Monday, 26 January 2015

Perangkap (Kelemahan Dialog Bahagian III)


Mereka yang tidak bersetuju dengan pihak pengkhianat tetapi cenderung pada dialog umumnya berjiwa lembut dan berhati jujur. Lebih-lebih lagi pertelingkahan yang berlaku bertahun-tahun sangatlah merunsingkan sedangkan bagi mereka, masyarakat secara umumnya mahukan suasana yang harmoni tanpa pertelingkahan.

Dialog makin menjadi pertimbangan pejuang apabila pengkhianat kerap dan lantang bersuara menyuarakan tuntutan mereka dengan menggunakan semua pengaruh yang ada. Media pula memainkan peranan dengan melaporkan setiap pandangan yang diutarakan, kadang-kadang meletakkan tajuk dan memilih kandungan dengan bias ke arah agenda pihak pengkhianat. Pihak yang berada di sisi mereka diangkat dan dikuatkan suara mereka, walaupun tidak mempunyai kredibiliti. Semuanya agar agenda pihak pengkhianat kelihatan ramai dan mempunyai sokongan kuat.

Lalu di pihak pejuang ada yang sanggup melunakkan sedikit pendirian mereka agar pertembungan idea tidak jelas kelihatan selain menjaga suasana agar tetap harmoni. Masuklah pejuang ke perangkap pengkhianat. Harmoni yang dijaga sebenarnya hanyalah gambaran yang diberikan media pengkhianat, sedangkan masyarakat mahukan agar hak dan perjuangan mereka dipertahankan.

Pengkhianat yang menawarkan dialog secara terbuka pula umumnya boleh disifatkan hanya bersandiwara. Salah faham mereka terhadap Melayu / Islam boleh dijernihkan dengan banyak mengkaji dan merujuk secara individu dengan pakar berbanding mengkontroversikan sesuatu perkara dalam media massa. Apabila wujud kontroversi, mudahlah nanti mereka untuk menawarkan peluang dialog agar dapat kelihatan jujur dan berniat mulia.


Kadang-kadang kita tertanya takkanlah mereka tidak berusaha terlebih dahulu memahami dan menghormati pengamalan agama, hak istimewa bangsa Melayu di negara kita. Dan jika mereka tersalah, paling tidak mereka perlu menarik semula kenyataan dan memohon maaf kepada masyarakat. Lebih-lebih lagi dengan kedudukan mereka, patutnya mereka memahami budaya setempat. Sepatutnya isu sensitif dibincangkan secara dalaman dan tertutup terlebih dahulu dengan lumat dan matang sebelum dibawa ke masyarakat untuk mengelakkan kontroversi dan ketidakselesaan masyarakat, lalu ditimbangkan salah atau betulnya, perlu atau tidak.

Namun tindakan seperti ini dilihat sepi di pihak mereka.

bersambung

Bahagian I | Bahagian II | Bahagian III

No comments:

Post a Comment

Labels