Saturday, 22 August 2015

Jangan Cari Gaduh


Senario I
Bayi yang merengek menjerit-jerit di tengah orang ramai, ibu bapanya akan cuba cari apa yang dia mahu untuk berikan, supaya tangisan berhenti. Tak ada orang yang buat tak peduli dengan keadaan seperti itu, mesti dicari jalan walaupun memujuknya kelihatan pelik. Apatah lagi cuba beri pengajaran kepada bayi supaya jangan berkelakuan sebegitu di tempat awam. Strict atau tegas tak bertempat.

Senario II
Pengganas atau penculik yang mempunyai tebusan juga ada sedikit persamaan. Berunding pada waktu itu perlukan kita penuhi permintaan mereka. Wajar kerana mereka mengawal suasana ketika itu. Pandai berunding, mungkin kita pula yang mengawal suasana dalam keadaan mereka tidak sedar. Ringkasnya, elakkan berkonfrontasi, boleh makan diri.

Perkaitan dengan Konflik Pertembungan Agenda di Malaysia (Islam vs Bukan Islam)
Senario pertama berhadapan dengan orang yang kita sayangi atau masih tidak mengerti. Memang kita akan hindari berkonflik dengan mereka. Tidak berbaloi. Sesuai diadaptasi apabila berhadapan orang Islam yang membawa agenda bukan Islam.

Keadaan jahil ini mewajarkan lebih banyak penerangan digunakan berbanding menghentam dan bertegas dengan diri mereka. Kalau perlu tak buat apa, biarkan saja. Tetapi apabila agendanya mendapat perhatian orang ramai, keadaan menjadi kurang selesa. Kesulitan berhubung dengan mereka ini amatlah dikesali.

Situasi kedua pula sesuai dianalogikan apabila yang mengawal suasana ialah bukan Islam. Contohnya dalam keadaan umat Islam merupakan minoriti dan tidak memegang tampuk pemerintahan. Jalan konflik yang diambil hanya akan merugikan masyarakat Islam. Ia sesuai walaupun dalam keadaan praktis agama dan syiar agama tidak dapat sepenuhnya ditonjolkan. Ini yang kita perhatikan melalui perkongsian daripada tokoh Islam dari negara tersebut mengenai gerakan mereka di sana.

Namun kedua-dua jenis pendekatan ini tidak sesuai diamalkan di Malaysia. Malaysia dalam keadaan masyarakat majmuknya masih menyaksikan Islam menjadi agama majoriti dan memegang tampuk pemerintahan. Perlembagaan yang menjadi undang-undang teratas negara juga meletakkan Islam sebagai agama persekutuan. Undang-undang agama wujud dengan institusi kesultanan menaungi institusi agama. Ia memerlukan kita keluar daripada tersempit memandang konflik melalui dua senario ini.

No comments:

Post a Comment

Labels