Tuesday, 18 August 2015

Merdeka Tidak Kenal Sejarah


Sempena bulan kemerdekaan ini, eloklah kita segarkan semula pengetahuan kita terhadap sejarah tanah air ini. Hanya warga yang kenal siapa dirinya akan berbangga, berjuang dan menentukan hala tuju agenda negaranya. Bercakap tentang Malaysia, tidak lain ia merupakan agenda survival agama Islam dan bangsa Melayu sebagai umat majoriti dan pemain utama politik.

Budaya hari ini menyebabkan kita memberikan reaksi hanya kepada isu. Berlaku sesuatu isu dalam negara, keluarlah komen-komen reaktif. Bukan lagi mencipta dan menentukan hala tuju. Salah satu puncanya adalah kerana tidak tahu agenda apa yang mahu dibawa. Tidak ada apa diingat dan terkesan jika sikap ini terus diamalkan, melainkan lawak jenaka dan troll politik masa ini.

Ia tidak akan berlaku jika kita sedar siapa diri kita. Sejarah yang perlu pelajari bukan bermula ketika kita mula kenal apa itu internet, bukan juga ketika era kemerdekaan 1957, tetapi jauh lebih awal lagi. Rantau luas ini dikenali sebagai archipelago Melayu, antara tempat sejarah awal manusia bermula. Kita pernah membina empayar luas Kesultanan Melayu Melaka, bahkan sebahagian daripada keluarga besar tamadun Islam yang menguasai dua per tiga dunia.

Ramai hari ini lantang melaungkan kesamarataan dan demokrasi sebenarnya tidak tahu asas sejarah negara kita. Seolah-olah sejarah sebelum merdeka mahu digelapkan. Yang tidak fasih berbahasa Melayu pun ada berani menentukan hala tuju negara ini, sebab bangga dengan budaya luar dan tidak mahu bercampur untuk berbahasa Melayu. Takkan kita mahu menunggu kerosakan mendatang apabila urusan umat ini diserahkan kepada yang bukan ahlinya.

Ambillah dua tiga jam untuk mula membaca atau mendengar sejarah negara kita. Identiti asas terlebih dahulu. Antara yang sesuai ialah kajian ilmiah bertajuk “The Colour of Inequality”, himpunan dokumen bertajuk “Kontrak Sosial” oleh ITBM. Nak mudah, beli semula buku teks sejarah sekolah menengah.

No comments:

Post a Comment

Labels