Thursday, 9 July 2015

Akhi Rahim Chot

Antara kenangan bersama almarhum Chot ialah kesungguhannya bersama dengan PEMBINA di MIMET. Pernah sekali berjanji untuk belanja dia makan, tetapi pada malam tersebut dia minta maaf kerana terpaksa siapkan final year project. Malam sebelumnya dia bermesyuarat hingga ke pagi untuk finalize dokumen pendaftran PEMBINA MIMET manakala siangnya mereka bentangkan di hadapan jawatankuasa universiti untuk kelulusan. Proposal mereka mendapat pujian, terperinci sehingga sukar untuk mencari alasan wajar untuk tidak diberikan kelulusan. (Moga proposal kali ini diterima)


Pernah kami rancang adakan slot pengenalan tarbiyyah untuk pelajar baru. Ketika nampak dia sampai dengan motosikalnya, tiba-tiba saya terfikir untuk minta dia belikan sedikit makanan untuk program ini. Saya nak berikan duit, dia menolaknya. Dia belikan dengan duit sendiri dan jamukan ikhwah yang datang program. Dan apabila sebut semula tentang slot pembentangan itu, makanan yang dia belikan itulah menjadi kenangan program tersebut.


Antara yang paling terkesan ialah apabila dia minta pandangan tentang bagaimana mahu mulakan projek baitul muslimnya; tanda dia mahukan ruh dakwah dalam rumahtangganya nanti. Terasa kesungguhan dan kerendahan hatinya dalam meminta nasihat. Namun beginilah perancangan manusia; selalunya ia jauh ke depan, rupanya Allah telah takdirkan batas umurnya.


Setahun bersama dengannya, Chot merupakan seorang yang ceria, rendah diri, minat mendalam dengan tarbiyyah dan dakwah kepada pelajar MIMET. Dan dia cukup bangga dengan aktivitinya bersama ISMA dan PEMBINA. Orangnya biasa-biasa, namun bagi yang mengenalinya dengan mendalam akan tahu bahawa dia seorang yang tabah dan bersungguh dalam berubah. Dan apabila maut menjemputnya, terserlah buah keikhlasannya berada atas jalan ini.


Moga nanti bertemu semula kita di syurga.

Baca: 

No comments:

Post a Comment

Labels