Monday, 21 January 2013

Riang Ria Suka Duka Bersama Baginda

Wahai Rasul kami merindui, sinaran wajahmu mendamaikan jiwa,
Manis senyuman mu penawar hiba, di hati kami kaulah segalanya.

Untuk hidupkan memori kita pada seseorang, biasanya kita akan kenang semula detik kita bergelak ketawa dengannya. Kata-katanya yang pernah diucapkannya, kita akan cuba selalu segarkan di minda. Teringatkan jasa, pengorbanan dan kesusahannya apatah lagi; menjadikan kita terhutang budi dan terharu. 

Kalau baca novel / cerpen atau tengok movie / tv, teknik yang samalah yang digunakan untuk timbulkan emosi jika ada flashback pada watak-watak yang sudah tiada. Apatah lagi, jika watak yang dimatikan itu merupakan hero / watak utama cerita tersebut.

Elok juga kita aplikasikan teknik ini ketika cuba menghayati sirah Rasulullah saw. Cuba untuk memahami perasaan sahabat yang bertahun-tahun hidup di sisi baginda.

Kisah 1: Makan Kurma Sekali Dengan Bijinya
Pernah suatu ketika, dalam hadis yang diriwayatkan Imam al Bukhari, Rasulullah SAW dan para sahabat duduk bersama sambil memakan buah kurma. Biji-bijinya mereka sisihkan di tempat masing- masing. Ali ra tiba-tiba tersedar, biji-biji kurma yang disisihnya sudah banyak. Tanda beliau sudah makan terlalu banyak.

Tiba-tiba Ali mendapat idea untuk kenakan baginda. Secara diam-diam beliau pindahkan biji-biji kurma tersebut ke sisi Rasulullah. Lalu dengan tersipu-sipu Ali berkata, “Wahai Nabi, engkau memakan kurma lebih banyak daripada aku. Lihatlah biji-biji kurma yang berkumpul di tempatmu.”

Nabi pun tersenyum dan menjawab, “Ali, kamulah yang memakan lebih banyak kurma. Aku makan kurma dan masih menyisakan biji-bijinya. Sedangkan engkau, memakan kurma sekali dengan biji-bijinya”.

Kisah 2: Menggali Parit Peperangan Khandaq
Menggali parit di Madinah ketika itu bukannya kerja yang senang. Apatah lagi kalau tanahnya keras bercampur batu. Diceritakan ketika susahnya bekerja ketika itu, ada seorang sahabat yang berasa teramat lapar dan dahaga sehinggakan terpaksa mengalas perutnya dengan sebiji batu. 

Beliau bertemu Rasulullah sambil mengadu, "Wahai Rasulullah. Aku sangat-sangat lapar. Sampaikan untuk kurangkan rasa laparku aku alaskan perut aku dengan sebiji batu”. Sambil berkata begitu sahabat tersebut membuka bajunya dan menunjukkan satu batu yang ada pada perutnya.

Sambil tersenyum kemudian Rasulullah membuka bajunya. Terlihatlah oleh sahabat tadi ada dua buah batu yang terikat pada perut Rasulullah. Begitulah tabahnya baginda, waktu susah dan sukar, tetap diharung secara bersama.

Kisah 3: Siapa Mahu Beli Budak Ini?
Seorang sahabat bernama Zahir, Rasulullah mencintainya, begitu juga sebaliknya. Suatu hari, ketika di pasar, Rasulullah melihat Zahir sedang berdiri melihat barang dagangannya. Baginda cuba untuk bergurau dengan Zahir, dengan memeluknya dari belakang. 

Spontan Zahir terkejut, “Hei, siapa ni? Lepaskan aku!”, Zahir cuba melepaskan diri, lalu menoleh ke belakang. Gembira beliau, ternyata yang memeluk dan bergurau dengannya merupakan Rasulullah.

Zahir pun menyandarkan tubuhnya pada Rasulullah dan eratkan lagi pelukan baginda. Di hadapan ramai manusia, Rasulullah lalu bergurau dengan berkata, “Wahai manusia, siapa yang mau membeli hamba ini?” Zahir menjawab, “Ya Rasulullah, aku ini tidak bernilai di pandangan mereka” Rasulullah menjawab: “Tapi di pandangan Allah, engkau sungguh bernilai Zahir. Mahu dibeli Allah atau dibeli manusia?” 

Zahir pun makin mengeratkan tubuhnya dan merasa damai di pelukan Rasulullah. (HR Imam Ahmad)

Begitulah baginda bersama sahabatnya. Digambarkan bahawa baginda jarang kelihatan bersendirian, hampir setiap masanya didampingi para sahabat. Sudah pasti kehilangan baginda bukanlah perkara yang senang. Walau sudah tiada, bayangan baginda tetap hidup. Mungkin itulah yang menyebabkan Bilal ra tidak sanggup lagi tinggal di Madinah, kerana terlalu sangat merindukan baginda. 

Kerana cinta kepada Rasulullah
Bererti cinta kepada Allah

5 comments:

  1. Nice....
    Harap dapat berkongsi di ruangan forum Jihad Belajar. Layari www.jihadbelajar.com.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  4. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  5. Thank you akhi faqih for sharing those interesting stories of our beloved prophet muhammad PBUH

    ReplyDelete

Labels