Friday, 5 June 2015

Jemu Beramal


Kadang-kadang ketika lakukan perkara baik, datang bisikan syaitan agar kita berasa puas dalam beramal.

Buat apa nak solat berjemaah, asalkan solat sudah. Buat apa bangun qiam, solat badiah lepas isya tadi dah cukup. Buat apa infaq banyak untuk program tarbiyyah, zakat fitrah kan dah bayar. Dakwah fardiah penat-penat buat apa, kalau dia nak dia ikut, tak nak dia tinggal.

Perasaan macam ini perlu dibuang segera agar tidak menghakis semangat beramal. Salah satu cara dengan hadirkan perasaan perlunya rasa bersyukur dalam diri kita. Nikmat yang Allah berikan terlalu banyak sehinggakan tidak perlu datang perasaaan sudah cukup beramal, seolah-olahnya amal yang kita lakukan sudah sama nilai dengan nikmat yang kita terima.

Hakikatnya, berterima kasih dengan anggota badan yang berfungsi dengan baik inipun dah tak cukup. 10 sistem badan, organ, tisu dan sel. Belum dikira dengan nikmat harian yang lain, diberikan ibu bapa dan ahli keluarga yang penyayang. Perjalanan hidup yang teratur sejak kecil. Dilepaskan daripada pelbagai kesulitan dan dilapangkan dengan kemudahan. Apatah lagi nikmat terbesar yang kita kecapi, nikmat Islam dan keimanan.

Sirah yang biasa kita dengar, ketika baginda saw ditanya tentang qiamnya sehingga membengkak kaki, dijawab oleh baginda dengan ayat yang masyhur, “tidak mahukah aku menjadi hamba yang bersyukur?”. Padahal bagindalah sebaik-baik hamba yang beribadah, penghulu kepada para nabi, kekasih Allah swt.

Sebab itu apabila kita jemu dalam beribadah, terlibat dalam tarbiyyah, ingatlah bahawa Allah tidak pernah “jemu” melimpahkan pelbagai nikmat kepada kita. Ia tidak datang percuma, melainkan ada tanggungjawab yang perlu dilangsaikan sebagai seorang hamba.

No comments:

Post a Comment

Labels