Friday, 2 March 2012

Tembok Zulqarnain

Quranic Circle kami dah nak sampai ke penghujung surah al Kahfi. Semalam kami tadabburkan baki perjalanan seorang raja yang kuasanya meliputi barat dan timur; Zulqarnain. Salah satu tempat singgahan baginda ialah sebuah tempat yang diganggu Ya'juj dan Ma'juj; parasit muka bumi, makhluk perosak tanaman dan juga pembunuh manusia.

Jahatnya Yajuj dan Majuj ini digambarkan Ibn Kathir rhm pada tahap penduduk kawasan tersebut sudah tidak tahan dengan kelakuan mereka sehinggakan mahu ada tembok pemisah antara mereka. Lalu dengan ilmu kejuruteraan baginda Zulqarnain, terbinalah sebuah tembok yang menghalang Yajuj Majuj ini daripada memanjat keluar mahupun menebuknya. "Ma sthaa'uu an yazharuuhu, ma stathaa'uu lahu naqba."

Pernah suatu hari Rasulullah saw terjaga dari tidur, merah mukanya, lalu baginda berkata, "Binasalah orang Arab daripada kejahatan yang mendekati mereka." Menurut baginda, ketika itu sebuah lubang telah terbuka daripada tembok Ya'juj dan Ma'juj tersebut; sebesar bulatan jari telunjuk bersambung dengan ibu jari baginda. Isteri baginda Zainab ra lalu bertanya, "Mungkinkah kita ini akan binasa, sedangkan ada orang baik dalam kalangan kita?" Baginda lalu menjawab ya, apabila berlakunya "Katsural Khabats"; iaitulah ketika bertambah banyaknya kejahatan di kalangan mereka. Inilah keadaan yang sangat kita takuti, datangnya kebinasaan akibat Allah murka.


Apa pengajarannya? Jangan sampai kejahatan mendominasi persekitaran kita. Teruskan sebarkan kebaikan, santuni setiap manusia yang kita jumpa; mudah-mudahan kita terhindar daripada menjadi masyarakat yang akan dibinasa oleh-Nya.

No comments:

Post a Comment

Labels