sifat kekal - cukup untuk jadi pakej indah - beribadah di syurga hingga ke akhirat.

3. Dan kita pun tahu apa sebenarnya maksud janji iblis tersebut. Daripada kisah ini juga kita pelajari tabiat "jejak langkah | خطوات" syaitan. Tidak diajak terus pada maksiat, sebaliknya dipancing selangkah demi selangkah dengan perkara yang harus dan indah.

4. Hari ini, giliran anak Adam pula dipancing dengan konsep yang sama cantik - demokrasi, equality, progresif, tolak toksik dan sebagainya. Perlembagaan, manifesto serta sepanduk mereka dihias dengan istilah sebegini untuk menarik penyokong mereka.

5. Golongan yang bijak tidak mudah tertipu dengan keumuman slogan yang dilaungkan. Mereka akan memerhati ke mana sebenarnya slogan itu akan dibawa. Mereka turut menganalisis tindak tanduk pelaung slogan tersebut adakah serupa bikin.

6. Yang melaung demokrasi rupanya bersifat tokong dan mendeskriminasi. Yang laungkan kesamarataan, rupanya mahukan lgbt dan dakyah asing diangkat ke arus semasa. Yang mengaku progresif rupanya melenting apabila dikritik dan menutup ruang berhujah. Yang tak nak politik toksik rupanya mentoksikkan pula akidah dan kemahuan syariah.

7. Janji tinggal janji. Ibarat syaitan yang menjanjikan manusia kebaikan, sedangkan mereka tidak mendapat apa-apa melainkan keburukan | يعدهم خيرا، فلا ينالون إلّا شرّا

8. Cuma yang peliknya, kenapa ada Islamis yang tidak menaikkan sendiri slogan yang mereka ada, tawarkan alternatif pada masyarakat dan ketuai front untuk mengetengahkannya. Sebaliknya mereka selesa menumpang teduh bawah slogan make-up ini. Harapannya mereka tidak terhilang kompas atau malu-malu alah.

Sunday, 10 September 2017

Biasakan Diri ke Masjid


#NotaHujungMinggu - Biasakan Diri ke Masjid

* Ini lapan manfaat yang penulis nukilkan apabila kita membiasakan diri ke masjid: Ayat yang berhikmah. Saudara yang memberi manfaat. Ilmu baru. Rahmat yang dinantikan. Perkataan yang membawa pada petunjuk. Perkataan yang menghindar daripada bahaya. Menjauhi dosa kerana malu. Menjauhi dosa kerana takut.

1. Duduk di UK, nak ke masjid lebih mencabar. Azan yang dah tak kedengaran lagi di rumah ditambah lagi waktu solat yang cepat berubah, juga suhu yang selalunya sejuk, tak seperti di Malaysia. 5 minit jarak ke masjid pun seolahnya mencukupkan syarat untuk uzur daripada berjemaah di masjid.

2. Semangat ini boleh dirawat dengan menyedari dan membaca kelebihan yang ada jika melazimkan diri ke masjid. Juga bersahabat dengan mereka yang rajin ke masjid. Dalam surah AtTaubah, Allah menyebut sifat orang yang memakmurkan diri ke masjid sebagai orang beriman dengan Allah dan hari akhirat, menunaikan solat, zakat serta tidak takut melainkan pada-Nya.

إنما يعمر مساجد الله من آمن بالله واليوم الآخر وأقام الصلاة وآتى الزكاة ولم يخش إلا الله

3. Di masjidlah tempat perkumpulan pelbagai bangsa. Tempat berinteraksi dan bertoleransi. Tempat iman disegarkan, tsaqafah agama diluaskan.

4. Seorang dai pula meletakkan kehadirannya ke masjid sebagai ukuran kekuatan peribadinya. Walaupun dia aktif berprogram ke sana sini, manusia juga mengenalinya sebagai pendakwah, tetapi jika kehadirannya ke masjid dalam seminggu boleh dibilang jari, dia berasa malu. Tanda dzatiyyah dirinya tak kuat. Bagaimana pula nak mengharapkan zatiyyah orang lain yang diserunya pula untuk kuat. Jika panggilan Tuhan pun diabaikan, apa pula layaknya bagi manusia lain untuk menyahut seruan dirinya.

