Tuesday, 31 July 2012

[41:11] Kami Berdua Sedia Patuh dengan Sukarela


Dalam Bahasa Arab, ayat ini dibaca "Atainaa Thoo'i'iin". Ketika Allah menceritakan kekuasaan-Nya, ada Dia menyebutkan mengenai langit dan bumi. Ketika langit dalam keadaan asap dan bumi pula dalam keadaan sudah didirikan gunung dan disediakan bahan keperluan utk makhluk-Nya, Dia berfirman kepada kedua-dua langit dan bumi agar menuruti perintah-Nya, sama ada secara rela atau paksa. Lalu langit dan bumi menjawab, mereka mentaati-Nya secara sukarela, penuh ketaatan dengan segala sesuatu yang terdapat pada mereka yang Allah ciptakan.

Kemudian Ia menunjukkan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Ia berfirman kepadanya dan kepada bumi: "Turutlah kamu berdua akan perintahKu, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!" Keduanya menjawab: "Kami berdua sedia menurut - patuh dengan sukarela"
[Fussilat, 41:11]

Begitulah langit dan bumi dalam mentaati Tuhan mereka. Kita berdoa kepada-Nya agar diberikan ketaatan yang serupa sebagaimana yang ditunjukkan oleh bumi yang kita pijak dan  langit yang kita teduh ini, sehingga apabila diseru Tuhan kita, kita mampu menjawab, "Atainaa Thoo'i'iin".

Monday, 30 July 2012

[36:21] Orang yang tidak Meminta Balasan kepadamu


Dalam bahasa Arab, ia disebut "man laa yas'alukum ajron". Pernah pada zaman dahulu, ketika tidak memadai Allah menghantar rasul yang ketiga kepada sesuatu kaum, Dia menambah seorang lagi utusan (keempat) yang datang tergesa-gesa ke arah kaum tersebut, sambil bersungguh-sungguh mengajak mereka mengikut rasul-rasul tersebut yang mempunyai dua sifat: Pertama, tidak meminta balasan atas dakwah mereka dan kedua, diberikan hidayah petunjuk.

"Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayah petunjuk".
[YaaSiin, 36:21]

Moga kita jugalah orang yang disebut sebagai ""man laa yas'alukum ajron" ini. Ikhlas menyebarkan risalah kepada umat untuk membawa mereka kepada kebenaran, bukan terdorong / mengejar faedah duniawi semata, sebaliknya berusaha memberikan sebaik-baik pengorbanan. Kata orang, bukan balasan yang dimahukan, bahkan terkadang cacian pula yang datang tak diundang.

Saturday, 28 July 2012

[4:148] Perkataan Buruk (yang Dikatakan) dengan Berterus Terang


Dalam bahasa Arab, ia disebut al Jahra bi ssuu'. Asalnya, ia sesuatu yang tidak dibolehkan kerana tidak disukai Allah, namun diberikan pengecualian bagi mereka yang dizalimi; mereka dibenarkan untuk mendoakan perkara buruk untuk orang yang menzaliminya. Namun, Allah yang sentiasa Mendengar dan Maha Mengetahui ini memperingatkan bahawa jika dia bersabar, itu pastinya lebih baik.

Pernah ada seseorang datang kepada Rasulullah saw mengadukan bahawa dia mempunyai jiran yang menyakitinya, lalu baginda menyuruhnya mengeluarkan semua barang dari rumah untuk diletakkan di jalanan. Setiap kali orang ramai lalu, mereka bertanya "Apa yang terjadi?", lalu dijawab dia disakiti jirannya. Mereka lalu berkata, "Ya Allah, kutuklah dia, hinakanlah dia". Jiran yang menzaliminya sedar lalu berkata, "Baliklah ke rumahmu. Demi Allah, aku tidak akan menyakitimu lagi."

Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[an Nisaa', 4:148]

Tiada siapa sukakan kezaliman. Kita berharap agar orang yang dizalimi diberikan keadilan, yang menzalimi pula dijatuhkan hukuman. Andai kita dizalimi, kita berdoa agar diberikan panduan / kebijaksanaan dalam bertindak balas. Dua cara merespon ditawarkan (lihat an Nisaa', 4:149 juga): Pertama, al Jahra bi ssuu' dan kedua, tunjuk kebaikan, tutup kejahatan dan berikan kemaafan.

