Tuesday 31 July 2012

[41:11] Kami Berdua Sedia Patuh dengan Sukarela


Dalam Bahasa Arab, ayat ini dibaca "Atainaa Thoo'i'iin". Ketika Allah menceritakan kekuasaan-Nya, ada Dia menyebutkan mengenai langit dan bumi. Ketika langit dalam keadaan asap dan bumi pula dalam keadaan sudah didirikan gunung dan disediakan bahan keperluan utk makhluk-Nya, Dia berfirman kepada kedua-dua langit dan bumi agar menuruti perintah-Nya, sama ada secara rela atau paksa. Lalu langit dan bumi menjawab, mereka mentaati-Nya secara sukarela, penuh ketaatan dengan segala sesuatu yang terdapat pada mereka yang Allah ciptakan.

Kemudian Ia menunjukkan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Ia berfirman kepadanya dan kepada bumi: "Turutlah kamu berdua akan perintahKu, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!" Keduanya menjawab: "Kami berdua sedia menurut - patuh dengan sukarela"
[Fussilat, 41:11]

Begitulah langit dan bumi dalam mentaati Tuhan mereka. Kita berdoa kepada-Nya agar diberikan ketaatan yang serupa sebagaimana yang ditunjukkan oleh bumi yang kita pijak dan  langit yang kita teduh ini, sehingga apabila diseru Tuhan kita, kita mampu menjawab, "Atainaa Thoo'i'iin".

Monday 30 July 2012

[36:21] Orang yang tidak Meminta Balasan kepadamu


Dalam bahasa Arab, ia disebut "man laa yas'alukum ajron". Pernah pada zaman dahulu, ketika tidak memadai Allah menghantar rasul yang ketiga kepada sesuatu kaum, Dia menambah seorang lagi utusan (keempat) yang datang tergesa-gesa ke arah kaum tersebut, sambil bersungguh-sungguh mengajak mereka mengikut rasul-rasul tersebut yang mempunyai dua sifat: Pertama, tidak meminta balasan atas dakwah mereka dan kedua, diberikan hidayah petunjuk.

"Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayah petunjuk".
[YaaSiin, 36:21]

Moga kita jugalah orang yang disebut sebagai ""man laa yas'alukum ajron" ini. Ikhlas menyebarkan risalah kepada umat untuk membawa mereka kepada kebenaran, bukan terdorong / mengejar faedah duniawi semata, sebaliknya berusaha memberikan sebaik-baik pengorbanan. Kata orang, bukan balasan yang dimahukan, bahkan terkadang cacian pula yang datang tak diundang.

Saturday 28 July 2012

[4:148] Perkataan Buruk (yang Dikatakan) dengan Berterus Terang


Dalam bahasa Arab, ia disebut al Jahra bi ssuu'. Asalnya, ia sesuatu yang tidak dibolehkan kerana tidak disukai Allah, namun diberikan pengecualian bagi mereka yang dizalimi; mereka dibenarkan untuk mendoakan perkara buruk untuk orang yang menzaliminya. Namun, Allah yang sentiasa Mendengar dan Maha Mengetahui ini memperingatkan bahawa jika dia bersabar, itu pastinya lebih baik.

Pernah ada seseorang datang kepada Rasulullah saw mengadukan bahawa dia mempunyai jiran yang menyakitinya, lalu baginda menyuruhnya mengeluarkan semua barang dari rumah untuk diletakkan di jalanan. Setiap kali orang ramai lalu, mereka bertanya "Apa yang terjadi?", lalu dijawab dia disakiti jirannya. Mereka lalu berkata, "Ya Allah, kutuklah dia, hinakanlah dia". Jiran yang menzaliminya sedar lalu berkata, "Baliklah ke rumahmu. Demi Allah, aku tidak akan menyakitimu lagi."

Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[an Nisaa', 4:148]

Tiada siapa sukakan kezaliman. Kita berharap agar orang yang dizalimi diberikan keadilan, yang menzalimi pula dijatuhkan hukuman. Andai kita dizalimi, kita berdoa agar diberikan panduan / kebijaksanaan dalam bertindak balas. Dua cara merespon ditawarkan (lihat an Nisaa', 4:149 juga): Pertama, al Jahra bi ssuu' dan kedua, tunjuk kebaikan, tutup kejahatan dan berikan kemaafan.

Friday 27 July 2012

[18:110] Hendaklah Dia Kerjakan Amal yang Soleh


Dalam bahasa Arab, ayat galakan ini dibaca "falya'mal amalan soolihan". Ayat terakhir surah al Kahfi ini memberikan mesej rendah diri Rasulullah saw, bahawa baginda hanyalah manusia biasa seperti umatnya, diberikan wahyu bahawa Tuhan kita merupakan Tuhan yang Esa. Dua syarat diletakkan untuk bertemu dengan Tuhan yang penuh dengan kasih sayang ini: Pertama, beramal dengan amal soleh seperti yang diperintahkan-Nya dan kedua, tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu dalam ibadah.

Katakanlah: "Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku: "Bahwa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan Yang Esa". Barang siapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya maka hendaklah ia mengerjakan amal yang saleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya".
[al Kahf, 18:110]

Cukuplah untuk dikatakan bahawa pertemuan dengan Allah merupakan nikmat yang sangat besar, yang memerlukan kita menyahut seruan "falya'mal amalan soolihan" ini, selain tidak mensyirikkan-Nya dalam ibadah. Moga kita dikurniakan nikmat yang besar ini di akhirat kelak.

[13:18] Bagi Mereka yang Memenuhi Seruan Tuhannya



Dalam bahasa Arab, ayat ini dibaca "lillaziina stajaabuu lirabbihim." Bagi golongan ini, Allah janjikan Dia akan menyediakan balasan yang baik (al Husna). Bagi yang tidak menyahut seruan-Nya, walau sekaya mana pun mereka di dunia ini, ia langsung tidak akan berguna di akhirat nanti. Kelak di akhirat, mereka akan dihisab dengan buruk, dan diberikan sehina-hina tempat kediaman; neraka Jahannam.

Bagi orang-orang yang memenuhi seruan Tuhannya, (disediakan) pembalasan yang baik. Dan orang-orang yang tidak memenuhi seruan Tuhan, sekiranya mereka mempunyai semua (kekayaan) yang ada di bumi dan (ditambah) sebanyak isi bumi itu lagi besertanya, niscaya mereka akan menebus dirinya dengan kekayaan itu. Orang-orang itu disediakan baginya hisab yang buruk dan tempat kediaman mereka ialah Jahanam dan itulah seburuk-buruk tempat kediaman.
[ar Ra'd. 13:18]

Moga dalam aktiviti seharian, kita selalu peka dengan sentuhan hidayah dan seruan daripada-Nya, mentaati perintah-Nya dan apa yang disampaikan rasul-Nya, lalu diganjarkan dengan apa yang dijanjikan lillaziina stajaabuu lirabbihim ini.

Thursday 26 July 2012

[19:23] Alangkah Baiknya Kalau Aku Mati Sebelum Ini


Dalam bahasa al Quran, ayat ini dibaca "Yaalaitanii Mittu Qobla Haaza". Keluhan ini diungkapkan Maryam, ibu Isa as saat melahirkan baginda ketika bersandar di pohon tamar. Mahu sahaja Maryam mati dan dilupakan agar tidak merasa perit ketika lahirnya bayi istimewa tersebut. Bukan mudah menjadi Maryam, perempuan solehah disanjung masyarakat, namun disisihkan kemudiannya lantaran mengandungkan nabi Isa tanpa seorang bapa.

(Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!
[Maryam, 19:23]

Maka sebagai seorang anak, memang layak kita memberikan ruang yang (sangat) besar dalam hidup buat ibu kita, kerana peritnya dia katakan "Yaalaitanii Mittu Qobla Haaza" saat melahirkan kita.

