Thursday, 22 July 2010

Besarnya Pengorbanan Anta

"Besarnya pengorbanan anta"
Ini kata-kata seorang akh kepadaku.

Terkedu aku sebentar. Bas masih bergerak lancar. Dalam kegelapan, kedengaran tangisan bayi menggangu perbualan kami. Jem kepala otak aku. Memang aku ni jenis yang tidak biasa dipuji. Tak reti nak merespon atas pujian yang diberi. Lima minit kemudian, baru dapat berfikir. Dua sisi yang aku pandang dalam perkara ini.

Pertama: Ini ujian daripada Allah. Ingin menguji keikhlasan dalam diri ini. 
Bukan pujian dan kekaguman yang didambakan, tetapi bersih dan bulatnya niat memberikan apa yang ada pada diri kepada Allah.

Tak perlulah dikira semula setiap ringgit dan sen untuk travel, makan dan survival lain. Setiap detik, masa dan tempat yang telah dituju. Buat membangga diri sahaja. Yang pasti, Allah itu maha teliti, maha mengira, pasti tidak akan ada disia-siakannya sebarang amal yang ikhlas kepada-Nya.

Kedua: Kita memandang benda yang kecil sebagai besar.
Ibarat seekor semut kali pertama berjumpa dengan si tikus, katanya tikus itu sudah sangat besar. Belum lagi semut ini berjumpa dengan gajah mahupun dinosour. Berapa ramai ikhwah yang biasa saje travel dari Johor ke KL. Dari Johor ke Perak. Yang naik turun flight pun ramai. Jangan dikira berapa banyak yang mereka beri pada jalan ini.
Entah pengorbanan yang besar itu macamana. Yang pasti, tiada rujukan lain melainkan merujuk kembali sirah salafus soleh sebelum kita. Lihatlah Mus'ab bin Umair sebagai contoh, dai yang dihantar membuka lahan dakwah di Madinah.
... datang Musab bin Umair ra, dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah sa melihat kepadanya, baginda menangis dan menitis air mata kerana mengenangkan kemewahan Musab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Musab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekah) ...
[HR Turmizi]

Dalam Muktamar Kelima pula, Imam as Syahid ada bercerita mengenai seorang akh. Cerita mengenai kegigihan dan kepantasan dalam bekerja.
Tidak ramai yang tahu bahawa ada antara pendakwah Ikhwan yang tamat bekerja pada waktu Asar hari Khamis, pada waktu Isyak dia telahpun berada di Elminya berceramah kepada masyarakat setempat, pada waktu sembahyang Jumaat pula dia menyampaikan khutbah di Manfalut, pada waktu Asar dia berceramah di Asyout, selepas Isyak dia memberi ceramah di Sohaj kemudian seperti biasa pada awal pagi Sabtu dia telah berada di tempat kerjanya di Kaherah sebelum rakan-rakan sekerja yang lain tiba.

Maka sedarlah, sebenarnya...
Masih sedikit pengorbanan kita. Dan masih banyak yang perlu kita korbankan untuk mencapai cita-cita kita.

1 comment:

  1. dan sebenarnya, pengorbanan ibu bapa juga lebih besar dari segala macam pengorbanan kita

    kerana merekalah kita berada di atas jalan dakwah ini, atas doa-doa mereka di malam hari supaya kita dihidayahkan oleh allah

    dan jalan inilah sebuah hidayah terbesar

    ReplyDelete

Labels