Monday, 29 June 2015

(Tidak) Berani Mengutuk LGBT


Antara petikan dalam alMuntalaq yang berkesan dalam diri saya ialah kata-kata penulis, Sheikh ArRashid bahawa ketika Allah menyebut tentang hawa nafsu, Dia pasti akan mencelanya. Pengikutnya pula akan dikutuk. Beberapa contoh diberikan seperti dalam alJatsiyah, 45:23 dan alMukminun, 23:71.

Pada hari ini, pelbagai bentuk hawa nafsu dijadikan arus perdana. Ada yang bergerak dalam NGO, ada yang cuba mengesahkan kewujudan mereka melalui undang-undang. Terbaru ialah perkahwinan sejenis LGBT yang diiktiraf di Amerika Syarikat. 

Situasi menjadi lebih malang apabila pejuang Islam tidak dapat memberikan pendirian tegas terhadap arus hawa nafsu ini. Berbanding mengambil pendekatan alQuran yang mencela, ada antara mereka yang diam seolah merelakan perkara tersebut berlaku. Ada juga yang kagum dengan demokratiknya pejuang hawa nafsu mendapatkan hak mereka melalui undang-undang. Juga ada yang tidak berani menentang apabila hawa nafsu tersebut dikosmetikkan dengan sedikit kebaikan seperti yang COMANGO lakukan. 


Mungkin ia datang daripada persepsi bahawa dalam dunia ini tiada musuh yang perlu ditentang. Hakikatnya wahyu sudahpun menyenaraikan musuh bagi umat Islam baik berupa syaitan, jin dan manusia. Kalaupun tak berani mengatakan sesebuah pihak itu sebagai musuh secara spesifik, paling tidak katakan bahawa tujuan mereka merupakan suatu yang batil serta layak untuk dicela dan dikeji. Bukannya dengan diam dan merelakan pendekatan mereka.

Thursday, 25 June 2015

Ramadan di UK (II)


Aktiviti Ramadan tahun ini yang berbeza dengan Ramadan sebelumnya ialah Rehlah Masyi. Rehlah Masyi merupakan aktiviti berjalan kaki anjuran ISMA di setiap cawangan untuk mengingati perjalanan Rasulullah saw dan sahabat ke medan Badar pada bulan Ramadan. Lainnya Rehlah Masyi tahun ini sebabnya ia bukan sekadar jalan, tapi siap panjat dan turun bukit yang curam. Silap penganjur tahun ini sebab tak pergi survey tempat betul-betul, tapi hanya mengharapkan pada Google Map. Ada yang komen inilah Rehlah Masyi standard orang Manjung, haha.

Bertarawih dan berbuka selepas Rehlah Masyi ini pun ada drama. Sampai puncak bukit pun dah lewat petang. Bila turun bukit terpaksa kejar train - nasib baik pandai tangguhkan masa train berlepas, dapatlah semuanya bergerak seperti yang dirancang awal. Apapun, selain mengingati peristiwa sahabat bergerak ke medan Badar alKubra yang penuh dengan pengaturan hikmah daripada Allah, program ini juga berikan peluang kepada kita untuk hidupkan Ramadan dalam suasana berjemaah.

Sebelum bergerak ke London untuk balik Malaysia, sempat untuk singgah ke Cardiff. Niat asalnya untuk ziarah baby kawan yang baru lahir, tapi tak dibenarkan atas sebab kesihatan. Cuma tak terasa rugi sangat turun ke Cardiff sebab keesokannya majlis graduasi kawan yang lain. 28 Ramadan, flight balik ke Malaysia. Ada terlintas juga kalau dapat gunakan rukhsah tidak berpuasa kerana bermusafir, rupa-rupanya flight attendant dah beritahu awal-awal untuk bantu dan berikan makanan yang paling sedap untuk bersahur. Haha. Berpuasa juga di UK, berbuka pula di KFC KLIA.

Semuanya menjadi kenangan agar Ramadan tahun-tahun mendatang ni menjadi lebih baik daripada benchmark ini. Cabaran sebenarnya adalah untuk mengekalkan prestasi Ramadan dalam bulan berikutnya. Jika dapat kekalkan hafazan, bertahajud witir, bersyukurlah kepada Allah, mungkin inilah tanda penerimaan amalan. Namun jika tidak dapat, perlu gandakan lagi usaha agar momentum dan semangat itu dapat diraih semula. Jika bukan di Ramadan, peluang yang bila lagi?