Friday, 27 July 2012

[18:110] Hendaklah Dia Kerjakan Amal yang Soleh


Dalam bahasa Arab, ayat galakan ini dibaca "falya'mal amalan soolihan". Ayat terakhir surah al Kahfi ini memberikan mesej rendah diri Rasulullah saw, bahawa baginda hanyalah manusia biasa seperti umatnya, diberikan wahyu bahawa Tuhan kita merupakan Tuhan yang Esa. Dua syarat diletakkan untuk bertemu dengan Tuhan yang penuh dengan kasih sayang ini: Pertama, beramal dengan amal soleh seperti yang diperintahkan-Nya dan kedua, tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu dalam ibadah.

Katakanlah: "Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku: "Bahwa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan Yang Esa". Barang siapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya maka hendaklah ia mengerjakan amal yang saleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya".
[al Kahf, 18:110]

Cukuplah untuk dikatakan bahawa pertemuan dengan Allah merupakan nikmat yang sangat besar, yang memerlukan kita menyahut seruan "falya'mal amalan soolihan" ini, selain tidak mensyirikkan-Nya dalam ibadah. Moga kita dikurniakan nikmat yang besar ini di akhirat kelak.

[13:18] Bagi Mereka yang Memenuhi Seruan Tuhannya



Dalam bahasa Arab, ayat ini dibaca "lillaziina stajaabuu lirabbihim." Bagi golongan ini, Allah janjikan Dia akan menyediakan balasan yang baik (al Husna). Bagi yang tidak menyahut seruan-Nya, walau sekaya mana pun mereka di dunia ini, ia langsung tidak akan berguna di akhirat nanti. Kelak di akhirat, mereka akan dihisab dengan buruk, dan diberikan sehina-hina tempat kediaman; neraka Jahannam.

Bagi orang-orang yang memenuhi seruan Tuhannya, (disediakan) pembalasan yang baik. Dan orang-orang yang tidak memenuhi seruan Tuhan, sekiranya mereka mempunyai semua (kekayaan) yang ada di bumi dan (ditambah) sebanyak isi bumi itu lagi besertanya, niscaya mereka akan menebus dirinya dengan kekayaan itu. Orang-orang itu disediakan baginya hisab yang buruk dan tempat kediaman mereka ialah Jahanam dan itulah seburuk-buruk tempat kediaman.
[ar Ra'd. 13:18]

Moga dalam aktiviti seharian, kita selalu peka dengan sentuhan hidayah dan seruan daripada-Nya, mentaati perintah-Nya dan apa yang disampaikan rasul-Nya, lalu diganjarkan dengan apa yang dijanjikan lillaziina stajaabuu lirabbihim ini.

Thursday, 26 July 2012

[19:23] Alangkah Baiknya Kalau Aku Mati Sebelum Ini


Dalam bahasa al Quran, ayat ini dibaca "Yaalaitanii Mittu Qobla Haaza". Keluhan ini diungkapkan Maryam, ibu Isa as saat melahirkan baginda ketika bersandar di pohon tamar. Mahu sahaja Maryam mati dan dilupakan agar tidak merasa perit ketika lahirnya bayi istimewa tersebut. Bukan mudah menjadi Maryam, perempuan solehah disanjung masyarakat, namun disisihkan kemudiannya lantaran mengandungkan nabi Isa tanpa seorang bapa.

(Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!
[Maryam, 19:23]

Maka sebagai seorang anak, memang layak kita memberikan ruang yang (sangat) besar dalam hidup buat ibu kita, kerana peritnya dia katakan "Yaalaitanii Mittu Qobla Haaza" saat melahirkan kita.

Wednesday, 25 July 2012

[25:74] Perkara yang Menyukakan Hati Melihatnya


Dalam al Quran, istilah ini disebut sebagai Qurrata A'yunin. Ketika menceritakan tentang ibaadur Rahmaan (hamba kepada Allah yang bersifat Maha Pemurah), salah satu sifat yang diperincikan ialah mereka kerap berdoa agar diberikan isteri dan keturunan yang menyejukkan mata serta dijadikan pemimpin bagi orang yang bertaqwa.

