Monday 2 March 2015

Persoalan dan Kemungkinan (Kelemahan Dialog Bahagian IV)


Antara masalah yang akan timbul apabila berdialog ialah pertimbangan (neraca) atau nilai apakah yang akan digunakan dalam menyelesaikan konflik. Perkara seperti keadilan, keharmonian, kebebasan merupakan suatu perkara yang mempunyai spektrum yang sangat luas dan pelbagai sudut pandang.

Dalam sesi dialog, perbincangan tentang definisi ini lazimnya akan memakan masa dan tidak dapat sampai ke titik akhir yang dapat disepakati bersama. Lalu persoalan seterusnya ialah adakah apabila kedua-dua belah pihak tidak bersetuju, dialog tersebut dikira berjaya. Dan jika ia tidak berjaya, sampai bilakah perbincangan tersebut perlu diadakan untuk mencapai tahap semua bersetuju dengan sesebuah konsep tersebut.

Sebagai contoh, keadilan dalam Islam ialah memberikan yang hak kepada yang berhak. Berhukum dengan agama dalam soal pemerintahan juga merupakan keadilan yang Islam gariskan kepada umatnya capai. Antara yang ditentukan ialah keperluan bagi pemimpin utama dan yang memegang posisi penting mestilah beragama Islam. Namun, orang lain akan membawa naratif keadilan melalui kaedah yang berbeza seperti peratusan kerusi, komposisi kaum dan adat tradisi.

Ingkar Persetujuan
Selain itu, soalan yang menjadi tanya tanya ialah bagaimana pula jika mereka bersetuju dalam dialog tersebut, dokumen ditandatangani, namun bertindak sebaliknya selepas dialog tersebut. Contoh yang rapat bagi contoh ini ialah perjuangan PAS mewujudkan negara Islam yang tidak sehaluan dengan perjuangan DAP. Wujud dokumen yang menunjukkan mereka bersetuju untuk berbeza namun apabila konsep tersebut cuba diimplementasi, DAP bertindak memberi amaran untuk mengeluarkan mereka daripada Pakatan Rakyat.


Inilah yang Sharp cuba gambarkan kepada kita bahawa dalam sesebuah dialog atau rundingan, menilai sesuatu pendirian itu sama ada baik atau tidak sebenarnya tidak menyelesaikan sesuatu masalah. Walaupun perkara tersebut akan dibincangkan, penyelesaian terakhir terletak pada siapa yang paling berkuasa menentukan tindakan seterusnya.

Lihat kes Kalimah Allah, kerajaan sejak awal lagi merasakan mereka mempunyai kuasa eksekutif meletakkan larangan tersebut berdasarkan pertimbangan mereka. Pihak gereja pula mencari mahkamah sebagai pihak yang mempunyai kuasa tanpa mempedulikan larangan kerajaan. Dialog awal-awal lagi telah pihak gereja ketepikan. Segala puji bagi Allah yang menetapkan keputusan akhir mahkamah menyebelahi apa yang syara tetapkan. Itupun pihak gereja masih lagi mencari ruang mencabar dengan mengemukakan semakan kes mahkamah.

Beralah
Perhatian juga patut diberikan kepada apa yang pejuang dan pengkhianat mahu mengalah dalam usahanya menjayakan dialog. Mengambil contoh konflik antara PAS dan DAP sebelum ini, lazimnya sesuatu rundingan hanya berhasil apabila wujud kompromi antara kedua-dua belah pihak. Perlu ditanya apa yang pejuang akan benarkan pengkhianat lakukan nanti, dan apa pula pengkhianat mahu berikan sebagai pulangan kepada pejuang.

Soalan seterusnya pula, adakah mereka akan selama-lamanya akan berpuas hati dengan perkara yang telah mereka beralah. Hakikatnya, tidak ada persetujuan yang akan berkekalan selama-lamanya. Pelbagai faktor seperti bidang kuasa, pandangan masyarakat akan mengubah sesuatu persetujuan, maka menjadi keutamaan pihak pejuang untuk memastikan hak mereka tetap terpelihara tanpa menyibukkan diri dalam dialog yang tidak menentu destinasi akhirnya.

Dan katakan sesebuah persetujuan itu nanti dicapai, perdamaian atau penyelesaian bentuk apakah yang akan terbentuk. Wujudkah nanti agree to disagree yang menyaksikan pejuang hanya mampu bersuara tanpa memiliki kuasa eksekutif. Adakah pengamalan dan agenda Islam akan lebih dihormati, atau ruang untuk pengkhianat mencabar asas negara semakin terbuka luas. Ini yang sepatutnya lebih difikirkan untuk dipertahan berbanding untuk diam dan bersetuju.

bersambung

No comments:

Post a Comment

Labels