Monday, 22 June 2015

Ramadan di UK

Empat tahun belajar sebagai "undergrad" di UK, hanya berkesempatan sekali untuk menjalani Ramadan di sana. Itupun sebab memilih untuk tunggu tarikh graduasi pada hujung Ramadan sebelum pulang back for good ke Malaysia. Alhamdulillah, Ramadan inilah yang menjadi benchmark buat masa ini. Mungkin disebabkan pada waktu tersebut, komitmen sudah tiada; dah tamat belajar dan hanya tunggu tarikh untuk balik ke Malaysia).

Puasa ketika itu selama 19 jam; subuh pada 2:30 am, maghrib pula 9:30 pm. Siang yang panjang memberi peluang amal yang banyak ketika berpuasa, terutamanya untuk membaca alQuran. Ada masa diperuntukkan tilawah mengejar target peribadi, ada juga bertadarus bersama-sama dengan kawan serumah. Tadarus dengan ahli rumah, alhamdulillah kami dapat lakukannya hampir setiap hari. Biasanya kami berkumpul selepas Asar selama sejam.


Untuk bacaan buku sempena bulan ini, sebelum Ramadan dah pilih tajuk apa untuk diselesaikan untuk tahun ini. Masukkan softcopyy dalam ipad dan beg sandang, dan sedia untuk dibaca di mana-mana. Contoh buku yang sesuai dihabiskan ialah buku yang menjadi silibus dalam tarbiyyah seperti Zilal AlQuran, alMuntalaq, Jalan Dakwah. Untuk tahun ini, saya memilih buku "Salah Faham terhadap Islam.

Untuk menu berbuka pula, kami teruskan giliran memasak sesama kawan serumah seperti biasa. Cuma kali ini menu yang lebih spesial. Kalau biasanya hanya masak nasi dan satu jenis lauk, untuk bulan Ramadan ni ada menu tambahan; roti telur, nasi ayam, bubur jagung, ikan tiga rasa dan macam-macam lagi. Berbuka dan solat bersama. Tahun ini pula kebetulan ada World Cup, ada masanya yang duduk di rumah lain pun join sama-sama. Sekali-sekala, tukar angin pergi makan di luar rumah.


Masa antara Maghrib dan Isya pula merupakan masa untuk menghafaz alQuran. Disebabkan musim panas, masjid di sini tetapkan tempoh antara dua solat ini selama 70 minit. Antara Maghrib dan Isya biasanya dah boleh menambah satu muka surat hafazan baru. Ramadan sebelum ini pernah dapat assignment untuk hafal surah alAnfal sempena Ramadan. Tahun berikutnya surah atTaubah. Tahun ini inisiatif sendiri untuk hafal surah AnNuur pula. Sebenarnya Ramadan ini menyediakan suasana yang lebih senang bagi kita untuk menghafal berbanding bulan lain.


Malam yang sekejap (5 jam) jadi peluang untuk berada hampir sepanjang masa di masjid beriktikaf. Kalau balik ke rumah mungkin akan tersia-sia masa dengan aktiviti lagha dan kosong. Jadi eloklah extend iktikaf selepas tarawih hingga ke Subuh, dan selalu juga hingga 9 pagi (tidur pagi di masjid). Bersahur pun tak perlu masak dah sebab sekejap sangat jarak waktu dengan berbuka tadi. Kadang-kadang sahur makan kurma sahaja sebab masih kenyang dengan makanan berbuka. Itupun selalunya masjid di sini turut sediakan makanan untuk moreh dan bersahur.


Bulan Ramadan inilah mula berkenalan mendalam dengan warga Somalia yang mengendalikan aktiviti masjid di kawasan sini. Sangat terasa kemesraaan mereka melayan tetamu (saudara seislam yang berbeza negara). Dan paling unik ialah cara mereka makan bersama - nasi dan daging bertimbun, dan berterabur ke luar talam - nak gambarkan mereka sangat bersemangat ketika makan. Dan mereka (Somalia) inilah antara kumpulan penggerak utama dakwah di bumi UK ini.

Bersambung

Thursday, 18 June 2015

Berkira dengan Ramadan


Sudah masuk bulan Ramadhan, bulan yang penuh rahmat, keampunan dan peluang membebaskan diri daripada maksiat dan azab neraka. Sebagai hamba-Nya yang ternanti-nanti kedatangan bulan ini, persediaan yang dilakukan sebelum ini pasti sudah mendatangkan hasilnya berupa amalan kebajikan yang banyak.