Pernah ada seseorang mengeluh, "Alangkah bahagianya kedua-dua mata yang dapat melihat Rasulullah saw. Aku teringin juga melihat apa yang kamu lihat, menyaksikan juga apa yang kamu saksikan," lalu dimarahi al Miqdad b al Aswad. Kata beliau, bukan mudah untuk hadapi ujian ketika hidup bersama baginda di zaman jahiliyah. Baginda datang membawa al Furqan, lalu memisahkan haq daripada batil, memisahkan seseorang yang muslim daripada keluarganya yang kafir. Cukuplah seseorang itu sedar, apabila anaknya mati dalam keadaan kafir, lenyaplah kebahagiaan kerana orang yang dicintainya berada dalam neraka. Di sinilah pentingnya untuk berdoa seperti apa yang ibaadur Rahmaan ini mintakan.

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.
[al Furqaan, 25:74]

Dan kita perlu sedar juga, ketika kita berdoa agar Allah berikan kita qurrata a'yunin ini, jangan lupa bahawa kita juga perlu berusaha untuk menjadi penyejuk mata juga.

Tuesday, 24 July 2012

[24:22] Adakah Kamu tidak Inginkan Allah Mengampunimu?



Dalam bahasa Arab, ayat ini disebut "alaa tuhibbuuna an yaghfira Allahu lakum?" Pertanyaan ini Allah berikan selepas Allah berikan teguran kepada golongan berada, yang tidak mahu memberi bantuan, memaafkan kesalahan dan berlapang dada kepada orang lain. 

Ayat ini diturunkan mengenai Abu Bakr as Siddiq ra ketika peristiwa hadits al Ifk (berita bohong menuduh Aishah ra, isteri Rasulullah saw berkelakuan sumbang). Ketika itu beliau berjanji tidak akan memberikan bantuan lagi kepada saudaranya, Mistah bin Utsatsah yang turut sama menyebar berita bohong tersebut. Mistah merupakan seorang miskin, hidupnya ditanggung Abu Bakr ra. Mistah turut tergolong di kalangan mereka yang berhijrah di jalan Allah. Dalam peristiwa hadits al Ifk ini, taubatnya diterima Allah dan hukuman turut dijalankan ke atasnya. Ketika ayat "alaa tuhibbuna an yaghfira Allahu lakum?" ini turun, Abu Bakr ra lalu menjawab, "Sudah tentu kami mahukan Engkau mengampuni kami". Lalu beliau membuat janji baru, untuk terus membantu Mistah.


Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahwa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat (nya), orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahwa Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
[an Nuur, 24:22]

Maka, selalukanlah rasakan Allah selalu menyeru kita selaku hamba-Nya "alaa tuhibbuna an yaghfira Allahu lakum" mudah-mudahan hati dan anggota badan kita akan segera menyahut seruan tersebut.

Monday, 23 July 2012

[9:71] Mereka itu akan Diberi Rahmat oleh Allah


Bahasa Arabnya, ulaaika sayarhamuhumu llah. Istilah ini Allah sebutkan ketika menceritakan mengenai orang beriman, lelaki dan perempuan yang saling menguatkan antara satu sama lain. Inilah balasan bagi mereka kerana menepati ciri yang Allah sebutkan iaitu lakukan amar ma'ruf, nahi munkar, dirikan solat, tunaikan zakat serta taat pada Allah dan Rasul.



Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
[at Taubah, 9:71]

Moga kita digolongkan dalam golongan sayarhamuhumu llah ini.

Wednesday, 30 May 2012

Forgive Me

Sempat pula tulis dalam blog; dua hari sebelum exam
Doakan utk paper seterusnya, Jumaat ini dan Rabu depan :)


Mula-mula tengok dokumentari Fetya ni (Nasyid Bukan Sekadar Hiburan), terus rasa minat untuk dengar album penuh Maher Zain yang terbaru (Forgive Me). Bila dah seminggu dengar, ini tiga lagu yang auranya best-matching dengan diri aku, haha.


Number One for Me, lagu tentang seorang anak yang menyesali benda nakal yang dibuat ketika kecil dulu, lalu cuba untuk gembirakan semula ibunya yang kini semakin tua.

Muhammad (saw), lagu tentang rindunya kita kepada Rasulullah. Terkesan dengan rentak yang disusun, menjadikan lagu ni sangat sesuai dihayati untuk lihat sejauh mana dalamnya rindu kita kepada baginda.

Masha Allah pula lagu ceria ketika majlis perkahwinan, mendoakan pasangan untuk kekal bahagia selama-lamanya hingga ke syurga.