5. Moga semangat kita untuk ke masjid sentiasa terus kuat, dan tergolong dalam golongan yang hatinya terpaut pada masjid, sebagaimana dalam hadis mereka yang akan mendapat naungan pada hari akhirat.

* Petikan Pelembut Hati - Muhammad Ahmad ArRasyid



Wednesday, 6 September 2017

Ini Negara Perjuangan


“Jika cita-cita perjuangan kita merupakan suatu bangunan, maka kita semua adalah merupakan batu-bata yang disusun menjadi kesatuan bagi mendirikan bangunan itu.”

Sungguh berhikmah kata-kata Dr Burhanuddin Al Helmi ini, seorang tokoh zaman kemerdekaan, dikenali dengan pembawaan naratif mengharmonikan perjuangan Melayu dan Islam. Jika diperhatikan, nada yang sama Allah telah gunakan dalam surah AsSaff ketika berbicara tentang golongan yang Dia cintai.

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”

Mesejnya sama; setiap daripada kita merupakan sebahagian daripada perjuangan ini. Menyediakan dan menggabungkan diri dalam kisah perjuangan ini pula akan menghasilkan ketumbukan yang kuat.

Gabungan kata-kata ini juga menimbulkan perasaan yang indah, bahawa perjuangan negara merupakan sesuatu yang selari dengan agama. Terasa gah ketika berjuang untuk negara, lantaran perlembagaannya bersendikan Perkara 3; Islam merupakan agama negara. Terasa manis juga berjuang berlandaskan agama, kerana Islam turut mengiktiraf rasa cinta pada negara, seperti doa Ibrahim dalam surah AlBaqarah, 2:126; agar negeri baginda dikurniakan keamanan dan kemakmuran | ربّ اجعل هذا بلدا ءامنا وارزق أهله من الثمرات

Namun, erti perjuangan perlu dihayati dengan maksud yang betul. Perjuangan anak muda jangan ditafsir dengan berjuang menimbulkan huru-hara dalam majlis, menerbangkan kasut dan kerusi. Bukan juga bertempur antara geng merah dengan geng kuning seumpamanya.

Perjuangan anak muda ialah seperti Musab b Umair ra. yang meskipun kaya, tegar mempertahankan prinsip akidah walau diugut oleh ibunya. Sanggup mengorbankan kemewahan untuk menyediakan asas kukuh untuk pembinaan negara Madinah dan empayar Islam. Di penghujung kesyahidannya di medan Uhud, datang dilemma sama ada memilih untuk mengkafani kepala atau kakinya. Maka terlihat jelas prioriti hidup beliau pada kita.

Atau perjuangan seperti Tokku Paloh, Datuk Bahaman dan Abdul Rahman Limbong – ilmu dan bakti mereka kepada masyarakat menggunung, setinggi semangat juang mereka juga dalam melawan penjajah Inggeris. Atau perjuangan melalui idea dan kepimpinan seperti Tun Perak yang membawa ahli keluarga mengiringi pemuda mereka berperang melawan Siam. Maruah pejuang di depan keluarga perlu tinggi, jika tidak, maruah anak isteri pula yang akan diratah penjajah.

Ataupun jika kita dikaitkan dengan situasi negara pada hari ini, perjuangan kita lebih kepada keluar daripada zon yang selesa dengan kehidupan masing-masing. Tanpa disedari, nilaian agama dan bangsa kita dicabar, rasuah cuba dinormalkan, politik pula diwarnai dengan gaya flip flop, tidak matang dan tidak memenangkan Islam. Maka kita memerlukan generasi baru yang amanah, berpendidikan dan berkebolehan untuk menongkah arus mewujudkan pembaharuan dan tidak terikut-ikut gaya tidak beragenda generasi sebelumnya.

Yang penting, batu-bata generasi baru ini perlulah tinggi nilaian mutunya, ibarat akronim IMAN – perlu ada Ilmu yang bermanfaat, Mujahadah yang istiqamah, Amal yang berterusan dan Nafsu yang terbimbing.

Umur kemerdekaan yang mencecah enam dekad sewajarnya tidak menyebabkan kita semakin lalai dalam nikmat ini, sebaliknya menjadikan kita sedar bahawa perjalanan perjuangan ini masih tidak terhenti. Maka penting untuk kita menjadikan diri siginifikan dalam perjuangan ini lalu menghalakannya secara sehati sejiwa bersama.

