Showing posts with label #Laporan. Show all posts
Showing posts with label #Laporan. Show all posts

Sunday, 2 June 2019

ISMA Sheffield Eratkan Hubungan Komuniti Malaysia dengan Masjid Setempat


Sheffield, 1 Jun – ISMA Sheffield berjaya menganjurkan kempen untuk meringankan bebanan kewangan Al-Huda Islamic Centre, sebuah masjid di sini baru-baru ini.

Dalam kempen tersebut, sejumlah £1440 (kira-kira RM 7,600) berjaya dikumpulkan dalam kalangan rakyat Malaysia yang rata-ratanya merupakan pelajar universiti di sini. Keprihatinan rakyat Malaysia terlihat jelas apabila jumlah yang dikumpul melebihi £1000 yang disasarkan.

Sumbangan telah diserahkan dalam sebuah majlis ringkas di masjid ini semalam.

Ketua ISMA Sheffield, Sazlee Hidayatullah berkata kempen ini bertujuan mengeratkan hubungan antara komuniti Malaysia di sini dengan pihak masjid. Beliau turut berterima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan kempen ini.

Pegawai Masjid Al-Huda, Saeed Mohammed melahirkan kegembiraan terhadap jumlah sumbangan yang diterima. Beliau turut mengalu-alukan sebarang interaksi daripada rakyat Malaysia di sini dan berharap hubungan baik ini akan berterusan pada masa akan datang.

Biro Komunikasi dan Multimedia ISMA UK-Eire

Sunday, 14 April 2019

Mahasiswa Luar Negara Sokong Kempen Malaysia Negara Islam


Sheffield, 12 Mac – Jawatankuasa ISMA Sheffield telah berjaya menganjurkan ceramah umum yang bertujuan untuk memperkenalkan Kempen Malaysia Negara Islam (MNI).

Ceramah tersebut dipengerusikan oleh Saudara Afif serta disampaikan oleh barisan panel iaitu Saudara Muhammad Hafidz Romli dan Saudara Faqih Aqili.

“Kita berkempen adalah untuk mempertegaskan identiti negara Malaysia supaya tidak diganggu ubah oleh mana-mana pihak. Sekiranya wujud usaha mencairkan keislaman negara kita, maka perlunya usaha untuk melawan dan mengukuhkannya semula,” tegas Muhammad Hafidz.

“Menjaga agama umat Islam memang menjadi tanggungjawab pemerintah, termasuk melalui pelaksanaan undang-undang. Maka, mencegah jangkitan mungkar kepada rakyat adalah lebih utama daripada merawat,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Saudara Faqih Aqili turut berkata, Malaysia boleh dikatakan dipandang baik dan cemerlang di mata dunia. Sekiranya kita tidak tegaskan status ini, akan ada pihak luar yang mahu menuntut identiti yang ‘pelik’ kepada negara kita.

Kempen ini untuk tunjukkan majoriti akar umbi rakyat Malaysia mahukan negara dicorakkan sebagai negara Islam, maka keinginan mereka jangan dikhianati. Jangan pula negara demokrasi meraikan pandangan pelik minoriti melebihi majoriti.

“Agenda pembaikan umat sangat luas dan mencakupi pelbagai bidang termasuklah pemerintahan, ekonomi, dan sosial. Bertolonglah kita dalam kebaikan, moga kesatuan kita memberikan kekuatan dan saling melengkapi antara satu sama lain,” jelasnya lagi.

Ceramah tersebut disudahi dengan sesi bergambar dengan menunjukkan tanda bulan sabit sebagai seruan untuk lebih ramai pelajar dan rakyat Malaysia di UK khususnya untuk menyahut kempen yang berjalan selama lima bulan ini.


Friday, 5 October 2018

ISMA Sheffield Anjur Jamuan BBQ, Merapatkan Ukhuwah Sesama Ahli


Sheffield, 30 Sept – Baru-baru ini jawatankuasa ISMA Sheffield telah berjaya menganjurkan jamuan BBQ yang bertempat di kediaman mantan Timbalan Pengerusi ISMA Eropah, saudara Faqih Shuhaili.

