Selalu orang tunda untuk sentuh perkara sensitif, takut menyentuh perasaan orang lain. Dengan harapan ia akan dirawat melalui peralihan masa. Cuma mungkin kita terlupa, ada masalah sensitif yang jika tidak dirawat masa ini, akan terpendam dan meletus pada masa akan datang.
Orang yang miskin, kemiskinan mereka disantuni dengan memberikan bantuan kepada mereka. Jika kita takut-takut untuk memperakui status miskin mereka, lama-lama mereka yang akan makin menderita. Ia tidak wajar, lebih-lebih jika dia jiran kita yang kita ada tanggungjawab padanya. Dengan mengambil tahu dan berikan bantuan, sedikit sebanyak beban diringankan dan mereka rasa dihargai.
Perbezaan sesama bangsa dalam Malaysia, perlu juga diketahui dan dibincangkan dengan wacana yang serius dan berhasil. Bukan sapukan bawah permaidani lalu menganggap negara kita harmoni. Ataupun segan menyebut soal bangsa, lalu terbiarlah nasib bangsa sendiri mundur terkebelakang, sedangkan bangsa lain maju ke hadapan, dan ada masa seperti sudah dapat betis, mahukan paha.
Namun begitulah nasib bangsa di negara kita yang tidak siapa nafikan merupakan perkara sensitif. Ada pendakwah apabila disebut “Melayu" sahaja, terus meremang takut jadi rasis. Padahal majoriti rakyat Malaysia merupakan Melayu, ia merupakan konsep utama negara, hala tujunya ditentukan oleh Melayu. Tetapi jatuh bangun mereka didiamkan, atas alasan kita semua sama rakyat Malaysia.
Soal melayu dan tahap pendidikan, ekonomi, hala tuju politik mahupun perpecahan mereka; semua ini perlukan perhatian mendalam mereka yang mahukan jatuh bangun Islam dan Malaysia. Bandingkan pula dengan bangsa lain, siapa yang maju, siapa yang terkehadapan. Makin besar perbandingan, makin bertambah ketidakselesaan.
Jangan pula terkejut nanti perkara sensitif yang didiamkan hari ini akan meletus sehingga tidak lagi terkawal. Mula-mula malu, takut nanti dah tersipu-sipu dan terpinga-pinga kerana masalah tidak terungkai.
No comments:
Post a Comment