Mengenang Pahlawan



Pengajiannya tidak hanya di situ
Dengan Tokku Paloh pernah berguru
Sama Syed Saqqaf, ayahanda tuan guru
menentang Inggeris dalam negeri Terengganu

Sesudah Tokku Paloh tiada
Inggeris cuba bermahajaralela
Tanah dibahagi-bahagi, dicukai pula sesuka hati
Amalan orang kampung semuanya ditegah
Mana lesen untuk meneroka tanah
Kata orang kampung
Ini buluh untuk dibuat lemang
untuk daun palas untuk ketupat
ini sagu ditebang untuk padinya
ini daun mengkuang untuk  dibuat tikar
durian dan petai pun mahu dicukai

Kota Mekah pernah menyambut usia remajanya
Kota Mekah juga menyambut usia penghujungnya

Friday, 1 September 2017

Penghalang untuk Berkorban


#SalamAidilAdha
Antara perkara penghalang untuk berkorban - lemah keazaman, cintakan dunia dan pentingkan diri.

Moga Allah menerima segala ibadah dan pengorbanan kita | الله أكبر ولله الحمد

Friday, 18 August 2017

Aktivisme dan Tanggungjawab


#NotaJumaat - Aktivisme dan Tanggungjawab

Lanjutan isu Pelajar Luar Negara dan Krisis Makna, ini beberapa persoalan yang dilontarkan oleh penulis, yang wajar difikirkan persatuan yang menghimpunkan pelajar muslim di luar negara.

Isu ini walaupun menimbulkan naratif respons berbeza, namun persoalan utama yang perlu difikirkan ialah tentang aktivisme mahasiswa - adakah ia terpandu dengan baik.

Mengambil isu gereja sebagai contoh, pastinya ada disiplin yang perlu dipatuhi dalam menggunakan rumah ibadat ini. Adakah dengan tiada alternatif, maka ia dikira halal seperti dalam suasana darurat. Begitu juga disiplin dalam aktiviti lain seperti Malaysian Night, konsert hiburan, wacana pemikiran - pasti ia memerlukan "guideline" yang tak boleh halal dilanggar dengan alasan "international".

Mana-mana persatuan pun wajar untuk berjaga-jaga dengan "endorsement" yang mereka berikan. Jawatan yang dimenangi semasa pemilihan bukan sekadar menambah kaliber diri, tetapi turut juga membawa bersama tanggungjawab pahala dosa ahli.

Seperti yang dimaklumi dalam hadis, setiap daripada kita akan dipertanggungjawabkan terhadap ahli masing-masing | كلّكم مسؤول عن رعّيّته

Isu ini timbul kerana masih ada sensitiviti mendahulukan wahyu dan kepentingan Islam sebagai perkara nombor satu dalam perkiraan aktiviti. Tidak dapat dinafikan rasa diri sebagai muslim masih ada dalam mahasiswa di sini. Tetapi jika aktivisme dan "award" yang lebih diutamakan, pertimbangan hukum hakam ini akan dipandang sepi - siapa yang pandai main politik dan logik, ikutlah cara dia bawa organisasi.

Thursday, 17 August 2017

Hadis 31: Zuhud

Zuhudlah dengan dunia, maka Allah akan Menyayangimu. Zuhudlah dengan apa yang ada pada manusia, dia akan menyukai kamu [Hadis Hasan riwayat Ibn Majah]


1. Zuhud di dunia, ada banyak ayat Quran memujinya, (selalunya digandingkan juga mencela pada dunia). (Al A'la, AlAnfaal, AlQasas)

2. Makna zuhud pd sesuatu: Menjauhinya agar sedikit dan mencelanya. Zuhud pada dunia bukannya dengan mengharamkan yang halal, bukan mensia-siakan harta.

3. Kamu tak mampu menyaksikan kezuhudan pada diri seseorang, kerana zuhud merupakan perkara hati. Kerana zuhud ditafsirkan melalui tiga perkara -
(a) Menjadikan apa yang ada pada Allah itu lebih dipercayai daripada apa yang ada pada diri sendiri.
(b) Ketika ditimpa musibah sama sahaja ketika tidak ditimpa musibah.
(c) Ketika orang yang memuji kamu sama saja (kamu rasa) dengan orang yang mengutuk kamu.