Pengarah program, saudara Sazlee Hidayatullah yang ditemu bual ISMA Eropah berkata, “ini merupakan acara santai anjuran ISMA Sheffield untuk berkumpul setelah sekian lama bercuti”

Tambah beliau, “dalam sesi pertemuan ini, turut diselitkan sesi motivasi untuk menanam azam baru dalam diri setiap ahli bagi menghadapi semester baharu yang penuh dengan cabaran”

Salah seorang peserta, saudara Muhd Azri May turut berasa gembira apabila berpeluang mengeratkan hubungan silaturrahim seperti mana sabda Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalinkan hubungan silaturrahim”

Turut hadir, saudara Hafidz Romli selaku Ketua ISMA Sheffield yang sempat menasihatkan kepada semua ahli untuk menghargai nikmat ukhuwah yang sangat besar dikurniakan oleh Allah serta melahirkan rasa bersyukur kerana Allah telah memilih kita untuk mengenal kasih sayang antara sesama manusia.

“Semoga penganjuran program seumpama ini dapat melahirkan rasa berkasih sayang antara sesama ahli kerana Allah,” katanya.


Monday, 28 May 2018

ISMA Sheffield Anjur Jamuan Berbuka Puasa Rapatkan Ukhwah Sesama Ahli


Sheffield, 24 Mei- Kesibukan peperiksaan akhir tahun tidak menghalang jawatankuasa ISMA Sheffield daripada menganjurkan acara tahunan jamuan berbuka puasa ISMA peringkat Sheffield.

Acara tahunan ini pada kali ini telah dianjurkan di kediaman mantan Timbalan Pengerusi ISMA Eropah, saudara Faqih Ahmad Shuhaili.

Pengarah program, saudara Hanif yang ditemubual ISMA Eropah berkata, “ini merupakan acara santai anjuran ISMA Sheffield untuk merapatkan ukhwah sesama ahli serta dalam pada masa yang sama sebagai cara kami merehatkan minda seketika di tengah-tengah musim peperiksaan.”

Tambah beliau, “ISMA Sheffield begitu komited dalam pembangunan rohani ahli kerana masa kami di bulan Ramadhan dan musim peperiksaan ini turut diisi dengan bacaan tilawah Al-Quran satu juzuk setiap hari.”

Jamuan ini turut dihadiri oleh Pengerusi ISMA Eropah, saudara Saiful Karim yang memuji kesungguhan ahli ISMA Sheffield untuk menghidupkan aktiviti bulan Ramadhan mereka dengan perkara-perkara yang berfaedah

Saudara Saiful Karim turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua mahasiswa Malaysia terutamanya dalam peperiksaan yang sedang mereka hadapi.


Friday, 19 January 2018

Isma Sheffield promosi makanan Malaysia


SHEFFIELD, 2 Jamadilawal 1439H, Jumaat – Jawatankuasa Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Sheffield baru-baru ini telah menganjurkan program bazar makanan bertempat di Broomhall Community Centre.

Kira-kira 100 pengunjung berpusu-pusu memenuhkan Broomhall Community Centre seawal pembukaan bazar pada jam 1 tengah hari untuk membeli pelbagai pilihan juadah tradisional Malaysia.

Pengarah program, Sazlee Hidayatullah yang telah dihubungi Media Isma Eropah berkata, program bazar itu bertujuan memperkenalkan Isma kepada komuniti pelajar Malaysia di Sheffield, dan pada masa sama memberi peluang kepada pelajar untuk mengubat rindu keenakan masakan Malaysia.

Katanya, aktiviti sebegini sangat bermanfaat dari segi mengeratkan hubungan silaturahim sesama komuniti Malaysia di Sheffield, selain turut menjadi medium kepada peniaga yang terdiri dalam kalangan mahasiswa untuk menambah sumber pendapatan ketika musim cuti semester.

“Para pelajar juga turut dihidangkan dengan pelbagai pilihan makanan dan kuih-muih tradisional Malaysia,” katanya.

