Thursday, 27 August 2009

Sahur + Imsak

Post pasal kuiz di bawah ni menimbulkan persoalan. So, let's clarify it.
Diambil dari web HafizFirdaus.com. Manfaat untuk dikongsi bersama.

PERKARA YANG DITINGGALKAN

[2] Meninggalkan sahur pada akhir waktu
Termasuk perkara yang ditinggalkan dalam amalan berpuasa ialah meninggalkan sahur pada akhir waktu. Sudah menjadi kebiasaan sebahagian orang bersahur pada lewat malam, lebih kurang pukul 11 atau 12 malam, kemudian tidur sehinggalah masuk waktu Subuh. Ini menyalahi sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang mengajar kita kepentingan bersahur dan melewatkannya sehingga ke saat jelas kepada kita waktu Subuh telah masuk.

Baginda bersabda:
Bersahurlah kerana sesungguhnya di dalam sahur ada keberkatan.[7]

Pembeza antara puasa kita dengan puasa Ahli Kitab ialah makan sahur.[8]

Daripada Anas bin Malik, Zaid bin Tsabit menerangkan bahawa mereka bersahur bersama Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, kemudian bangun pergi mendirikan solat (Subuh). Anas bertanya: “Berapa lamakah tempoh antara keduanya (antara sahur dan solat Subuh)?” Zaid menjawab: “Sekadar tempoh membaca 50 atau 60 ayat al-Qur’an.”[9]
Hadis pertama dan kedua menerangkan keutamaan dan kepentingan bersahur. Hadis ketiga menerangkan kepada kita bahawa sebaik sahaja selesai bersahur, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bangun untuk bersolat. Ini menunjukkan bahawa waktu sahur selesai sebaik sahaja masuk waktu Subuh. Tempoh antara sahur dan solat selama bacaan 50 atau 60 ayat bukanlah menunjukkan masa berakhirnya sahur sebagaimana yang difahami oleh sebahagian pihak[10], tetapi menunjukkan tempoh bermulanya sahur. Katakanlah tempoh membaca 50 atau 60 ayat adalah sekadar 20 minit dan waktu Subuh ialah 5.40 pagi, maka mereka mula bersahur pada pukul 5.20 pagi.
Bersahur bererti makan dan/atau minum pada akhir waktu untuk berpuasa. Sebanyak mana yang ingin dimakan dan/atau diminum terpulang kepada setiap individu. Ada sebahagian orang yang selesa dengan jamuan yang berat manakala ada sebahagian lain yang selesa dengan jamuan yang ringan. Bahkan mungkin ada yang selesa sekadar minum air segelas. Yang penting bukanlah berat atau ringan jamuan tersebut tetapi adalah bangun untuk bersahur. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Makan sahur adalah keberkatan maka janganlah kamu tinggalkannya sekalipun kamu hanya minum seteguk air kerana sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas orang yang bersahur.[11]


PERKARA DITOKOK TAMBAH

[3] Menetapkan waktu imsak
Menetapkan waktu imsak 5 atau 10 minit sebelum masuknya waktu Subuh adalah satu ketetapan yang tidak ditetapkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, malah ia menjauhi tuntutan sunnah untuk mengakhirkan waktu sahur. Alasan “berhati-hati” adalah tidak perlu kerana kita dibolehkan makan dan minum sehingga jelas masuknya waktu Subuh.

Allah 'Azza wa Jalla berfirman:
Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. [al-Baqarah 2:187]

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
“Sesungguhnya Bilal azan ketika waktu masih malam, oleh itu makanlah dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan azan.” (Perawi menerangkan): “Beliau (Ibn Ummi Maktum) adalah seorang yang buta, dia tidak akan melaungkan azan sehingga dikatakan kepadanya: Waktu Subuh telah masuk, waktu Subuh telah masuk.”[17]

Dalam ayat dan hadis di atas, jelas bahawa dibolehkan untuk bersahur, yakni makan dan minum, sehingga jelas terbitnya fajar atau dilaungkan azan Subuh. Tidak wujud waktu imsak 5 atau 10 minit sebelum waktu Subuh.

3 comments:

  1. arap2 kat kmb dpt sahur la kat ds
    taun lps sahur kat blik je..ha3

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah. Faham jugalah saya akhirnya waktu sahur dan waktu akhir sahur. Waktu habis sahur adalah waktu azan subuh berkumandang (waktu solat subuh masuk). Waktu imsak adalah waktu berjaga-jaga sebelum masuk waktu subuh dan bukannya waktu sudah tak boleh bersahur...

    ReplyDelete

Labels