Dalam memilih kebenaran, persekitaran ada kesannya dalam mempengaruhi pilihan. Orang yang kenal kebenaran sekalipun, boleh membuat pilihan yang sebaliknya lantaran dipengaruhi oleh orang sekelilingnya.
Sebab itu ada kata-kata masyhur "kenali kebenaran, baru kenali orangnya.” Ia mengingatkan kita bahawa jika orang yang dikenali dahulu, ada kemungkinan yang datang nanti ialah fakta yang bias, bukan lagi kebenaran. Ini yang perlu dipegang kuat dalam menilai pelbagai perbezaan dan pertembungan pada hari ini
Ada beberapa kisah daripada sirah yang berkaitan asas ini:
1. alMughirah b Syu’bah merupakan orang berpengaruh kalangan Quraisy dan menguasai bidang sastera. Dia memahami ketinggian bahasa alQuran lalu tertarik padanya. Dalam tafsir alMuddassir, diceritakan Abu Jahil memprovokasinya agar tidak memeluk agama Islam. Hingga akhirnya dia terpaksa mencari perkataan yang sesuai mengenai nabi Muhammad saw, lalu dia berkata, “alQuran ini tidak lain hanyalah sihir yang dipelajari daripada orang lain”.
2. Utbah b Rabiah tokoh Quraisy yang berpandangan jauh, melihat bahawa dakwah Rasulullah perlu disekat agar tidak "menjejas perpaduan" Mekah. Dia lalu berjumpa Rasulullah membawakan pelbagai tawaran berupa harta, kemuliaan, raja atau tabib jika baginda sakit. Namun Rasulullah mengambil kesempatan tersebut dengan membacakan surah Fussilat kepadanya. Lalu akhirnya Utbah berjumpa semula dengan pembesar Quraisy, berpesan kepada mereka agar membiarkan nabi Muhammad serta memberikan peluang kepada baginda untuk berdakwah.
3. Hercules yang merupakan Kaisar Rom, ketika sampai surat daripada Rasulullah saw agar dia memeluk agama Islam membawa perkara tersebut dalam perbincangan bersama para menterinya. Malah Hercules mengenali peribadi, agama dan pengikut nabi Muhammad saw dengan terperinci melalui dialognya dengan Abu Sufian. Hampir-hampir saja raja tersebut beriman, namun kerana pengaruh pembesarnya dan takutkan kehilangan kuasa, seruan iman tersebut tidak kesampaian.
No comments:
Post a Comment