Friday, 24 April 2015

Troll Lari Tajuk


Setiap perkara perlu dilihat pada konteksnya. Terutama melibatkan perkara yang kita dapat dengan mudah, pantas dan ringkas. Memberi komen tentang perkara seperti ini bukan pada konteksnya hanyalah sia-sia. Silap-silap ia boleh tersilap arah dan mengeruhkan keadaan.

Komentar yang lari konteks ada masanya disambut popular. Orang ramai kebiasaannya mencari pendapat yang mudah berbanding berurus dengan situasi yang kompleks. Lebih-lebih lagi yang bersifat troll, makin ramai generasi muda yang akan mengviralkannya.

Contoh terbaru, ketika orang ramai berbincang tentang syiar agama lain (salib) di kawasan orang Islam, ada yang troll sana sini gugur iman kerana terpandang salib, abjad t dalam penulisan. Gembira dan gelak ketawalah orang ramai, lalu melupakan tentang perkara yang lebih besar; salib yang ada larangan yang keras dalam fiqh dan sirah.

Contoh lain, ketika pihak berkuasa cuba mengekang dakyah kristianisasi yang mahu menyesatkan orang Islam (larangan perkataan Allah dan kalimah suci dalam penerbitan Bible), ada figur masyarakat yang alihkan kepada orang bukan Islam juga sebut nama Allah, perkataan dalam lagu negeri dan lain-lain. Ia tidak “address” masalah yang berlaku, sebaliknya mencelarukan lagi hala tuu pemikiran masyarakat.

Ketika kita ceritakan tentang ancaman bagi umat Islam, ada yang bawak lari ke tajuk yang kononnya menginsafkan, “memang mereka itu jahil dan jahat, kita yang kena perbaiki diri kita, jangan salahkan orang lain, paranoid”. Sedangkan konsep SWOT, “strength and opportunity”, “weakness and threat” merupakan suatu yang sangat biasa ketika berhadapan dengan sesuatu masalah. Baik dalaman, mahupun luaran, semua aspek perlu dipastikan agar menyebelahi pihak kita.

Banyak lagi contoh lain yang berlaku. Berbicara tentang cengkaman zionis dunia dibawa kepada troll nasi lemak illuminati. Masyarakat yang dahagakan konsep jihad ditidurkan dengan lagu hanana. Orang berbicara tentang soal agama diminta alihkan tajuk kepada bebanan ekonomi rakyat. Perjuangan tingkatkan jatidiri dan taraf bangsa dibawa kepada bahaya perkauman.

Akhirnya, rakyat tidak memahami keutamaan mereka. Rakyat dibelai dengan perkara yang mudah, lawak dan ringan. Kita bukan buat perkara yang kita suka, sebaliknya kita perlu suka dengan perkara yang kita mesti buat.

Popular Posts