Monday, 13 February 2017

Menjawab Kritikan Terhadap Kempen Tolak Hari Valentine


Apabila 14 Februari tiba, pastinya akan diadakan kempen untuk menolak Hari Valentine, hari yang sinonim dengan bermesra antara kekasih. Ia menjadi bahaya apabila diraikan oleh pasangan yang tidak mempunyai ikatan perkahwinan yang sah kerana dikhuatiri akan membawa kepada zina dan buang anak. Maka tidak ada salahnya kempen ini, kerana ia merupakan suatu seruan agar masyarakat menjauhi perkara munkar seperti dalam surah AlIsra’, 17:32 – Janganlah kamu menghampiri zina. Namun ada kritikan juga pada Kempen Tolak Valentine ini.

“Tak ke Kempen ni Ganggu Perasaan Bukan Islam?”
Ada yang mengatakan ia mengganggu perasaan mereka yang bukan Islam. Mereka akan “terasa” kerana itu budaya mereka dan mereka tidak terikat dengan hukum Islam. Menjawab kritikan ini, sebenarnya kempen ini bertujuan agar masyarakat terhindar daripada hubungan bebas lelaki perempuan, yang kebiasaannya akan membawa kepada hubungan luar nikah. Bahayanya merentas agama. Tidak ada budaya dan agama yang membiarkan jalan-jalan kepada zina. Juga tidak ada faedahnya (AlMu’minuun, 23:3) berhubungan intim tanpa ikatan sah. Selain membazir masa dan menjejas komitmen, mereka yang terlibat dengan hubungan tanpa tanggungjawab ini akan mudah menjadi mangsa eksploitasi terutamanya wanita. Atas sebab inilah Islam menutup jalan kepada zina dan menggalakkan perkahwinan. Faedahnya membawa manfaat kepada semua (rahmatan lilalamin AlAnbiyaa, 21:107) termasuk yang bukan beragama Islam.

“Tak Perlulah Kita Buat Kempen Ni. Baik Senyap Je”.
Kritikan lain mengatakan kita perlu senyap sahaja tentang perayaan ini, tidak perlu adakan kempen, seolah-olah kempen akan mengingatkan masyarakat pada Hari Valentine. Hakikatnya siang malam hari ini dikempenkan di media cetak, media elektronik, internet, pasar raya, jalanan dan di mana-mana sahaja. Diam tidak berkempen hanya akan menderaskan lagi arus negatif Hari Valentine ini. Meriahnya kempen menggalakkan Hari Valentine sewajarnya dilawan dengan magnitud yang sama oleh pihak yang sensitif terhadap kemungkaran di sekeliling. Selari dengan hadis apabila kita melihat kemunkaran, kita hendaklah mencegahnya dengan tangan, mulut dan hati.

“Isyh, Korang Ni Asyik Haram, haram, haram”.
Kritikan lain yang diberikan ialah tiada alternatif yang diberikan untuk menggantikan Hari Valentine ini. Seolah-olahnya pendakwah hanya pandai melarang. Sebenarnya tiada alternatif kepada hubungan tanpa ikatan perkahwinan melainkan dengan cara berkahwin dan berusaha ke arahnya (ArRuum, 30:21). Sebagai alternatif kepada kekasih, raikan kemesraan anda terhadap ibu bapa sendiri, adik beradik dan kawan sekeliling; mereka ini yang lebih wajar dikasihi. Bagaimana pula prestasi kasih kita terhadap junjungan nabi (Ali Imran, 3:31), ini juga perlu lebih dirisaukan. Bahkan kasihkan mereka ini tiada had masa seperti ketika 14 Februari sahaja, tiap-tiap masa boleh dicurahkan dengan cara yang sah. Ia lebih baik daripada terlibat sama dengan sambutan Hari Valentine yang tidak memberi faedah ini, bahkan berpotensi untuk menggalakkan hubungan yang tidak sah, zina, juga buang anak.

“Nanti Bila Dah Habis Valentine Nanti Kahwinlah”
Kritikan lain pula cuba membenarkan sambutan jika pasangan tersebut sudah ada niat untuk berkahwin suatu hari nanti. Ia nampak baik, namun dirisaukan sebagai satu cara syaitan menghiaskan amal buruk tersebut (AlAnkabuut, 29:28). Selagi belum berkahwin, apatahlagi belum bertunang, selagi itulah hukum berkaitan hubungan antara ajnabi terpakai. Ada adab syariat yang perlu dipatuhi, bukannya berdua-duaan meluahkan kasih secara bebas tanpa peraturan.

“Apa Pulak Kena Mengena Valentine dengan Aqidah?”
Ada juga yang mengkritik menyambut Hari Valentine tidak menggugat akidah seseorang. Sebenarnya pemikiran simplistik ini berbahaya seolah-olah apabila akidah sudah rosak barulah ia akan disesalkan. Pada ketika itu sudah susah untuk kembali ke pangkal jalan. Cuma betulkah ia tidak menggugat akidah walau sedikit? Bukankah akidah beriman kepada Allah menyuruh hamba-Nya taat perintah Allah agar menjauhi zina. Apabila syariat dilanggar, ikatan akidah akan menjadi longgar dan sedikit demi sedikit sensitiviti untuk menjauhi maksiat itu akan hilang. Lalu keluarlah alasan ini seolah-olah yang mengucapkannya sudah yakin akidahnya terlalu kuat mengakar.

Buat penutup, masa muda merupakan masa emas yang perlu diluangkan pada eksplorasi potensi diri dan berbakti pada masyarakat, bukannya dilalaikan dengan sambutan yang tidak meningkatkan diri ini. Agenda hidup perlu jelas dalam membina diri, keluarga dan masyarakat supaya selari dengan agama, kerana jika kita tidak jelas dengan agenda sendiri, kita akan mudah untuk diagendakan oleh orang lain dengan sia-sia.

No comments:

Post a Comment

Labels