Thursday, 22 January 2015

Batasan Dialog (Kelemahan Dialog Bahagian II)


Sharp seterusnya mula mengutarakan pandangannya bahawa dialog merupakan alat yang sangat berguna dalam menyelesaikan konflik tertentu. Ia juga tidak patut diabaikan ketika suasana memerlukan seperti konflik yang tidak melibatkan prinsip utama. Ketika itu kompromi merupakan jalan terbaik menyelesaikan konflik. Contoh terbaik bagi keadaan seperti ini ialah rusuhan melibatkan gaji pekerja. Namun situasi menjadi berbeza apabila melibatkan pertembungan antara pengkhianat dalam sesebuah negara dengan pejuang yang mempertahankannya.

Bagi Sharp, contoh prinsip utama yang tidak patut dirundingkan atau dikompromi termasuklah hal berkaitan agama, kebebasan manusia dan pembangunan masyarakat pada masa hadapan selain beberapa isu asas lain. Prinsip / asas utama ini hanya sesuai dipertahankan dengan kuasa yang dimiliki. Isunya bukanlah dialog atau rundingan tidak perlu diadakan, namun ia menjadi tidak relevan apabila berhadapan dengan pengkhianat yang licik dan pandai berhelah sementara pejuang pula dalam keadaan yang naif atau tidak bersedia.

Ada beberapa perkara menarik di sini. Pertama, selain menjunjung kebebasan manusia dan nasib masa hadapan masyarakat, Sharp turut memahami kedudukan penting agama dalam sesebuah masyarakat yang mampu membangkitkan semangat juang sesebuah masyarakat untuk mempertahankan kepercayaan mereka. Mungkin kerana agama berkait rapat dengan kehidupan seharian seseorang dan ia diamalkan oleh semua lapisan masyarakat, maka kepentingan dan kedudukannya senang untuk disedari. Berkompromi terhadap isu ini pula akan menimbulkan rasa tidak selesa dalam masyarakat. Sharp boleh memahami, mustahil kita tidak. 

Malang sekiranya pejuang sanggup mengorbankan perkara berkaitan agama untuk dilihat lunak dalam menghadapi sesebuah konflik. Isu Kalimah Allah yang mahu direbut pihak gereja melalui kuasa mahkamah merupakan contoh yang menampakkan perbincangan tidak lagi menjadi medium untuk menyelesaikan konflik. Tindakan mahkamah perlu dilawan dengan tindakan mahkamah. Begitu juga dalam tuntutan COMANGO terhadap pengamalan dan penguatkuasaan agama dalam masyarakat. Berdialog tidak berguna lagi dengan mereka yang sudahpun menyediakan laporan dan aduan untuk dilobi semasa sesi semakan hak asasi manusia antarabangsa di PBB.

Kedua, kebangkitan masyarakat dapat dilihat apabila perkara berkaitan agama mereka dicabar. Masyarakat majoriti yang sebelum ini senyap bangkit berhimpun di mahkamah sehingga mendapat perhatian hakim. 740 000 tandatangan rakyat awam juga memberikan signal jelas permintaan COMANGO tidak perlu untuk wujud di negara ini. Tamatnya kedua-dua sketsa ini diharapkan memberi pengajaran kepada kerajaan bahawa mereka perlu bertindak dengan berani dan tanpa ragu-ragu mengekang agenda pengkhianatan kepada negara kerana rakyat negara berdiri teguh bersama mereka. Lebih-lebih lagi wujud sesetengah pengkhianat yang menganggap peperangan mereka masih belum selesai dan berdegil mahu tetap bertindak berlawanan dengan keputusan mahkamah.

Ketiga, pihak pejuang perlu memastikan mereka mempunyai kuasa dominasi dalam majlis dialog dengan pengkhianat. Tidak cukup dengan hanya membaca doa ketika majlis atau mengurus teknikal penganjuran atau berucap dalam satu slot sahaja sedangkan 90% slot yang lain menjadi tempat pengkhianat menyebar dakyah mereka. Dialog pula tidak wajar hanya menjadi sesi berkenalan agenda antara kedua-dua belah pihak, sebaliknya patut menjadi medan pejuang mengalahkan hujah-hujah golongan pengkhianat dan membuktikan apa yang mereka perjuangkan itulah yang terbaik.

Sebab itu wajar sahaja pihak pejuang menarik diri daripada berdebat seandainya mereka tidak bersedia untuk berdebat golongan pengkhianat. Kekuatan perlu dibina terlebih dahulu. Ini tidaklah menghalang pejuang menggunakan kuasa untuk mengekang kejahatan pengkhianat buat sementara waktu. Setidak-tidaknya, agenda jahat mereka dapat dicegah.

Tambah Sharp seterusnya, dialog hanyalah umpan ketika golongan tersebut (pengkhianat) dalam keadaan lemah. Namun apabila mereka berasa selamat dengan kedudukan yang mereka ada, mereka akan menutup pintu dialog dengan pihak pejuang.

Lihat sahaja kes COMANGO dan Kalimah Allah, cabaran tersebut dilakukan tanpa berdialog terlebih dahulu dengan pihak pejuang, kerajaan atau masyarakat awam. Wujud sahaja peluang menghakis pengamalan Islam, pantas golongan pengkhianat ini mengambil kesempatan. Jika mereka merasakan boleh menang, mereka akan mengetepikan dialog. Namun ketika mereka lemah, mereka bersuara seolah-olah hak bersuara pula yang diketepikan. Inilah "permainan mangsa” yang dimainkan mereka dengan licik sehingga golongan pejuang pun boleh terpedaya dan terikut-ikut dengan rentak mereka.

bersambung

Bahagian I | Bahagian II

No comments:

Post a Comment

Labels