Ketua Isma Sheffield, Hafidz Romli berkata, penganjuran bazar ini juga merupakan wadah kepada ahli Isma sendiri untuk mengasah kupayaan menganjurkan program yang besar, serta mencungkil bakat kepimpinan berorganisasi.

Mengulas mengenai dapatan program, beliau berkata:
“Alhamdulillah penganjuran bazar pertama kali ini telah berjaya menarik lebih 100 orang pengunjung sekali gus membuktikan organisasi Isma Sheffield berupaya menganjurkan program berskala besar pada masa hadapan.”

Turut hadir pada program itu ialah Timbalan Pengerusi Isma UK-Eire, Faqih Aqili yang memuji kesungguhan dan kerjasama yang ditunjukkan oleh ahli Isma Sheffield untuk bergerak sebagai sebuah organisasi pelajar yang kukuh dan efisyen melaksanakan aktiviti pelajar.

Sumber: ISMAWeb

Tuesday, 29 December 2015

Fokus: Artikel-artikel Pilihan Sepanjang Tahun 2015


Berikut adalah artikel-artikel pilihan Focus sepanjang tahun 2015 ini yang mendapat rating tertinggi daripada pembaca.

4. Perluasan Sempadan China di Laut China Selatan
Artikel mengenai perluasan sempadan China di Laut China selatan, ditulis oleh saudara Faqih Aqili yang juga merupakan pelajar PHD di University of Manchester. Dalam artikel ini beliau menceritakan perancangan China untuk menguasai Laut China Selatan secara ringkas. Anda boleh membacanya di sini. Jika anda ingin membaca analisis, dan perkembangan berita terbaru mengenai isu ini, anda boleh teruskan setia bersama FOCUS.

Web: Fokus.my

Wednesday, 23 November 2011

Jangan Kedekut


Sheffield, 6 Nov – Kekalahan empayar Uthmaniyyah dan kejatuhan empayar Melayu Melaka disebabkan umat Islam ketika itu kedekut dengan apa yang mereka ada.” Begitu antara intipati khutbah Hari Raya Aidiladha yang disampaikan oleh Ustaz Sarip b Adul, Yang Dipertua Isma Kota Kinabalu baru-baru ini.

Jelas beliau, agama Islam memerlukan pengorbanan daripada kalangan umatnya. Namun, apa yang menyedihkan ialah umat Islam pada hari ini semakin kedekut dengan apa yang mereka miliki dan merasa berat untuk melakukan pengorbanan berupa harta, tenaga dan masa untuk agama. Hal inilah yang menyebabkan agama Islam dilihat terhina pada masa kini.

Khutbah beliau ini disampaikan ketika Sambutan Hari Raya Aidiladha anjuran Sheffield Malaysian Student Association (SMSA) dan Persatuan Masyarakat Pelajar Malaysia Sheffield (PMPMS) yang diadakan meriah dengan kehadiran lebih 100 warga komuniti pelajar prasiswazah dan pascasiswazah di sini.

Ketika membentangkan perkongsian “Bidak-bidak di Papan Catur” pada waktu malamnya pula, beliau menambah bahawa musuh-musuh umat Islam seperti Yahudi, Nasrani dan golongan munafik bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh untuk merosakkan manusia khususnya umat Islam. Tambah beliau lagi, dari sudut pembahagian masa pula, umat Islam masih belum cukup memperjuang dan menegakkan agama Islam. Hal ini kerana musuh musuh umat Islam ini bekerja siang dan malam untuk merosak dan meleburkan keperibadian Muslim dalam kalangan umatnya.