4. Abu Hazim AzZahid ditanya - tidakkah kamu takut pada kefakiran? Jawabnya, Aku perlu takut kefakiran? Sedangkan Penjagaku, Dia lah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi serta yang ada di antara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut bumi.

5. Orang yang zuhud, ketika melihat seseorang, dia berkata, orang ini lebih baik daripada diri aku. Zuhud hakiki ialah ketika zuhud dalam memuji dan mengagumi diri sendiri.

6. Pembahagian zuhud. Sebaik-baik zuhud, zuhud daripada kesyirikan. Kemudian zuhud daripada perkara haram. Kemudian zuhud dalam perkara halal.

7. Zuhri ditanya tentang orang yang zuhud. Iaitulah orang yang perkara yang haram tidak mampu mengalahkan kesabarannya. Sedangkan perkara yang halal tidak menyibukkannya daripada bersyukur.

8. Anak Adam terbahagi dua dalam hal dunia: (a) ingkar adanya hari pembalasan selepas dunia (b) sedar selepas kematian ada pembalasan. (b1) zalim (b2) biasa-biasa (b3) berlumba kejar kebaikan dengan izin Allah

9. Zuhud dengan apa yang ada pada manusia -
(a) Janganlah berharap dengan apa yang dimiliki manusia, nesacaya anda akan menjadi kaya.
(b) Kemuliaan seorang mu'min ialah dengan dia bangun malam dan tidak meminta-minta pada manusia
(c) Sesiapa yang meminta apa yang dimiliki manusia, mereka akan membenci dan menjauhinya, kerana harta disukai oleh nafsu bani Adam. Sesiapa yang meminta apa yang mereka suka, maka mereka membencinya.

10. A'rabi bertanya pada penduduk Basrah: Siapa pemimpin kawasan ini. Mereka menjawab, Hasan. Bagaimana dia memimpin mereka? Mereka menjawab, manusia berharap pada ilmunya. Beliau pula menghindari daripada (harta / hal) dunia mereka.

Saturday, 12 August 2017

Zuhud


#NotaHujungMinggu - Zuhud

Salah satu ciri kezuhudan pada diri seseorang ialah dia berasa sama sahaja sama ada ketika orang memujinya atau mencelanya dalam perkara-perkara yang hak.

Sifat ini disebut ketika penulis menukilkan definisi zuhud, iaitulah bukannya dengan mengharamkan perkara yang halal dan mensia-siakan harta, tetapi perasaan percaya yang kuat pada Allah, rasa sama sahaja ketika ditimpa musibah atau tidak, dan ketika dipuji atau dicela.

Kadang-kadang ketika kita menyuarakan kebenaran, akan ada suara yang menentang, sama ada kerana permusuhan atau kejahilan. Tetapi orang yang zuhud tetap kekal pada kebenaran dan tidak mahu mengkomprominya. Dia tidak sanggup menjemput kemurkaan Allah hanya kerana ingin memenangi hati manusia dan disenangi mereka.

Dalam AlQuran, terdapat ayat yang memuji mereka yang berjihad di jalan Allah, dan tidak takut pada celaan orang yang mencela (AlMaidah).

Semoga kita tergolong dalam golongan yang zuhud ini, dicintai Allah, disenangi manusia serta selamat di dunia dan akhirat.

Petikan Jamiul Ulum Wal Hikam - Imam Ibn Rajab alHanbali rhm

Thursday, 27 July 2017

Bagai Semalam Baru Bersua


Random Pick. Maaf atas jemputan yang tak terhantar dan tak dipenuhi. Terima kasih semua di Malaysia atas keramahan. Moga kita berjumpa lagi 😁

Friday, 26 May 2017

19 Jam Puasa - Terisi dengan Apa?


1. Selamat Memasuki Bulan Ramadan AlMubarak. Bulan yang dijanjikan keampunan bagi mereka yang berpuasa dan mendirikannya dengan keimanan dan pengharapan. Diwajibkan juga berzakat dan dianjurkan banyak bersedekah. Hubungan dengan Allah dan ukhuwwah dengan manusia, kedua-duanya dijaga.

2. UK yang sedang musim panas, tempoh puasanya selama 19 jam. Masa yang panjang ini elok diisi dengan tilawah AlQuran, hafazan, tadabbur dan bacaan ilmu. Kalau tidak dirancang, ia tetap juga terisi, tetapi mungkin dengan perkara yang tidak produktif dan berpahala seperti tidur dan lepak kosong.