Sebab lagu Muhammad dan Masha Allah dalam bahasa Arab (Mesir?), tiba-tiba tangan ni terasa nak cari lirik lagu dan terjemahannya. Lalu terhasillah dua gambar di bawah :)


Wednesday, 9 May 2012

Where is The Love?


Perkongsian tweet @faqihaqili ketika program "Insight Southampton: Where is The Love?" Sabtu yang lepas, 5 Mei 2012 oleh Wardina Safiyyah, Sheikh Marwazi dan Myriam Francois. #soton #insightsoton


01. Jalan-jalan #Soton, perkongsian tentang cinta; oleh Wardina dan Sheikh Marwazi (Timbalan Mufti Kedah).
02. Sheikh mulakan perkongsian dengan hadis "an Nikaah sunnati": sebagai asas pembentukan keluarga.
03. Tuntutan nikah bukan bermula apabila akadnya, tetapi sejak awal lagi eg pembinaan akhlak, pemilihan calon. 
04. Nikah bukan sahaja pada penerimaan batang tubuh isteri, tetapi juga tanggungjawab yang akan diserahkan oleh ibu bapa isteri tsebut. 
05. "The best gift from a father for his children is love towards their mother" :) 

06. Kesian kalau anak perempuan tercari-cari cinta daripada lelaki yang bukan mahramnya, apabila gagal mendapatkannya dari bapa sendiri. 
07. Hakikat pembinaan anak / manusia bukan pada luaran zahirnya, tapi pada batinnya ie akal, hati, perasaan dan nafsu. 
08Little Albert Experiment. Menarik! 
09. Sweet kalau anak lelaki "date" dengan emak, anak perempuan "date" dengan ayah. Berdua-duaan. Wah! 
10. Kisah nabi Muhammad saw berlumba lari dengan isteri baginda, Aishah ra. Contoh komunikasi yang terbaik. 

11. Kisah Fatimah ra mengadu kepenatan urusan rumahtangga kepada ayahnya, Muhammad saw; dibalas suruhan agar berzikir. Itulah "relief" yg mujarab. 
12. Kisah Rasulullah menegur isteri baginda Aishah ra yg masak terlebih masin; dengan mengajak makan suap-menyuap. Komunikasi. 
13. Kahwin, tetapi tidak mahu ada anak. Hmmm. @irsyaduddinfaiz , nanti boleh kita sembang-sembang, hehe :) 
14. "Apabila anak tidak mdengar" oleh Dr John Gray. http://flpbd.it/AWUaT
15. "Aku melihat nilai Islam dalam negara bukan Islam" Syeikh Muhd Abduh. Begitu juga pada cara pendidikan anak-anak. 


16. Anak yang dirobotkan dan dipercayakan bahawa mereka "pandai". Bukan mudah untuk mengubah sistem pendidikan. 
17. Antara cadangan bahan bacaan yg baik tntg pdidikan anak. Einstein Never Used Flashcards
18. Television: one way of communication that limits your creativity. Tidak sesuai didedahkan kepada anak seawal dua tahun pertama. 
19. Teringat ayah yang selalu bawakan kami ke kedai buku, belikan kami surat khabar :) 
20. Gabungan usia muda, waktu lapang dan kemewahan. Lalu rosaklah manusia. 

21. Kaitan sosioekonomi dengan komunikasi. 
22. Kaitan cara komunikasi yang berbeza antara golongan profesional, pertengahan dan miskin; disapproval and affirmations. 
23. Hadis agama seseorang itu berkait rapat dengan siapa kawannya. 
24. "Lets go back home and make a muslim family" :) 
25. Love. Sacrifice. Selflessness. 


26. Problem if you just relate love with lust; man with woman. 
27. The source of all love is al Waduud: Allah. Can be seen in surah al Buruuj. And even in bismillah we say ar Rahmaan and ar Rahiim. 
28. Very sad if you can't say "I love you" towards your mother, but can say it to any non mahram women. 
29. "Love starts by loving ourselves first" 
30Maslow's hierarchy of needs. Cool pyramid! 

