Monday 27 April 2015

Polisi Langkah Selamat Malaysia dalam Tuntutan Laut China Selatan


Berikut merupakan rumusan artikel bertajuk “Malaysia’s South China Sea Policy: Playing It Safe” (Polisi Malaysia terhadap Laut China Selatan: Mengambil Langkah Selamat) oleh Prashanth Parameswaran, pengarang laman web The Diplomat. Parameswaran banyak menulis topik berkaitan Asia Tenggara dan aspek keselamatan Asia. Dalam artikel ini, beliau mencadangkan agar melihat kepada apa yang sedang berlaku pada Malaysia beserta sebabnya sebelum melihat apa yang sepatutnya negara ini lakukan.

Malaysia mempengerusikan ASEAN untuk tahun ini. Ramai mendesak Malaysia lakukan banyak perkara berkaitan Laut China Selatan (LCS). Malaysia merupakan antara negara pengasas ASEAN, juga pihak yang menuntut sebahagian kawasan LCS, selain mempunyai hubungan yang baik dengan negara China.

Tiada dokumen rasmi menjelaskan pendirian kerajaan Malaysia terhadap LCS. Perdana Menteri (Datuk SerI) Najib Razak memetik Xi Jinping, Presiden China (pada November 2014) memuji pendekatan Malaysia sebagai “diplomasi senyap”. Parameswaran bagaimanapun mencadangkan konsep lebih tepat iaitu “Mengambi Langkah Selamat”, terutamanya ketika pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak. Konsep ini merujuk gabungan inisiatif (a) diplomatik, (b) ekonomi, (c) undang-undang dan (d) keselamatan sebagai negara yang menuntut, dalam masa yang sama berhati-hati agar tidak merosakkan hubungan dua hala dengan negara China.

Kepentingan Malaysia
Untuk fahami konsep ini perlu bermula dengan menilai kepentingan negara ini melalui LCS. Pertama ialah (a) mengekalkan tuntutan kedaulatan Malaysia. Bukan sahaja untuk menjaga integriti dan kedaulatan Malaysia, tetapi juga kemajuan ekonomi iaitu industri hidrokarbon (petroleum).

Kepentingan lain yang wujud ialah (b) menjaga hubungan baik dengan negara China. China merupakan rakan dagangan terbesar bagi Malaysia. Ada hubungan istimewa antara dua negara ini; Malaysia merupakan negara ASEAN pertama memulihkan hubungan biasa dengan negara China, pada tahun 1974 ketika pemerintahan bapa (Datuk Seri) Najib, Tun Razak. Cara China mengendalikan konflik dengan Malaysia lebih lembut berbanding Vietnam dan Filipina. Malaysia juga mempunyai kepentingan sebagai negara maritim dan perdagangan untuk (c) memastikan rantau ini dalam keadaan aman. Kepentingan lain yang Malaysia mahu jaga ialah (d) mengekalkan undang-undang antarabangsa termasuklah United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS) kerana ia menjadi asas persefahaman tanpa menggunakan kaedah “kekuatan menentukan kebenaran”.

Siri tindakan agresif China baru-baru ini menyebabkan Malaysia menimbang semula pandangannya. Ia termasuklah pencerobohan berulang ke dalam perairan Malaysia dan kelantangan Beijing ketika insiden MH370 (dibetulkan dengan segera). Ia menyebabkan wujud suara dalam Malaysia mempersoalkan keberkesanan gabungan empat inisiatif tersebut. Walau bagaimanapun, pemerhatian melihat konsep “Mengambil Langkah Selamat” ini masih digunapakai.

Tindakan Malaysia
(a) Dari sudut hubungan diplomatik, Malaysia memilih untuk membawa kebimbangan dan perhatiannya kepada negara China dengan cara sulit berbanding secara terbuka; suatu cara yang tidak digunakan oleh Vietnam dan Filipina. Malaysia juga secara senyap turut berusaha memastikan negara ASEAN mempunyai kesepakatan asas dalam soal ini. (b) Dari sudut undang-undang pula, Malaysia pernah berani membawa tuntutan secara bersama dengan Vietnam pada Mei 2009, namun dalam kes tuntutan Filipina melawan China berkaitan LCS, Malaysia tidak menyuarakan sokongannya secara terbuka. (c) Dari sudut keselamatan, Malaysia menimbang untuk meningkatkan hubungan dengan negara seperti Amerika Syarikat selain turut berusaha meningkatkan keupayaan mereka. Ia termasuklah pengumuman (pada 2013) untuk menubuhkan TLDM Bintulu. Ia mampu menjadi serampang dua mata; boleh digunakan menentang ancaman keselamatan atau juga dihala kepada China. (d) Dari sudut ekonomi, Malaysia terus menikmati manfaat minyak dan sumber gas asli secara maksimum manakala di pihak China, mereka membiarkannya tanpa gangguan.

Masa Hadapan
Malaysia boleh menilai semula pendekatannya jika berlaku perubahan signifikan seperti ancaman terhadap minyak dan gas asli. Juga keputusan Mahkamah Antarabangsa ke atas kes Filipina menentang negara China berkaitan LCS ini mungkin meletakkan Malaysia pada kedudukan tidak selesa. Buat masa ini, Malaysia masih dalam keadaan seimbang. Menteri Luar Malaysia, Anifah Aman kelihatannya berani membawakan persoalan berkaitan tindak-tanduk China dalam Permukiman Menteri Luar ASEAN (Januari 2015). Dalam masa yang sama, Malaysia kekal dengan tuntutannya. Juga bekerja keras menjaga hubungan dengan China terutamanya dalm bidang ekonomi. Pendekatan “Mengambil Langkah Selamat” ini ibarat menarik rambut dalam tepung (berhati-hati dan berisiko), dan Malaysia kelihatannya konsisten dengan cara sebegini.

--

1. Malaysia’s South China Sea Policy: Playing It Safe, Prashanth Parameswaran, 2015, The Diplomat
2. Chinese President Praises Malaysia’s Quiet Diplomacy On South China Sea Issues, 2014, https://www.pmo.gov.my/home.php?menu=newslist&news_id=13769&page=1731&news_cat=80
3. Playing It Safe: Malaysia’s Approach to the South China Sea and Implications for the United States, Prashanth Parameswaran, 2015, Center for a New American Security.
4. Laut China Selatan: Menteri Luar ASEAN ulangi ketegasan kekal keamanan, 2015, BERNAMA
5. LCS, Aset Utama TLDM, Mula Beroperasi Pada 2018, 2013, BERNAMA
6. Perluasan Sempadan China di Laut China Selatan, Faqih Ahmad Shuhaili, 2015, IRIS Institute

--

Polisi Langkah Selamat Malaysia dalam Tuntutan Laut China Selatan: diterbitkan kali pertama di IRIS Institute 25 April 2015

No comments:

Post a Comment

Labels