3. Pada bulan inilah syaitan dibelenggu dan tiada lagi unsur luar yang menghasut kita untuk melakukan perkara sia-sia-sia dan maksiat. Jika bulan ini kita tidak meningkat dan berhijrah, maka pada masa yang bila lagi. Bak kata pepatah moden, "Ini Kalilah!"

Ramadan Karim
Jumaat 26 Mei 2017

Tuesday, 23 May 2017

Kubur Kamu Sedang Digali

#NotaJumaat Apa perasaan kamu, kalau pada waktu ini kubur kamu sedang digali? | كيف بك إذا حُفر لك من الأرض اربع أذرع

Pernah suatu ketika Abu Darda r.a. melihat seorang lelaki ketawa terbahak-bahak, lalu dia mengungkapkan perkataan ini, lalu lelaki tersebut berhenti bergelak.

Nasihat seperti ini menyebabkan kita tersedar daripada kelalaian, memikirkan apa nasib dan bekalan yang akan dibawa ke alam akhirat kelak.

Ketika Jumaat malam sudah dilapangkan untuk hiburan, timeline fb pula padat dengan klip lawak dan ketawa, nasihat seperti ini mungkin dipandang sentap atau kacau daun.

Tetapi bagi yang sedar, mereka melihat bahawa hatinya tidak boleh berada dalam kelalaian. Perubahan tidak berlaku melainkan dengan hati yang bersemangat, perancangan yang teliti dan pelaksanaan yang kemas. Jika tidak, berpadalah dengan apa yang ada, cita-cita hanya akan tinggal angan-angan.


Wednesday, 15 February 2017

Valentine Day Hari Hawa Nafsu

Valentine Day ini sebenarnya sudah menjadi hari dan sambutan untuk seks, menurut Stokely (2013). 85% lelaki dan perempuan berharap untuk melakukan hubungan seks pada 14 Februari hinggakan 40% daripada 2000 koresponden seorang kaunselor di CNN ini berharap untuk lakukan seks dengan siapa sahaja asalkan tidak keseorangan.

Beginilah arus hawa nafsu menundukkan manusia. Hinggakan kempen menentang valentine turut dibantah, sebagai kesan deras arus hawa nafsu ini (AlJatsiyah, 45:23). Siapa yang melawan arus ini akan dianggap ekstremis dan tidak memahami kepelbagaian.

Valentine Day bukan lagi perayaan, sambutan atau budaya yang perlu dihormati atas sebab toleransi dan kemajmukan masyarakat, sebaliknya hari masyarakat memuaskan nafsu; suatu yang bertengangan dengan fitrah manusia, baik beragama Islam atau tidak.

Faqih Ahmad Shuhaili
Selasa 14 Feb 2017

Monday, 13 February 2017

Menjawab Kritikan Terhadap Kempen Tolak Hari Valentine


Apabila 14 Februari tiba, pastinya akan diadakan kempen untuk menolak Hari Valentine, hari yang sinonim dengan bermesra antara kekasih. Ia menjadi bahaya apabila diraikan oleh pasangan yang tidak mempunyai ikatan perkahwinan yang sah kerana dikhuatiri akan membawa kepada zina dan buang anak. Maka tidak ada salahnya kempen ini, kerana ia merupakan suatu seruan agar masyarakat menjauhi perkara munkar seperti dalam surah AlIsra’, 17:32 – Janganlah kamu menghampiri zina. Namun ada kritikan juga pada Kempen Tolak Valentine ini.

“Tak ke Kempen ni Ganggu Perasaan Bukan Islam?”
Ada yang mengatakan ia mengganggu perasaan mereka yang bukan Islam. Mereka akan “terasa” kerana itu budaya mereka dan mereka tidak terikat dengan hukum Islam. Menjawab kritikan ini, sebenarnya kempen ini bertujuan agar masyarakat terhindar daripada hubungan bebas lelaki perempuan, yang kebiasaannya akan membawa kepada hubungan luar nikah. Bahayanya merentas agama. Tidak ada budaya dan agama yang membiarkan jalan-jalan kepada zina. Juga tidak ada faedahnya (AlMu’minuun, 23:3) berhubungan intim tanpa ikatan sah. Selain membazir masa dan menjejas komitmen, mereka yang terlibat dengan hubungan tanpa tanggungjawab ini akan mudah menjadi mangsa eksploitasi terutamanya wanita. Atas sebab inilah Islam menutup jalan kepada zina dan menggalakkan perkahwinan. Faedahnya membawa manfaat kepada semua (rahmatan lilalamin AlAnbiyaa, 21:107) termasuk yang bukan beragama Islam.