Bulan yang sama melatih kita untuk berkira dalam melakukan amal soleh. Perkataan ihtisaban dalam hadis sewajarnya menjadikan kita banyak mencongak sepanjang bulan ini. 

Berapa mukasurat alQuran perlu dibaca sehari? Berapa ayat baru perlu dihafaz atau diulang semula. Berapa banyak bahan bacaan perlu dibaca sehari. Pukul berapa nak tidur. Pukul berapa nak tahajud dan sahur. Berapa banyak perkara baru nak dijadikan habit bermula Ramadan ini, berapa pula tabiat picisan mahu dibuang. 

Bila ada sistem ala KPI seperti ini dan ada semangat untuk mengejar sasaran, mudah-mudahan terampunlah segala dosa yang lalu sebagaimana dijanjikan dalam hadis sahih. 

Monday, 15 June 2015

Habit Menulis


Dah nak dekat tengah tahun, review balik tulisan dalam blog ni, rasa lega apabila dapat komited dengan aktiviti menulis. 

Target seminggu dua kali hasil penulisan berjaya dikekalkan hingga hari ini. Inipun dah kira banyak, sebab kolumnis akhbar pun biasanya hasilkan satu seminggu. Okay juga, sementara banyak masa untuk membaca, berfikir dan menulis ni. Kawan pesan, kena ada masa yang berlainan untuk membaca dengan manulis. Sampai hari ini, rasa ada betulnya.

Topik bacaan pun dah mencapah apabila mula kenal bidang International Relations. Yang seronoknya lagi ada ikhwah yang dermawan belanja subscription untuk arkib bacaan bidang ini, rasa ruang berfikir bertambah luas, walaupun tidak semua artikel dapat difahami dengan lancar lagi.

Menulis ni dengan harapan dapat strukturkan idea dalam kepala agar tersusun untuk disampaikan kepada orang lain. Kadang-kadang kita ada idea yang baik, hujah yang banyak, tetapi disebabkan ia tidak berstruktur ketika disampaikan, audiens tidak dapat menangkap apa mesej yang sepatutnya mereka terima.


Harapannya agar blog ini terus hidup dengan penulisan. Juga berkembang daripada dunia soft kepada hard. Paling penting, manfaat berterusan walaupun habit ini terhenti suatu hari nanti.

Thursday, 11 June 2015

Kenyataan Berbeza dengan Realiti


Apabila bercerita tentang orang politik, selalu orang pesan tidak semua kata mereka boleh dipegang. Sebab itu ada istilah "ayat politik”, bermaksud kenyataan daripada orang politik tidak boleh difahami secara lurus, ia berbelit-belit dan boleh saja maksud sebenar bertentangan 180 darjah daripada kenyataan yang disebut.

Perkara seperti ini terjadi kebiasaannya untuk menyelamatkan atau meraih undi daripada masyarakat. Boleh juga kerana mahukan imej yang bersih; supaya apabila masyarakat bertanya, mereka dapat memberikan jawapan yang bersih dan selamat, walaupun realitinya tidak seperti itu. 

Ataupun berlaku apabila orang bawah tidak memahami percaturan yang dilakukan orang atasan mereka. Situasi ini menarik kerana orang atas terlepas daripada menjawab sedangkan orang bawah akan kelihatan jujur. Realitinya orang bawah tersebut bertindak sebagai pupet dan diagendakan orang atasan.

Contohnya, DAP mengatakan mereka menjunjung perlembagaan dan menyokong Perkara 153, sedangkan beberapa kenyataan pemimpin mereka bertentangan dengan roh perlembagaan, bahkan cuba menghakis kepentingan Melayu dalam Perkara 153 tersebut. Baca: Kenali DAP for Dummies (Kejahatan dan Keburukan DAP) (Mengajar dan Belajar)

Ada ahli Parlimen DAP berbangsa Melayu pernah menafikan partinya tidak dikuasai evengelis. Ini contoh kenyataan yang berbeza dengan realiti, sama ada kerana dia tidak sedar ataupun ia ayat untuk selamatkan imej parti dan diri sendiri. Bukan sedikit pemimpin mereka yang terlibat aktif dengan aktif dengan gereja dan menjadikannya sebagai medium penyebaran ideologi mereka. Baca: Raja Petra and Sakmongkol on ‘terrorists’ and ‘evangelists’ (Helen Ang).

