Friday, 10 April 2015

Tentang Hati dan Perasaan


Untuk menguasai perkara berkaitan Islam, antara tips yang selalu dipesan ialah meletakkan diri dalam suasana yang ada serta meraikan perasaan yang timbul daripada perkara tersebut. Dengan cara ini, bukan akal dan logik sahaja yang akan berfungsi untuk memahami, tetapi ia turut melibatkan hati, emosi dan perasaan.

Contohnya, ketika membaca alQuran lalu bertemu ayat berkaitan nikmat dan syurga, kita perlu ada perasaan berharap dan menginginkan perkara tersebut dapat kita nikmati juga. Begitu juga ketika bertemu ayat berkaitan azab dan balasan buruk, perasaan gerun, takut dan menghindar itu diwujudkan secara bersama, bukan sekadar cukup dengan membayangkannya sahaja.

Contoh lain ketika meneliti sirah, kita perlu letakkan kita merupakan sebahagian daripada masyarakat beriman pada waktu tersebut. Merasai berhati-hatinya ketika fasa rahsia di Mekah. Bersusah payah berhijrah ke Madinah. Bergembira dengan Fathu Makkah. Bersedih dengan kewafatan Rasulullah. Berdebar-debar dan berharap berjayanya pembukaan wilayah (e.g. Palestin, Contanstinople dsb).

Dalam kisah kisah kewafatan Saidina Mus’ab b Umair, diceritakan tangan kanannya yang memegang panji dilibas Ibn Qamiah, lalu beliau menyambut panji dengan tangan kiri. Dilibas pula tangan kirinya, panji tersebut lalu didakap sebelum akhirnya syahid bertemu Pencipta. Kisah seperti ini bukan sahaja perlu dibayang dan dikagumi, tetapi juga sebagai inspirasi andainya kita pula yang menyambut panji selepas syahidnya Mus’ab. Atau adakah ketika terluka, adakah terus kita berputus asa, meminta alasan untuk tidak turut serta.

Kalau dalam hadis bertawasul ketika terperangkap dalam gua, renungkan juga andainya kita orang keempat. Apa amalan soleh yang akan kita cerita dan masukkan dalam doa agar kita terlepas daripada bencana tersebut. Dalam kisah tiga orang yang dahagakan air ketika peperangan sehingga syahid seorang demi seorang, letakkan kita sebagai orang keempat. Adakah wujud perasaan pentingkan diri atau mengutamakan ikhwah lain ketika sama-sama dalam kesusahan.

Semuanya ini berkaitan dengan perasaan serta terlibat sama dalam sesebuah kisah dan suasana. Dengan cara ini, tarbiyyah tidak difahami dengan akal semata-mata lalu menjadi kering, sebaliknya melibatkan sama perasaan sehingga membekas suasana tersebut pada diri kita.

No comments:

Post a Comment

Labels