Monday, 22 June 2015

Ramadan di UK

Empat tahun belajar sebagai "undergrad" di UK, hanya berkesempatan sekali untuk menjalani Ramadan di sana. Itupun sebab memilih untuk tunggu tarikh graduasi pada hujung Ramadan sebelum pulang back for good ke Malaysia. Alhamdulillah, Ramadan inilah yang menjadi benchmark buat masa ini. Mungkin disebabkan pada waktu tersebut, komitmen sudah tiada; dah tamat belajar dan hanya tunggu tarikh untuk balik ke Malaysia).

Puasa ketika itu selama 19 jam; subuh pada 2:30 am, maghrib pula 9:30 pm. Siang yang panjang memberi peluang amal yang banyak ketika berpuasa, terutamanya untuk membaca alQuran. Ada masa diperuntukkan tilawah mengejar target peribadi, ada juga bertadarus bersama-sama dengan kawan serumah. Tadarus dengan ahli rumah, alhamdulillah kami dapat lakukannya hampir setiap hari. Biasanya kami berkumpul selepas Asar selama sejam.


Untuk bacaan buku sempena bulan ini, sebelum Ramadan dah pilih tajuk apa untuk diselesaikan untuk tahun ini. Masukkan softcopyy dalam ipad dan beg sandang, dan sedia untuk dibaca di mana-mana. Contoh buku yang sesuai dihabiskan ialah buku yang menjadi silibus dalam tarbiyyah seperti Zilal AlQuran, alMuntalaq, Jalan Dakwah. Untuk tahun ini, saya memilih buku "Salah Faham terhadap Islam.

Untuk menu berbuka pula, kami teruskan giliran memasak sesama kawan serumah seperti biasa. Cuma kali ini menu yang lebih spesial. Kalau biasanya hanya masak nasi dan satu jenis lauk, untuk bulan Ramadan ni ada menu tambahan; roti telur, nasi ayam, bubur jagung, ikan tiga rasa dan macam-macam lagi. Berbuka dan solat bersama. Tahun ini pula kebetulan ada World Cup, ada masanya yang duduk di rumah lain pun join sama-sama. Sekali-sekala, tukar angin pergi makan di luar rumah.


Masa antara Maghrib dan Isya pula merupakan masa untuk menghafaz alQuran. Disebabkan musim panas, masjid di sini tetapkan tempoh antara dua solat ini selama 70 minit. Antara Maghrib dan Isya biasanya dah boleh menambah satu muka surat hafazan baru. Ramadan sebelum ini pernah dapat assignment untuk hafal surah alAnfal sempena Ramadan. Tahun berikutnya surah atTaubah. Tahun ini inisiatif sendiri untuk hafal surah AnNuur pula. Sebenarnya Ramadan ini menyediakan suasana yang lebih senang bagi kita untuk menghafal berbanding bulan lain.


Malam yang sekejap (5 jam) jadi peluang untuk berada hampir sepanjang masa di masjid beriktikaf. Kalau balik ke rumah mungkin akan tersia-sia masa dengan aktiviti lagha dan kosong. Jadi eloklah extend iktikaf selepas tarawih hingga ke Subuh, dan selalu juga hingga 9 pagi (tidur pagi di masjid). Bersahur pun tak perlu masak dah sebab sekejap sangat jarak waktu dengan berbuka tadi. Kadang-kadang sahur makan kurma sahaja sebab masih kenyang dengan makanan berbuka. Itupun selalunya masjid di sini turut sediakan makanan untuk moreh dan bersahur.


Bulan Ramadan inilah mula berkenalan mendalam dengan warga Somalia yang mengendalikan aktiviti masjid di kawasan sini. Sangat terasa kemesraaan mereka melayan tetamu (saudara seislam yang berbeza negara). Dan paling unik ialah cara mereka makan bersama - nasi dan daging bertimbun, dan berterabur ke luar talam - nak gambarkan mereka sangat bersemangat ketika makan. Dan mereka (Somalia) inilah antara kumpulan penggerak utama dakwah di bumi UK ini.

Bersambung

No comments:

Post a Comment

Labels