Contoh lain yang lebih umum, selalu kita jumpa orang sebut mereka tidak amalkan kronisme, nepotisme, tidak bias dalam memilih kakitangan, padahal ikutkan realiti birokrasi, ia sangat sukar untuk dielakkan. Projek besar lebih senang dipantau apabila diberikan kepada orang yang rapat dan dipercayai. Ahli pihak lawan, walaupun jujur dan professional, tidak diserap masuk sebagai kakitangan, kerana risaukan risiko yang terjadi jika ahli pihak lawan tersebut menyebarkan ideologinya.


Sebab itu, nak fahami pendirian politik ini, jangan cari kenyataan asas mereka dalam polisi atau perlembagaan parti. Itu hanya hiasan untuk kaburkan mata ahli masyarakat yang naif. Kumpul kenyataan mereka dalam pelbagai isu, dan lihat secara keseluruhan, dengan cara ini senang untuk kita memahami apa yang mereka mahu maksudkan.

Monday, 8 June 2015

Reda Allah pada Siapa?


Selalu orang jadikan reda Allah sebagai matlamat. Hidup susah tak penting selagi mereka rasakan Allah reda. Apatah lagi kalau dah hidup senang dan berjaya, lagi mudah terasa itulah tanda keredaan Allah.

Sebab reda itu dinisbahkan pada Allah dan milik-Nya, pelik jika manusia sendiri mengaku bahawa mereka mendapat reda-Nya. Reda Allah boleh saja berkonflik dengan reda manusia (hadis). Ia perkara ghaib, hanya dapat dipastikan melalui sumber wahyu. Ia hanya dapat dijamin ketika di syurga kelak dengan title “radhiAllah anhum wa radhu anh”.

Walaupun begitu, atas dunia ini ada beberapa perkara yang telah dijamin dengan keredaan Allah. Ketika peristiwa Hudaibiah, semua sahabat berbaiah di bawah pokok (yubayiunaka tahta syajarah) ketika itu dijamin dengan keredaan. Begitu juga golongan awal para muhajirin dan ansar (surah atTaubah).

Golden rule ialah taati perintahnya, jauhi larangannya, barulah nanti dapat keredaan-Nya. Inilah ciri-ciri yang ada pada para sahabat, begitu juga para nabi dan rasul. Cerita mereka disampaikan kepada kita sebagai teladan agar mencontohi mereka. Semuanya berhubung dengan Allah selaku Tuhan seluruh alam yang mencatur perjalanan dunia dan kesudahan akhirat.

Jika diteliti sirah mereka, ada masa mereka kelihatan kalah seperti nabi Zakaria as dan ashabulukhdud yang dibunuh. Nabi Nuh sendiri dicerca ketika membuat bahtera, Nabi Ibrahim ditangkap dan dicampak ke dalam api menyala. Sirah Nabi Muhammad dan sahabat baginda pun pernah dipukul keras ketika perang Uhud.

Ada juga yang menang seperti mana pembukaan Mekah. Nabi Yusuf memerintah Mesir dengan cemerlang, dipertemukan semula dengan bapa baginda. Nabi Nuh selamat ketika banjir melanda. Nabi Isa diangkat ke langit, terselamat daripada angkara jahat kaum-Nya.

Dalam ayat versi lain secara mudahnya, orang jahat pun akan berasa menang (kafir Quraisy ketika Uhud), dan mereka pun akan berasa kalah (perang Badar, Khandak dll).

Mengatakan kemenangan itu tanda keredaan Allah, tidaklah tepat sepertimana juga menjadikan alasan kalah sebagai takpa, asalkan Allah reda. Sebab itu nanti jika ada orang claim Allah reda dengan mereka, lihat pada tindak-tanduk mereka, adakah betul-betul mematuhi syariat. Tanya mereka apa dalil mereka, bagaimana kaedah pendalilan mereka, barulah kita tahu sama ada kita mematuhi perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Dengan cara inilah kita mengharap keredaan Allah menjadi milik kita di akhirat sana.

Friday, 5 June 2015

Jemu Beramal


Kadang-kadang ketika lakukan perkara baik, datang bisikan syaitan agar kita berasa puas dalam beramal.

