Dalam bahasa Arab, anjuran ini dibaca "litukabbirullaaha". Ketika Allah menjelaskan puasa dalam bulan Ramadhan, di hujungnya Allah letakkan anjuran agar membesarkan-Nya selesai saja menunaikan ibadah tersebut. Di sinilah letak asalnya kita disunatkan membanyakkan takbir ketika hari raya. Bahkan ada ulama mewajibkannya berdasarkan zahir ayat ini.
Ini bukannya satu-satunya ayat yang membawa anjuran tersebut. Ketika menyebut tentang ibadah haji [al Baqarah, 2:200], Allah mengungkapkan ayat yang sama: berzikirlah kepada Allah sebagaimana kamu menyebut nenek moyangmu atau zikir yang lebih banyak daripada itu. Perintah yang sama juga boleh didapati ketika Allah menyebut mengenai ibadah korban dalam ayat yang lain. [al Hajj, 22:37]
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.
[al Baqarah, 2:185]
Maka selepas sebulan menyahut baik seruan puasa dan ibadah dalam bulan Ramadan, mari kita sempurnakan satu lagi anjuran-Nya dengan menyahut seruan "litukabbirullaaha" pula pada hari Raya nanti, sebagai tanda syukur kita kepada-Nya.