Thursday, 29 January 2015

Geopolitik Malaysia 2015


2015 tahun Malaysia menjadi pemain politik antarabangsa yang penting. Dalam ASEAN, Malaysia dilantik sebagai pengerusi bermula awal tahun ini. Melihatkan track record sejak penubuhan ASEAN, Malaysia mempunyai pencapaian dan strategi yang baik dalam hubungannya sesama negara anggota. Dan ada kalanya, langkah diplomasinya terkehadapan berbanding yang lain. Maklum balas baik yang diberikan Menteri Luar ASEAN semalam merupakan salah satu contoh terdekat yang menunjukkan mereka mengalu-alukan kepimpinan Malaysia kali ini.

Dalam hubungan antarabangsa, Malaysia terkenal sebagai negara yang mengutamakan pendekatan aman dalam menghadapi sesuatu konflik serantau. Dan 2015 akan menyaksikan bagaimana Malaysia terutamanya sebagai pemimpin ASEAN akan kekal teguh dengan pendekatan tersebut dalam keadaan pelbagai konflik berpotensi berlaku, sama ada berbentuk dalaman sesebuah negara anggota atau sesama mereka.

2015 juga menyaksikan Amerika Syarikat (US) akan terlibat dengan kawasan Asia Tenggara lebih dekat. Dalam laporan Preventive Priorities Survey 2015, konflik di Laut China Selatan diletakkan dalam kumpulan satu; dijangkakan pasti berlaku dan memberi kesan besar kepada US. Konflik di sini melibatkan pertelingkahan sempadan antara negara China dengan negara ASEAN (termasuk Malaysia) yang tidak mengetepikan kemungkinan akan berlaku konflik bersenjata untuk merebut kawasan dan kepulaun di situ.

US walaupun tidak terlibat dalam menentukan kawasan sempadan, mempunyai kepentingan dalam bentuk laluan perdagangan dan hubungan rapat dengan negara terlibat seperti Filipina dan Vietnam. Dan mereka sudah pun melobi sokongan dan menunjukkan keinginan untuk terlibat sama  dalam konflik di sini terutamanya memberikan tekanan kepada China. Inilah sebahagian kisah pertembungan kuasa besar dunia hari ini.

Dalam soal TPPA pula, US sedang berusaha keras menekan Malaysia untuk menandatanganinya. Rakyat Malaysia pula giat mengusulkan bantahan agar Malaysia tidak terlibat dengannya agar kepentingan dan peluang rakyat tidak diganggu syarikat luar yang berskala besar. Anak di  buaian jangan sampai dibiarkan kelaparan gara-gara menyusukan beruk di hutan.

MH370 pula masih belum dijumpai dan sudah diisytiharkan sebagai nahas kemalangan. Begitu juga MH17, siasatan masih dijalankan dalam keadaan Malaysia selaku pemilik kapal terbang tidak terlibat dalam jawatankuasa penyiasatan. Dua insiden penerbangan ini menjadikan Malaysia terlibat rapat dengan banyak negara termasuklah kuasa-kuasa besar yang bertembung demi kepentingan masing-masing. Takut nanti gajah sesama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah.

Apa pula yang Malaysia perlu buat? Kena pandai bermain tarik tali dengan negara-negara yang berkaitan. Politik kerajaan PM Najib dilihat cemerlang dalam soal hubungan diplomatik bilateral ini. Bipartisan Malaysia terhadap kuasa besar dunia dilihat seimbang. Kemahiran berunding dan memujuknya tinggi. Pun begitu, kerajaan perlu terus didesak agar tidak menggadaikan kepentingan 30 juta rakyatnya dalam berurusan dengan negara luar. Terutamanya agenda Melayu-Islam yang menjadi teras kestabilan negara. Makin kuat soal dalaman ini dicabar, tidak ke mana juga projek antarabangsa kerajaan ini nanti.

Dan kita selaku umat Islam, entah bila akan mula menjadi pengatur peristiwa untuk politik antarabangsa, setelah lama sangat kita berada di posisi dicatur. Sepak terajang yang berlaku sekarang ni perlu diperhatikan, dikumpulkan datanya dan dianalisis, kemudian dirumus untuk menjadi polisi. Moga inilah cita-cita kita, tidak lagi menjadi reaktif, tetapi proaktif beraksi di pentas antarabangsa. Lain nanti rasanya apabila laa takuuna fitnah, wa yakuun diin kulluhu lillah (tiada lagi fitnah terhadap umat Islam, dan agama semuanya menjadi milik Allah)

No comments:

Post a Comment

Labels