Buat apa nak solat berjemaah, asalkan solat sudah. Buat apa bangun qiam, solat badiah lepas isya tadi dah cukup. Buat apa infaq banyak untuk program tarbiyyah, zakat fitrah kan dah bayar. Dakwah fardiah penat-penat buat apa, kalau dia nak dia ikut, tak nak dia tinggal.

Perasaan macam ini perlu dibuang segera agar tidak menghakis semangat beramal. Salah satu cara dengan hadirkan perasaan perlunya rasa bersyukur dalam diri kita. Nikmat yang Allah berikan terlalu banyak sehinggakan tidak perlu datang perasaaan sudah cukup beramal, seolah-olahnya amal yang kita lakukan sudah sama nilai dengan nikmat yang kita terima.

Hakikatnya, berterima kasih dengan anggota badan yang berfungsi dengan baik inipun dah tak cukup. 10 sistem badan, organ, tisu dan sel. Belum dikira dengan nikmat harian yang lain, diberikan ibu bapa dan ahli keluarga yang penyayang. Perjalanan hidup yang teratur sejak kecil. Dilepaskan daripada pelbagai kesulitan dan dilapangkan dengan kemudahan. Apatah lagi nikmat terbesar yang kita kecapi, nikmat Islam dan keimanan.

Sirah yang biasa kita dengar, ketika baginda saw ditanya tentang qiamnya sehingga membengkak kaki, dijawab oleh baginda dengan ayat yang masyhur, “tidak mahukah aku menjadi hamba yang bersyukur?”. Padahal bagindalah sebaik-baik hamba yang beribadah, penghulu kepada para nabi, kekasih Allah swt.

Sebab itu apabila kita jemu dalam beribadah, terlibat dalam tarbiyyah, ingatlah bahawa Allah tidak pernah “jemu” melimpahkan pelbagai nikmat kepada kita. Ia tidak datang percuma, melainkan ada tanggungjawab yang perlu dilangsaikan sebagai seorang hamba.

Tuesday, 2 June 2015

Menawarkan Rahmat dan Jawapan


Orang lain nak ikut cara kita, kita alu-alukan. Tanda Islam ini cara hidup yang sesuai untuk semua. Tapi tak bermakna kita perlu ikut / tiru / tukar dengan cara orang lain pula. Bukan semua benda kita "main runding-runding", apatah lagi kalau melibatkan identiti diri / negara sendiri. Lakum diinukum, wa liya diin.

Begitu juga ketika orang dalam tercari-cari apa penyelesaian bagi masalah yang mereka hadapi, kita perlu tunjukkan kepada mereka apa yang Islam tawarkan. Bawakan kepada akar masalah dan sedarkan dengan kembali kepada agama Islamlah kita akan merasai keselamatan.

Tidak ada yang peliknya apabila ajaran Islam diberikan laluan untuk hidup subur di mana-mana. Ia sesuai dengan fitrah manusia. Datang daripada Pencipta mereka. Hakikatnya, Islam, rahmat dan keselamatan itu tidak dapat dipisahkan.

--

To-Update List

Rompakan di rumah pemimpin DAP dapat dielak jika ada hudud
BANGI, 30 Mac – “Kalau DAP terima hudud, hukuman berat boleh dikenakan ke atas perompak ibu bapa Hannah Yeoh, tetapi malangnya, DAP pula menolak hudud,” ujar Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman.

Katanya, Islam meletakkan nilai yang tinggi kepada keamanan nyawa dan harta manusia.

Sistem kewangan Islam hidup subur di Britain
LONDON, 4 Mei – Sistem kewangan berasaskan Islam semakin mendapat perhatian orang bukan Islam di United Kingdom (UK).

Ketua Pemasaran dan Jualan Runcit Bank Al Rayan, Tim Sinchlair, berpendapat faktor utama di sebalik pertumbuhan sistem kewangan Islam disebabkan orang bukan Islam semakin tertarik kepada etika yang dipraktikkan ketika berurusan.

“Para pelanggan bukan Islam tertarik dengan kewangan Islam berdasarkan etika kami menjalankan perniagaan dan pendekatan ketika perkhidmatan pelanggan,” ujarnya.

Cameron unveils Islamic bond plan
Prime Minister David Cameron has announced that the UK will become the first non-Muslim country to issue an Islamic bond.

At the World Islamic Economic Forum (WIEF) in London, he also announced plans for a new Islamic index on the London Stock Exchange.

Labels