31. If you've met your truly partner, your next clear goal will be marriage, not vague relationship. 
32. Konflik dengan ibu bapa: mungkin kita belum merasai pengalaman mereka atau mereka yang terlepas pandang idea kita. Selesaikannya sebaik mungkin. 
33. Kisah wanita Yahudi memeluk Islam selepas ketahui orang yang berbuat baik kepadanya merupakan nabi Muhammad yang selalu dicacimaki kerap kali. 
34. The more you give, the happier are you. 
35. Semua masalah, ujian, konflik datangnya daripada hati yang rosak. The golden rule is to purify your heart. Karen Armstrong.


36. Allah will not show mercy to one who doesn't show mercy to others. #hadis
37. Tamatlah Insight #soton hari ini. Terima kasih kepada panelis @WardinaSafiyyah, Sheikh Marwazi, sis Myriam and everyone. Jazakallahu khairan Katsira :)


Wednesday, 4 April 2012

Akidah Bagaimana yang Kita Mahukan

"Tauhid itu dahulu satu kekuatan di antara manusia. 
Tetapi sekarang telah menjadi tauhid ilmu kalam"

Kita selalu mendengar
  • Pembinaan akidah yang sejahtera itu penting bagi setiap individu muslim
  • Fokus utama Rasulullah ketika dakwah baginda di kota Mekah ialah pembinaan akidah
  • Individu yang tegar memperjuangkan keislamannya merupakan individu yang teguh akidahnya
Tetapi akidah bagaimana yang perlu kita binakan? Ustaz Mustafa Masyhur ada menjelaskan serba sedikit mengenai hal ini melalui karya beliau, Jalan Dakwah. Moga bermanfaat.

Friday, 23 March 2012

Syahidnya Mereka: Kerugian Bagi Dakwah?

Cerita tentang perasaan yang sama, lapan tahun lepas.
Dan terbukti sekarang semangat Palestin itu tidak akan terpadam jua.


Beberapa banyak pendokong dakwah yang telah syahid di tangan musuh-musuh dakwah, sama ada syahid semasa disiksa atau di tiang gantung. Mereka adalah orang-orang terpilih dan pemimpin, pemimpin dakwah yang tinggi kedudukan dan nilainya di bidang dakwah. Pada zahirnya ini merupakan kerugian besar bagi dakwah lantaran hilangnya mereka dari bidang dakwah dan hampanya bidang dakwah dari usaha dan jihad mereka.

Tetapi, pada hakikatnya, syahidnya seseorang itu di jalan dakwah dan di dalam tujuannya menunjukkan tingginya dakwah ini dan mulianya tujuan dakwah. la melambangkan pengorbanan di dalam jalan dakwah. Sesungguhnya syahidnya seseorang memberi kesan dan pengaruhnya yang besar di dalam jiwa malah lebih bermakna dari nasihat seratus penasihat. Sesungguhnya ini merupakan bekalan dan obor yang akan menyalakan iman dan semangat generasi kini dan akan datang.

Demikianlah sekarang ini apabila kita membaca kisah syahidnya Yasir, Sumayyah r.a. kita merasakan dorongan iman dan bekalan yang perlu kita gunakan di jalan dakwah walaupun mereka telah syahid empat belas abad yang lalu di zaman Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya keuntungan yang diperolehi oleh jamaah Islam di bidang dakwah dengan syahidnya mereka adalah keuntungan yang sangat besar. Syahidnya mereka telah melahirkan jiwa-jiwa yang kuat yang membawa kebangkitan Islam di zaman ini yang menjelma di dalam angkatan baharu di kalangan putera-puteri Islam di seluruh dunia terutamanya di seluruh dunia Islam. Mereka memperolehi ilmu, pengalaman dan contoh teladan yang baik yang ditinggalkan oleh para syuhada itu.

Para syuhada itu pula telah berjaya mencapai darjah syahid dan keredhaan Allah. Di atas dasar inilah maka syahidnya para syuhada itu adalah kebaikan umum bagi dakwah dan kebaikan khusus bagi syuhada. la bukanlah bahaya sebagaimana kelihatan pada zahirnya.
[Ustaz Mustafa Masyhur, Jalan Dakwah]

Saturday, 10 March 2012

Aku Mahukan Firdaus

"Mereka kekal di dalamnya,
(bahkan) mereka tidak ingin berpindah darinya"