“Tak Perlulah Kita Buat Kempen Ni. Baik Senyap Je”.
Kritikan lain mengatakan kita perlu senyap sahaja tentang perayaan ini, tidak perlu adakan kempen, seolah-olah kempen akan mengingatkan masyarakat pada Hari Valentine. Hakikatnya siang malam hari ini dikempenkan di media cetak, media elektronik, internet, pasar raya, jalanan dan di mana-mana sahaja. Diam tidak berkempen hanya akan menderaskan lagi arus negatif Hari Valentine ini. Meriahnya kempen menggalakkan Hari Valentine sewajarnya dilawan dengan magnitud yang sama oleh pihak yang sensitif terhadap kemungkaran di sekeliling. Selari dengan hadis apabila kita melihat kemunkaran, kita hendaklah mencegahnya dengan tangan, mulut dan hati.

“Isyh, Korang Ni Asyik Haram, haram, haram”.
Kritikan lain yang diberikan ialah tiada alternatif yang diberikan untuk menggantikan Hari Valentine ini. Seolah-olahnya pendakwah hanya pandai melarang. Sebenarnya tiada alternatif kepada hubungan tanpa ikatan perkahwinan melainkan dengan cara berkahwin dan berusaha ke arahnya (ArRuum, 30:21). Sebagai alternatif kepada kekasih, raikan kemesraan anda terhadap ibu bapa sendiri, adik beradik dan kawan sekeliling; mereka ini yang lebih wajar dikasihi. Bagaimana pula prestasi kasih kita terhadap junjungan nabi (Ali Imran, 3:31), ini juga perlu lebih dirisaukan. Bahkan kasihkan mereka ini tiada had masa seperti ketika 14 Februari sahaja, tiap-tiap masa boleh dicurahkan dengan cara yang sah. Ia lebih baik daripada terlibat sama dengan sambutan Hari Valentine yang tidak memberi faedah ini, bahkan berpotensi untuk menggalakkan hubungan yang tidak sah, zina, juga buang anak.

“Nanti Bila Dah Habis Valentine Nanti Kahwinlah”
Kritikan lain pula cuba membenarkan sambutan jika pasangan tersebut sudah ada niat untuk berkahwin suatu hari nanti. Ia nampak baik, namun dirisaukan sebagai satu cara syaitan menghiaskan amal buruk tersebut (AlAnkabuut, 29:28). Selagi belum berkahwin, apatahlagi belum bertunang, selagi itulah hukum berkaitan hubungan antara ajnabi terpakai. Ada adab syariat yang perlu dipatuhi, bukannya berdua-duaan meluahkan kasih secara bebas tanpa peraturan.

“Apa Pulak Kena Mengena Valentine dengan Aqidah?”
Ada juga yang mengkritik menyambut Hari Valentine tidak menggugat akidah seseorang. Sebenarnya pemikiran simplistik ini berbahaya seolah-olah apabila akidah sudah rosak barulah ia akan disesalkan. Pada ketika itu sudah susah untuk kembali ke pangkal jalan. Cuma betulkah ia tidak menggugat akidah walau sedikit? Bukankah akidah beriman kepada Allah menyuruh hamba-Nya taat perintah Allah agar menjauhi zina. Apabila syariat dilanggar, ikatan akidah akan menjadi longgar dan sedikit demi sedikit sensitiviti untuk menjauhi maksiat itu akan hilang. Lalu keluarlah alasan ini seolah-olah yang mengucapkannya sudah yakin akidahnya terlalu kuat mengakar.

Buat penutup, masa muda merupakan masa emas yang perlu diluangkan pada eksplorasi potensi diri dan berbakti pada masyarakat, bukannya dilalaikan dengan sambutan yang tidak meningkatkan diri ini. Agenda hidup perlu jelas dalam membina diri, keluarga dan masyarakat supaya selari dengan agama, kerana jika kita tidak jelas dengan agenda sendiri, kita akan mudah untuk diagendakan oleh orang lain dengan sia-sia.

Popular Posts (All Time)