Sunday 14 April 2019

Mahasiswa Luar Negara Sokong Kempen Malaysia Negara Islam


Sheffield, 12 Mac – Jawatankuasa ISMA Sheffield telah berjaya menganjurkan ceramah umum yang bertujuan untuk memperkenalkan Kempen Malaysia Negara Islam (MNI).

Ceramah tersebut dipengerusikan oleh Saudara Afif serta disampaikan oleh barisan panel iaitu Saudara Muhammad Hafidz Romli dan Saudara Faqih Aqili.

“Kita berkempen adalah untuk mempertegaskan identiti negara Malaysia supaya tidak diganggu ubah oleh mana-mana pihak. Sekiranya wujud usaha mencairkan keislaman negara kita, maka perlunya usaha untuk melawan dan mengukuhkannya semula,” tegas Muhammad Hafidz.

“Menjaga agama umat Islam memang menjadi tanggungjawab pemerintah, termasuk melalui pelaksanaan undang-undang. Maka, mencegah jangkitan mungkar kepada rakyat adalah lebih utama daripada merawat,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Saudara Faqih Aqili turut berkata, Malaysia boleh dikatakan dipandang baik dan cemerlang di mata dunia. Sekiranya kita tidak tegaskan status ini, akan ada pihak luar yang mahu menuntut identiti yang ‘pelik’ kepada negara kita.

Kempen ini untuk tunjukkan majoriti akar umbi rakyat Malaysia mahukan negara dicorakkan sebagai negara Islam, maka keinginan mereka jangan dikhianati. Jangan pula negara demokrasi meraikan pandangan pelik minoriti melebihi majoriti.

“Agenda pembaikan umat sangat luas dan mencakupi pelbagai bidang termasuklah pemerintahan, ekonomi, dan sosial. Bertolonglah kita dalam kebaikan, moga kesatuan kita memberikan kekuatan dan saling melengkapi antara satu sama lain,” jelasnya lagi.

Ceramah tersebut disudahi dengan sesi bergambar dengan menunjukkan tanda bulan sabit sebagai seruan untuk lebih ramai pelajar dan rakyat Malaysia di UK khususnya untuk menyahut kempen yang berjalan selama lima bulan ini.


Labels