Semalam kami bincang tentang surah al Kahfi. Di hujung ayat, Allah ceritakan tentang nikmatnya syurga di sana sehinggakan penghuninya tak nak sesuatu yang lainpun sebagai pengganti nikmat di situ. "Laa yabghuuna anhaa hiwalaa." [al Kahfi, 18:108]

Kami bincang panjang sikit tentang ayat ini: Ikut Zilal, biasanya manusia akan cepat bosan dengan sesuatu nikmat yang dia ada. Biasalah, mula-mula beli skrin tv / laptop 27 inch, memanglah seronok. Tapi akan sampai suatu masa dia nak tukar, cuba skrin 32 inch pula. Sama juga, manusia takkan puas dengan IPad2, sebab tu mereka mahukan IPad3 pula. Mula-mula seronok rumah sewa harga GBP 150, suatu hari nanti nak cari yang harganya GBP 110 pulak.

Tapi dalam al Kahfi ini, Allah kata situasi ini berbeza dengan nikmat dalam syurga Firdaus itu nanti. Manusia takkan bosan berada dalam syurga itu sehingga mahu "keluar mencuba apa yang ada di tempat lain". Kerana pada ketika itu, keinginan fitrah manusia yang selalu mahukan perubahan terhenti, lantaran nikmat yang terlalu banyak di syurga nanti. Infiniti.


Lalu, moga apabila habisnya kita baca al Kahfi ini, kita selalu berdoa kepada Allah, memberikan syurga Firdaus kepada kita. Pesan Rasulullah saw "Apabila kamu meminta syurga daripada Allah, maka mintalah syurga Firdaus. Kerana ia syurga tertinggi di sana, letaknya di tengah-tengah kawasan syurga, dan dari situlah sumber mengalirnya air sungai syurga."

"Inni As'alukal Firdaus." Sesungguhnya aku mahukan Firdaus.

Friday, 9 March 2012

Wanita dalam Islam

Kerana kita diajar, syurga itu 
letaknya di bawah kaki seorang wanita bergelar ibu

Kalau nak cerita tentang kedudukan wanita dalam Islam, pasti kita tidak akan lari daripada membandingkan kedudukan mereka dalam agama lain. Jangan terkejut kalau kita terjumpa agama yang memandang hina seawal kelahiran mereka atas dunia; menganggap mereka membawa bala, berstatus lemah berdosa, bahkan ada yang mengatakan mereka jelmaan syaitan terhina. 

Bahkan biasa kita dengar, haidh yang dialami mereka sebenarnya merupakan suatu sumpahan suci yang kekal terhadap mereka akibat tersalah pilih makanan ketika berada di dalam "syurga".

Islam datang bukan sekadar menolak hinaan dan cacian terhadap mereka, tetapi juga menaikkan status mereka; menjadikan wanita bukan lagi permainan bagi mereka yang bergelar lelaki. Hak kemanusiaan mereka diberikan semula seperti hak pemilikan harta, hak tidak dikahwinkan secara paksa, hak mengekalkan identiti dan nama, bahkan sebiasa hak pendidikan seperti orang biasa.

Lalu kita tertanya; dari mana datangnya fitnah mengatakan Islam meremehkan mereka. Padahal banyak sahaja ayat Quran meletakkan mereka penting dalam pembentukan tamadun manusia; bukan dibentuk oleh golongan lelaki semata-mata. Banyak juga kisah Rasulullah melayan mereka dengan baik; termasuklah kisah baginda berlumba lari dengan Aisyah ra, isteri baginda.

Bahkan merekalah agen perubah masyarakat kita lantaran peranan besar mereka dalam pembinaan generasi yang akan datang. Kalau ramailah wanita solehah di dunia, nescaya ramailah juga anak-anak yang baik akan mencorak masa depan kita.


Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[at Taubah, 9:71]


Penting dan besarnya peranan mereka menurut Islam, sampai boleh saja untuk kita berkata; "Lihatlah ibu-ibu pada masa sekarang, nescaya anda akan melihat keadaan umat 50 tahun akan datang." Maka hormatilah mereka, tunaikanlah hak mereka dan bantulah mereka, agar dapat sama-sama kita membangun umat yang beragenda.

