Tuesday, 12 May 2015

Tarbiyyah Basah


Bagi yang terlibat dengan dunia tarbiyyah, “basah” merupakan perkataan yang biasa didengar. Tarbiyyah basah merupakan impian dan cita-cita mereka. Hati akan rasa terketuk, mata mula seperti dimasuki habuk, kepala mula tertunduk; ini antara tanda-tanda program tarbiyyah atau tazkirah tersebut bersifat basah.

Tarbiyyah pada mulanya memang bersifat basah. Pada fasa awal, naqib banyak bercerita mengenai iman, perbaikan diri, sirah nabi dan sahabat, serta peristiwa di akhirat. Ayat-ayat alQuran yang sebelum ini hanya dibaca dan dihafal, sekarang mula difahami dan terasa rapat. Sememangnya perkara asas ini mudah dihayati kerana lazimnya ia sudah dibiasakan seawal masa kecil kita.

Namun, semakin lama berada atas jalan ini, tarbiyyah mula seolah-olahnya menjadi kering. Realiti mula berpisah daripada ideal. Tarbiyyah mula meminta untuk berfikir mengenai perancangan gerak kerja selain persiapan menghadapi agenda musuh. Dalil alQuran pula tersirat disampaikan dalam perbincangan dan analisis. Keadaan menjadi lebih kering dan kusut lagi apabila berlaku konflik sesama rakan tarbiyyah.

Hakikatnya walaupun basah merupakan suatu keperluan dalam tarbiyyah, ia bukannya sebegitu sepanjang masa. Keseronokan tarbiyyah juga perlu diusahakan sendiri (tarbiyyah zatiyyah), bukannya mengharap pada sesiapa untuk membasahkannya.

Dan basah bukannya objektif akhir terlibat dalam bidang ini. Adakah apabila tarbiyyah tidak lagi basah, jalan ini terus ditinggalkan. Salah siapakah jika tarbiyyah tidak lagi seperti diharapkan. Sebenarnya kita bukan sahaja dituntut untuk menjadi rahib pada malam hari sahaja, tetapi juga pejuang di siang hari.

Ada masanya keseorangan, ada masanya ramai. Sekejap di luar negara, sekejap kembali ke dalam negara. Ada masa menjadi ketua, ada masa menjadi pengikut. Ada rasa gembira, ada rasa tercabar dengan cabaran hidup. Pernah dapat naqib ceria, pernah juga yang garang. Semuanya ini diharapkan menjadi asam garam dalam melalui jalan ini.

Hakikatnya jalan tarbiyyah ini panjang (sehingga ke akhir hayat). Objektifnya besar (tertegaknya kalimah Allah atas muka bumi). Moga banyak perkara yang dapat dipelajari dan dimanfaat sepanjang jalan ini.

No comments:

Post a Comment

Labels