Duit bukan segala-galanya bagi kita. Masyarakat kita pun mungkin dah dibiasakan lama dengan nilai ini.
Sebab itu ikut fahaman kita, seorang ayah, tanggungjawabnya bukan sekadar memberikan duit kepada keluarga dan memastikan ekonomi yang sejahtera. Dia juga mengisi rumah tangga dengan kasih sayang, wujudkan budaya ilmu pengetahuan, menjamin keselamatan, menerapkan nilai-nilai agama.
Apabila mula fikiran dipusing untuk utamakan wang dan ekonomi, seorang ayah yang gajinya berpendapatan rendah atau sederhana tidak disyukuri. Rasa hormat anak terhadapnya mula hilang, sehingga anak boleh lupa siapa yang bersusah menjaga dia sejak kecil sehingga boleh nampak dunia.
Menjadi kurang ajar apabila anak yang menyara ibu ayahnya mula mengherdik dan perlekehkan ibu bapa sendiri, mungkin sebab dah terasa cukup membalas budi. Hingga akhirnya, ada yang tergamak membuang ibu bapa sendiri mereka dengan harapan akan ada badan kebajikan akan mengambil alih urusan menjaga mereka.
Perkara sama juga berlaku apabila isteri mula naik kepala dengan suami sendiri.
Hari ini, apabila ada orang sebut dia sumbang banyak duit kepada negara kita, kemudian rasa berhak nak corak negara kita, kita faham bagaimana cara pandang dan permainan mereka. Orang bijak tidak akan terikut game lawan, tetapi untuk menang, dia akan keluarkan kadnya yang tersendiri.
Kata kawan, kalau orang Melayu terkejar-kejar nak jadi negara maju, mereka tidak perlu susah-susah tuntut kemerdekaan, elok duduk saja bawah penjajah British. Tapi kita ada nilai tersendiri, kita mahu mencorak negara ini mengikut cara sendiri.
Perkara utama di sini ialah duit bukan segala-galanya. Juga pentingnya budaya hormat. Bila dah mula persoalkan perjanjian, menuntut balasan, itu tanda suasana sesama kita mula tidak sihat.
—
Di waktu kita masih miskin maka tokoh yang popular, atau laku di pasaran mata rakyat, ialah seorang yang berusaha mencari jalan untuk membasmi kemiskinan. Di waktu kita masih kuraang ilmu pengetahuan maka pejuang bangsa yang mementingkan usaha meningkatkan ilmu pengetahuan di kalangan rakyat menjadi jaguh yang di cintai oleh rakyat. Di waktu iman kita masih lemah maka guru-guru dan pemimpin-pemimpin institusi ugama dipandang mulia di kalangan rakyat. Di waktu kita mempunyai ramai sasterawan dan budayawan maka perjualangan mereka juga dipandang mulia oleh masyarakat.
Malangnya, kerana tumpuan kita pada berbagai jenis bidang perjuangan, khususnya ekonomi dan pendidikan, secara terpisah dari ilmu sejarah bangsa dan nilai-nilai murni dalam ugama kita maka kejayaan kita dalam bidang pelajaran telah membuat manusia yang dulunya mencuri telor ayam kini sudah pandai mencuri khazanah dan kekayaan negara.
Sanusi Junid, Wang Itu Raja, 2015, Demi Agama, Bangsa dan Tanah air