Kalau ada sesuatu yang kita tak suka pada mereka
Sedarlah juga bahawa terlalu banyak perkara baik yang ada pada mereka juga

Friday, 2 March 2012

Tembok Zulqarnain

Quranic Circle kami dah nak sampai ke penghujung surah al Kahfi. Semalam kami tadabburkan baki perjalanan seorang raja yang kuasanya meliputi barat dan timur; Zulqarnain. Salah satu tempat singgahan baginda ialah sebuah tempat yang diganggu Ya'juj dan Ma'juj; parasit muka bumi, makhluk perosak tanaman dan juga pembunuh manusia.

Jahatnya Yajuj dan Majuj ini digambarkan Ibn Kathir rhm pada tahap penduduk kawasan tersebut sudah tidak tahan dengan kelakuan mereka sehinggakan mahu ada tembok pemisah antara mereka. Lalu dengan ilmu kejuruteraan baginda Zulqarnain, terbinalah sebuah tembok yang menghalang Yajuj Majuj ini daripada memanjat keluar mahupun menebuknya. "Ma sthaa'uu an yazharuuhu, ma stathaa'uu lahu naqba."

Pernah suatu hari Rasulullah saw terjaga dari tidur, merah mukanya, lalu baginda berkata, "Binasalah orang Arab daripada kejahatan yang mendekati mereka." Menurut baginda, ketika itu sebuah lubang telah terbuka daripada tembok Ya'juj dan Ma'juj tersebut; sebesar bulatan jari telunjuk bersambung dengan ibu jari baginda. Isteri baginda Zainab ra lalu bertanya, "Mungkinkah kita ini akan binasa, sedangkan ada orang baik dalam kalangan kita?" Baginda lalu menjawab ya, apabila berlakunya "Katsural Khabats"; iaitulah ketika bertambah banyaknya kejahatan di kalangan mereka. Inilah keadaan yang sangat kita takuti, datangnya kebinasaan akibat Allah murka.


Apa pengajarannya? Jangan sampai kejahatan mendominasi persekitaran kita. Teruskan sebarkan kebaikan, santuni setiap manusia yang kita jumpa; mudah-mudahan kita terhindar daripada menjadi masyarakat yang akan dibinasa oleh-Nya.

Wednesday, 1 February 2012

Tweet "Rasulullah Ketawa"

Tweet tentang peristiwa dan cara Rasulullah saw ketawa, ditulis bersempena bulan Rabiulawal, bulan kelahiran Nabi Muhammad saw.

01. Alangkah baiknya kalau untuk bulan Rabiulawal kali ini, kita letakkan azam juga; tambahkan ilmu dan kasih sayang kita kepada baginda Nabi Muhammad saw.
02. Hadis dalam tweet ini bersumberkan buku Syamail Muhammadiyyah; sebuah buku tulisan Imam at Tarmizi yang mengumpulkan hadis-hadis berkaitan sifat-sifat Rasulullah saw.


03. Hadis pertama berkaitan kisah di akhirat nanti, ketika malaikat memanggil manusia untuk ditunjukkan dosa yang pernah dia lakukan.
04. Maka disebutkanlah kepadanya, "Pada hari sekian, kamu buat ini, dan ini" lalu diapun mengakui kesemuanya. Dalam masa yang sama, dia bimbang sekiranya dosa besarnya turut didedahkan.
05. Kemudian malaikat diperintahkan "Berikan dia pahala kebaikan pula untuk gantikan dosa yang telah dia lakukan." Orang itu pelik, padahal ada dosa dia yang belum lagi ditunjukkan.
06. Ketika itulah, Abu Dzar ra yang meriwayatkan hadis ni, melihat Rasulullah ketawa sehingga ternampak gigi geraham baginda. Haha :)

07. Kisah kedua, tentang penghuni neraka yang terakhir keluar, merangkak menuju ke syurga. Tetapi dia melihat seolah-olah syurga sudah penuh. Lalu diapun mengadu kepada Allah.
08. Lalu Allah berkata, "Kamu akan mendapat apa yang telah kamu minta, bahkan 10 kali ganda. Orang itu pula menjawab, "Ya Allah, tolonglah jangan mempermainkan aku, aku tahu Engkau Maha Berkuasa."
09. Ketika itulah, Abdullah b Masud ra yang meriwayatkan hadis ni, melihat Rasulullah ketawa sehingga ternampak gigi geraham baginda. Hehhe :)

