Antara tanda kebijaksanaan dan kematangan berhujah adalah apabila kita mampu menimbangkan kesemua sisi pandangan yang ada. ia kemudiannya digunakan untuk menentukan kesimpulan dan pendirian terhadap perkara tersebut. Perkara ini walaupun perkara biasa diajar dalam mengkaji atau bereksperimen (tujuan, hipotesis, pemerhatian, perbincangan, kesimpulan), namun kelihatan asing dipraktikkan dalam pertimbangan seharian.
Untuk menilai sesuatu perkara, tak boleh letakkan kesimpulan terlebih dahulu. Paling tidak perlu senaraikan pemerhatian yang ada. Tidak cukup dengan hanya tahu apa hujah menyokong sesuatu perkara tersebut, tetapi juga perlu tahu hujah menentang dan atas sebab apa ia tidak terpakai. Semakin banyak pemerhatian dan sudut pandang, semakin baik perbincangan yang akan dibuat selepas itu. Meletakkan kesimpulan terlebih dahulu, kemudiannya baru mencari hujah hanya akan menampakkan unsur bias si pengkaji.
Contoh Seharian
Contoh yang terkait dengan perkara terbaru ialah GST. Kalau awal-awal lagi dah bawa kesimpulan GST itu haram membebankan, maka hujah yang dicari ialah hujah yang menunjukkan cukai ialah haram dan membebankan. Hujah yang menyokong GST pula akan diketepikan awal-awal. Mungkin atas alasan yang menyokong GST ialah bias kerajaan. Padahal langsung tidak menimbangkan kebaikan GST itulah yang bias sebenarnya. Method berhujah dan mengkaji sendiri sudah salah.
Contoh lain, ada yang berpandangan dalam Islam, hubungan dengan bukan Islam ialah sentiasa berlembut. Golongan seperti ini, ketika berhujah handal mengeluarkan pelbagai sirah yang menceritakan kelembutan baginda saw, terutamanya ketika fasa Mekah dan berhubung dengan Arab Badwi. Dalam membawa pandangan keseluruhan yang matang, sepatutnya naratif ketegasan baginda saw dalam berhadapan dengan pihak Yahudi yang mungkir janji, juga golongan bukan Islam yang menghina baginda juga patut diketengahkan. Barulah dapat difahami dalam keadaan apa baginda bertegas, dalam keadaan apa baginda berlembut.
Contoh lain, ada yang berpandangan meninggikan diri langsung tidak dibenarkan dalam Islam. Orang Melayu lebih selesa dengan konsep ‘tawadhu’ terutamanya dalam bab beragama, lalu menyebabkan usaha untuk menonjolkan keberanian dan nilai Islam dalam diri mereka menjadi sukar. Dalam Islam, ada masanya perlu merendah diri, terutamanya ketika bermunajat kepada Allah, namun dalam urusan seharian, umat Islam patut memberikan keputusan dan usaha yang paling baik. Bahkan perlu lebih gah berbanding dengan bukan Islam. Perkara sebegini berlaku disebabkan mereka tidak terdedah dengan kepentingan “meninggikan diri” lalu wujud “stereotype” bahawa ia sentiasa salah.
Sebab itu dalam berhujah dan mahu sampai pada suatu kesimpulan, tak cukup dengan kemukakan satu dalil atau fakta semata-mata. Perlu biasakan mendengar pendapat yang kontra, selain belajar mengurus dan menyusuaikan perbezaan pandangan yang wujud. Agar perkara yang kita bincangkan menjadi matang dan tidak bias.
No comments:
Post a Comment