Monday, 23 March 2015

Hudud: Berbeza Politik vs Berbeza Agama


Manusia yang ramai atas dunia ini dibezakan dengan pelbagai kaedah. Ada perbezaan yang semulajadi (seperti jantina, warna kulit dan keturunan) ada pula perbezaan berdasarkan pemilihan (agama, ideologi politik etc).

Perbezaan secara semulajadi ditanggapi dengan cara menghormati dan cuba berkenalan serta memahami (alHujuraat - litaarafu). Manakala perbezaan berdasarkan pemilihan ada masanya dirai, ada masanya pula manusia memusuhi. Terpulang kepada diri masing-masing dalam berhadapan dengan perbezaan ini.

Membahagikan manusia mengikut kaum, lalu berlaku perseteruan dan zalim-menzalimi antara kaum merupakan tindakan rasis. Namun membahagikan mereka untuk memahami sejarah dan status, lalu digunakan untuk membantu mengikut kaedah tertentu merupakan suatu keadilan. Begitu juga membahagikan manusia mengikut jantina lalu membuka ruang untuk deskriminasi dan penindasan merupakan suatu jenayah. Namun membezakan kedua-dua jantina ini untuk mengelakkan gejala sosial merupakan suatu tindakan terpuji.

Membahagi manusia mengikut ideologi politik, dalam banyak keadaan, menimbulkan perpecahan dan perbalahan. Dalam negara kita, berseteru antara PAS vs UMNO dan BN vs PR merupakan suatu bentuk kerugian. Namun para politikus yang mengejar status politik diri pula melihat ini sebagai suatu bentuk kematangan.

Undang-undang Hudud
Dalam kes hudud hari ini, ada politikus kelihatannya suka jika pendirian seseorang itu berdasarkan blok politik masing-masing. Mereka menuduh PAS menikam belakang dan mengkhianati persepakatan PR. ADUN PKR, sekalipun beragama Islam, diminta untuk tidak menyokong undang-undang tersebut. Dia sedaya upaya bersuara kuat berharap agar hudud ini tidak diluluskan atas alasan mereka sepakatan.

Namun rupa-rupanya lebih ramai yang mahukan jika pendirian terhadap hudud ini berlaku disebabkan agama. Orang Islam perlu menyokong hudud atas alasan ia tuntutan agama, sekalipun berbeza blok parti. Politikus kafir pula dibiarkan berbeza pendapat, mungkin kerana mereka tidak memahami, mungkin juga kerana mereka memusuhi.

Manusia selamanya akan berbeza, terutamanya dalam soal agama, ideologi dan politik. Cuma pilih sama ada mereka lebih selesa manusia berbeza kerana agama atau berbeza kerana politik. Hidup anda untuk agama, atau hidup anda kerana politik. Baca semula doa iftitah, anda akan temui jawapannya.

Dalam bahasa Arab, perbezaan ada dua kategori; 
ikhtilaf (minor), iftiraq (major)

No comments:

Post a Comment

Labels