10. Kisah ketiga pula, ketika perang Khandaq, diceritakan oleh Saad b Abi Waqqash ra yang menjadi pemanah dalam perang tersebut. Beliau memanah di sisi Rasulullah.
11. Saad ternampak musuhnya yang sedang melindungi kepalanya menggunakan perisainya, sambil memberi isyarat kiri dan kanan. Ketika lelaki tersebut mengangkat kepala, Saad melepaskan panahnya.
12. Lalu tepat mengenai dahi lelaki tersebut! Headshot :) Lelaki itu terjatuh, kakinya pula terangkat ke atas. Rasulullah ketawa sehinggakan ternampak gigi geraham baginda :)
13. Lalu ditanyakan kepada Saad, sebab apakah Rasulullah ketawa ketika itu? "Kerana apa yang Saad telah lakukan kepada lelaki itu" Hahha :)

14. Ok. Cukup dulu tiga peristiwa ni. Untuk kita hayati salah satu sifat Rasulullah saw sempena bulan Rabiulawal ini; cara baginda ketawa.
15. Moga dapatlah kita mencintai baginda sepenuh hati. Dan di akhirat nanti pula, mendapat syafaat penyelamat daripada baginda saw.
16. Buat akhirnya, marilah kita berselawat kepada baginda saw. Allahumma solli ala Sayyidina Muhammad. اللهم صل على محمد :)

17. "Jika kamu mencintai Allah, "fattabiuni" (maka ikutilah aku, Muhd saw), nescaya Allah akan menyayangi kamu dan mengampunkan dosa kamu" [Ali Imran, 3:31]

Thursday, 26 January 2012

al Kahfi dan Ujian Ilmu

Khidr as: "... hamba Kami, diberikan rahmat di sisi Kami, 
 yang telah Kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi Kami"

Tadabbur al Kahfi mingguan kami selalu sebut tentang empat jenis fitnah (ujian) yang berlaku. Selain fitnah berkaitan agama, harta dan kuasa, fokus tadabbur kami buat masa kini ialah fitnah berkaitan ilmu.

Asal perisitiwanya penuh siginifikan: Nabi Musa as merasakan bagindalah yang paling bijak dalam kalangan manusia ketika itu. Lalu Allah menyuruhnya mencari Khidir as untuk tunjukajarkan kepadanya bahawa ilmunya tidak sebanyak mana.

Ini sangat berkaitan dengan diri kita yang terkadang merasa sudah cukup dengan ilmu yang ada. Di fb sahaja (sebagai contoh) masing-masing berani komen dan menghakimi setiap perkara dengan ilmu yang ada. Bukan nak menafikan hak bersuara, tapi biarlah kembali kepada asal peristiwa Nabi Musa; elakkan mendabik dada, sebaliknya terus berbudaya ilmu sepanjang masa.

Melihatkan situasi yang berlaku sekarang, saya suka letakkan diri saya di posisi Nabi Musa as yang sedang berguru dengan Khidir as. Memang terkadang tidak puas hati dan gelisah melihat apa yang si cikgu ajar dan lakukan, tapi al Kahfi mengajar diri ini untuk terus sabar dan teguhkan lagi kesabaran dengan ajaran si cikgu.

Kalau Nabi Musa dah berasa cukup terpukul dengan tiga peristiwa, saya ni berpuluh-puluh kali sudah terkena. Mula-mula memang kita ingat semua perkara dah ada dalam penyelidikan kita, rupanya ada ilmu yang tak tercapai melalui usaha kita, yang Allah mahukan kita belajar daripada kalangan hamba-Nya yang diberikan “min ladunna ilma.”


Di sini letaknya pengajaran utama kisah al Kahfi ini, perjalanan Nabi Musa dan Khidir as bukan nak mengajar kita untuk bertaklid buta dengan si cikgu, tapi biarlah ada adab kesopanan antara pelajar dengan guru. Kalau ada yang tidak kena dengan pengajaran si cikgu, kita yang (merasakan) sudah dewasa ini jangan terus berikan seribu macam hukuman menghentam si cikgu.

Sebaliknya merendah dirilah untuk bertanya dengan penuh tatasusila, mudah-mudahan ada pencerahan yang akan melapangkan dada. Menarik kisah perjalanan Nabi Musa dan Khidir as ini. Bacalah sendiri. Di bahagian ketiga surah al Kahfi.

Ilmu itu Cahaya, Jahil itu Berbahaya
Ingatlah Ingat Semua, Jadilah Insan Berguna

Labels