Wednesday 25 July 2012

[25:74] Perkara yang Menyukakan Hati Melihatnya


Dalam al Quran, istilah ini disebut sebagai Qurrata A'yunin. Ketika menceritakan tentang ibaadur Rahmaan (hamba kepada Allah yang bersifat Maha Pemurah), salah satu sifat yang diperincikan ialah mereka kerap berdoa agar diberikan isteri dan keturunan yang menyejukkan mata serta dijadikan pemimpin bagi orang yang bertaqwa.

Pernah ada seseorang mengeluh, "Alangkah bahagianya kedua-dua mata yang dapat melihat Rasulullah saw. Aku teringin juga melihat apa yang kamu lihat, menyaksikan juga apa yang kamu saksikan," lalu dimarahi al Miqdad b al Aswad. Kata beliau, bukan mudah untuk hadapi ujian ketika hidup bersama baginda di zaman jahiliyah. Baginda datang membawa al Furqan, lalu memisahkan haq daripada batil, memisahkan seseorang yang muslim daripada keluarganya yang kafir. Cukuplah seseorang itu sedar, apabila anaknya mati dalam keadaan kafir, lenyaplah kebahagiaan kerana orang yang dicintainya berada dalam neraka. Di sinilah pentingnya untuk berdoa seperti apa yang ibaadur Rahmaan ini mintakan.

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.
[al Furqaan, 25:74]

Dan kita perlu sedar juga, ketika kita berdoa agar Allah berikan kita qurrata a'yunin ini, jangan lupa bahawa kita juga perlu berusaha untuk menjadi penyejuk mata juga.

Tuesday 24 July 2012

[24:22] Adakah Kamu tidak Inginkan Allah Mengampunimu?



Dalam bahasa Arab, ayat ini disebut "alaa tuhibbuuna an yaghfira Allahu lakum?" Pertanyaan ini Allah berikan selepas Allah berikan teguran kepada golongan berada, yang tidak mahu memberi bantuan, memaafkan kesalahan dan berlapang dada kepada orang lain. 

Ayat ini diturunkan mengenai Abu Bakr as Siddiq ra ketika peristiwa hadits al Ifk (berita bohong menuduh Aishah ra, isteri Rasulullah saw berkelakuan sumbang). Ketika itu beliau berjanji tidak akan memberikan bantuan lagi kepada saudaranya, Mistah bin Utsatsah yang turut sama menyebar berita bohong tersebut. Mistah merupakan seorang miskin, hidupnya ditanggung Abu Bakr ra. Mistah turut tergolong di kalangan mereka yang berhijrah di jalan Allah. Dalam peristiwa hadits al Ifk ini, taubatnya diterima Allah dan hukuman turut dijalankan ke atasnya. Ketika ayat "alaa tuhibbuna an yaghfira Allahu lakum?" ini turun, Abu Bakr ra lalu menjawab, "Sudah tentu kami mahukan Engkau mengampuni kami". Lalu beliau membuat janji baru, untuk terus membantu Mistah.


Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahwa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat (nya), orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahwa Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
[an Nuur, 24:22]

Maka, selalukanlah rasakan Allah selalu menyeru kita selaku hamba-Nya "alaa tuhibbuna an yaghfira Allahu lakum" mudah-mudahan hati dan anggota badan kita akan segera menyahut seruan tersebut.

Monday 23 July 2012

[9:71] Mereka itu akan Diberi Rahmat oleh Allah


Bahasa Arabnya, ulaaika sayarhamuhumu llah. Istilah ini Allah sebutkan ketika menceritakan mengenai orang beriman, lelaki dan perempuan yang saling menguatkan antara satu sama lain. Inilah balasan bagi mereka kerana menepati ciri yang Allah sebutkan iaitu lakukan amar ma'ruf, nahi munkar, dirikan solat, tunaikan zakat serta taat pada Allah dan Rasul.



Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
[at Taubah, 9:71]

Moga kita digolongkan dalam golongan sayarhamuhumu llah ini.

Labels