Friday, 25 January 2013

Adakah Rasulullah Dah Dibangkitkan Semula?

Kita semua ada lagu, yang apabila diperdengarkan; kita teringat pada peristiwa tertentu yang kita alami suatu ketika dulu ketika mendengar lagu tersebut. Kadang-kadang, ingatan tersebut datang jelas dengan orang dan gelagat tindak tanduknya sekali.

Kalau saya, bila saya terdengar lagu 1234 Aris Ariwatan, saya teringat pada seorang ikhwah; Fakrur Razi @ Kojie namanya. Pernah ketika kami berusrah dulu di Tronoh, ada hukuman bagi sesiapa yang tertidur ketika pengisian. Dia terlelap (-.-), dan denda baginya, menyanyikan lagu.  1234 inilah yang dia pilih. Dan setiap kali saya terdengar lagu ini, saya terkenangkan usrah tersebut, tempatnya di ruang tamu, bulatan kami yang besar, ahli usrah kami yang ramainya student UTP beserta murabbinya, seorang doktor yang hebat.


Begitu juga dengan para sahabat ra dan ahli Madinah. Bukan lagu yang timbulkan kenangan mereka semula, tetapi laungan azan Bilal ra. Inilah yang menyegarkan ingatan mereka dahulu ketika bersama Rasulullah. Dahulunya, suara itulah yang mereka sahuti, untuk berimamkan baginda. Mendengar azan seolah-olah menghidupkan semula hati mereka lantaran mereka akan bertemu dengan Rasulullah untuk bersolat. Mungkin inilah sebabnya ketika Bilal ra melaungkan semula azan ketika zaman Umar ra setelah sekian lama, teresak-esaklah para muslimin. Bahkan pada kisah yang lain, sehingga mereka tertanya, "Adakah Rasulullah dah dibangkitkan semula?"
Masjid al-Aqsa menyambut kedatangan kaum Muslimin yang dipimpin oleh Khalifah Umar bin al-Khattab RA sewaktu ia dibebaskan daripada cengkaman penjajahan Rom. Palestin menjadi bumi Allah yang dimerdekakan oleh tangan-tangan yang beriman dan hati-hati yang penuh dengan rahmat. Mereka berkumpul di dalam masjid untuk menunaikan sembahyang Zohor. Amirul Mukminin Umar berkata: “Wahai Bilal! Ingatkanlah kami pada saat-saat permulaan datangnya Islam.” 
Bilal diperintahkan untuk mengumandangkan azan kerana kerinduan mereka kepada suara muazzin Rasulullah SAW itu. Selepas kewafatan baginda SAW, beliau tidak pernah mahu mengumandangkan azan lagi kerana teramat sedih merindukan kekasihnya, Muhammad SAW. Tetapi hari ini digagahi juga hatinya yang lama merajuk. Hati yang memendam rindu yang mematikan segala hasratnya untuk bergembira. Kaum Muslimin menanti dengan penuh harap, adakah sahabat mereka Bilal RA sudi untuk melepaskan gemersik suara kalbunya yang menyimpan kecintaan itu? 
Bilalpun bangun mengumpulkan segenap kekuatan bagi mengumandangkan kalimah-kalimah indah yang memukau setiap telinga yang mendengar dan menenggelamkan hati yang sarat dengan kasih tak terbalas. Kerana sang kekasih telah meninggalkan mereka menghadap Allah SWT. Pada saat kalimah yang paling mengharukan itu kedengaran; ’Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah …’. Lantas menangislah setiap mata yang menyaksikan, bergetar tubuh-tubuh para mujahid, terhiris rasa hati-hati yang amat rindu, terbuka seluruh hijab antara kekasih dengan kekasih. 
Bilal telah mengingatkan mereka kepada seorang manusia yang pernah meninggalkan kenangan manis, kenangan pada sepasang mata yang mengalirkan kesucian yang memasuki ruang hati dan memenjarakannya dalam cinta. Rindu pada sentuhan tangan yang menuntun ke jalan yang lurus, jalan yang mengajarkan tentang erti hidup. Ingatan mereka hanya tertuju kepada Rasulullah SAW, perkataan dan perbuatannya berhasil mempengaruhi pemikiran dan perasaan. Akhirnya hati merekapun menjerit: ”Bagaimana kami boleh teruskan hidup ini tanpamu ya Rasulullah …
Sumber: drjuanda.com

Minit 35:20 ke atas

اللهم صل على محمد
Allahumma Solli Ala Muhammad.

Popular Posts