Ustaz Sarip yang juga merupakan Ahli Majlis Fatwa Negeri Sabah sedang berada dalam siri jelajahnya ke negara Eropah seperti United Kingdom, Ireland dan Czech selama dua minggu untuk mempromosikan slogan terbaru Isma, “Membangun Umat Beragenda”. Turut menemani beliau, Engr. Mohd Khoushaini Mohd Naim mewakili Sekretariat Antarabangsa Isma (Sektar). Pengisian yang diadakan berkisar usaha menangkis agenda barat seperti humanisme, liberalisme dan plarisme agar dapat Membangun Umat Beragenda

Laporan Oleh:
Faqih Ahmad Shuhaili
Ketua Syukbah Isma Sheffield
Website: Isma Eropah

Sunday, 4 April 2010

Nekad perjuangkan agama – Seru Naib Presiden II di Majlis Wida’ KMB


Sepang, 4 April – Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni, Naib Presiden II Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) telah dijemput berucap pada Majlis Wida’ Pelajar-pelajar Kolej MARA Banting. Dalam sesi tersebut, beliau menyedarkan bahawa masalah-masalah yang melanda negara tidak akan selesai sekiranya ummat Islam sekadar berdiam diri. Maka, beliau menyeru para hadirin, yang rata-ratanya merupakan pelajar-pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke luar negara, agar bercita-cita lebih tinggi dari sekadar menjadi orang yang baik, sebaliknya bercita-cita memperbaiki keadaan negara dan bangsa.

Ustaz Fauzi menegaskan bahawa siswa-siswi di luar negara mendokong amanah dan harapan yang besar dari negara dan masyarakat. Tanggungjawab tersebut haruslah diinsafi dan digalas tanpa sebarang keraguan terhadap diri sendiri. Ustaz Fauzi meyakini bahawa sekiranya para siswa-siswi bernekad untuk memperjuangkan agama, maka mereka akan beransur-ansur berubah menjadi seorang yang lebih baik dan mampu berbakti kepada ummat. Beliau lantas mengajak para siswa-siswi untuk komit dengan program-program tarbiyyah di luar negara seperti halaqah-halaqah, kursus-kursus dan perkhemahan belia agar dapat memantapkan jatidiri sebagai Muslim yang beramal.

Majlis Wida’ Pelajar-pelajar KMB merupakan acara tahunan yang dilangsungkan bagi meraikan pelajar-pelajar KMB, yang mengikuti program-program tarbiyyah ISMA, yang tidak lama lagi akan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Majlis pada tahun ini telah berlangsung di Dewan Seminar Masjid KLIA Sepang dan dihadiri lebih kurang 30 pelajar KMB. Majlis turut disertai oleh wakil Sektretariat Luar Negara ISMA, saudara Mohd Khoushaini Mohd Naim serta beberapa ahli ISMA lain yang merupakan bekas penuntut luar negara.

Semoga keberangkatan pelajar-pelajar KMB ini akan melonjakkan lagi amal ISMA di luar negara serta memberi sinar baru buat ummat Islam.

Aizuddin Khalid,
Biro Pembangunan Belia,
ISMA Cawangan Daerah Hulu Langat




Friday, 10 June 2005

Duo share secret to success

PAY attention in class and practise good time management. This was the advice from Faqih Aqili Ahmad Shuhaili, one of Perak’s top PMR students.

The 15-year-old SMK Seri Manjung student, who scored 9As, said he studied at least two hours a day for five months before the exam.

“I do not believe in burn- ing the midnight oil. I studied from 9pm to 11pm daily,” he said when met at his house at Sri Manjung in Sitiawan, Perak, on Thurs-day.

Faqih Aqili rejoicing over his results in the presence of his siblings (from left) Shuib, Ibnu Jarir Attabari, Nor Fardilah and Ahmad Luqman.
Faqih Aqili scored As in Bahasa Melayu, English, Mathematics, Science, His-tory, Geography, Living Skills, Islamic Education and Arab Language (Communi-cation).

Faqih Aqili, who aspires to become either a professor or scientist, said he anticipated the good result.

“I scored As in all subjects during the trial exam,” he said.

The sixth child among eight siblings, thanked his parents and teachers for their help and guidance.

Read more at https://www.thestar.com.my/news/community/2005/12/24/duo-share-secret-to-success/

Labels

#Laporan (9) #NotaTarbiyyah (119) #Pandangan (274) #SketsaHidup (136)