Saturday, 28 April 2018

Siri 2: Jalan Keluar kepada Masalah Politik Kepartian: Politik Kewibawaan


Siri Sebelumnya: Undi Calon atau Parti?

Slogan “Undilah Calon Muslim Berwibawa” menawarkan penyelesaian kepada beberapa masalah blok kepartian yang dialami di negara kita.

1. Kawasan majoriti beragama Islam, tetapi parti meletakkan calon bukan Islam.
Ini yang ISMA mahu sedarkan ketika PRU 13 ketika politik Malaysia hanya sekitar Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Ada sesuatu yang tidak kena dengan demokrasi yang diamalkan apabila pengundi majoriti tidak mempunyai pilihan menghantar wakil seagama dan sebangsa dengan mereka. Dari sudut lain, seumpama mengharapkan agar orang bukan Islam tersebut memahami agama Islam dan mampu untuk memperjuangkan isu berkaitan agama ini di Parlimen atau DUN. ISMA mengambil langkah berani menyedarkan masyarakat dengan menghantar calon alternatif di kawasan seperti P009 Alor Setar, P097 Selayang dan P128 Seremban. Alhamdulillah jalan yang dirintis ISMA ini telah ada pengikutnya apabila PRU 14 kali ini sudah ada calon beragama Islam bertanding di kerusi-kerusi ini.

2. Calon anti-Islam yang dihantar parti sekutu, terpaksa diam dan terima atas alasan menghormati semangat satu pakatan.
Jiwa yang sensitif dengan nilai Islam pasti tidak mahukan calon yang dikempen dan diundinya nanti menolak usaha memartabatkan syariat. Dia tidak mahu dipaksa memangkah undi untuk pemimpin yang anti-Islam ketika sudah ada calon seagama dengannya bertanding sama. Lihat saja wakil rakyat penggal lalu – ada yang menyuburkan pesta arak, ada yang tidak setuju dengan pelaksanaan undang-undang syariah, ada juga yang beberapa kali menyentuh sentimen Islam dan bangsa Melayu tanpa serik. Sebahagian mereka bertanding di kawasan majoriti beragama Islam dan menang ke atas calon alternatif yang beragama Islam. Jiwa sensitif ini risau jika dipersoalkan nanti mengapa menyumbang pada kemenangan calon yang menentang syariat.

3. Calon yang terpalit dengan rasuah dan skandal, tetapi masih dicalonkan parti.
Biasanya berlaku pada calon yang berkedudukan tinggi dalam parti dan mempunyai pengaruh pada akar umbi. Seolah-olahnya parti sudah kehabisan calon berwibawa yang lain selain dirinya. Mereka yang masih memandang politik terhad pada parti kesukaannya sahaja pasti akan memilih calon ini ketika pengundian nanti. Inilah semangat berpuak (asabiyyah) yang tercela, menolong parti sendiri walaupun pada kezaliman.

Politik Kewibawaan
Sebagai alternatif, slogan Undilah Calon Muslim Berwibawa mahu mengeluarkan masyarakat daripada kesempitan politik kepartian kepada keluasan politik kewibawaan yang menguntungkan agama dan negara. Pengundi tidak perlu lagi berpada dengan memangkah undi berdasarkan logo parti, tetapi selepas menilai kewibawaan dan prestasi calon yang bertanding. Beberapa kriteria boleh dijadikan ukuran – siapa yang paling berintegriti, berperwatakan mulia, berprinsip dan setia dengan perjuangan, menjaga perpaduan serta kesepakatan, maka dialah yang akan dipilih untuk diundi sebagai wakil mereka ke Parlimen atau DUN.

RUU 355 yang lalu sedikit sebanyak menunjukkan relevannya slogan ini, bahawa sokongan terhadap undang-undang yang menguatkan agama Islam boleh bersifat merentas parti. Bahkan yang menentangnya juga turut merentas parti. Hal ini menunjukkan bahawa di Malaysia ini ikatan kepartian sifatnya rapuh berbanding ikatan keagamaan, apatah lagi ketika blok kepartian tersebut didominasi unsur liberal dan sekular.

Elok juga diberitahu apabila menyebut memperjuangkan kepentingan agama Islam, kepentingan agama lain tidak pula dinafikan. Sifat Islam adalah memberikan rahmat pada semua – panduan dan peraturannya bersifat membawa kebaikan pada masyarakat umum. Termasuklah dalam hak kewarganegaraan, orang bukan Islam diberikan kebebasan untuk beragama, hidup aman, mencari rezeki dan seumpamanya. Bahkan golongan paling kaya di Malaysia majoritinya bukan beragama Islam, rumah ibadat paling banyak pula bukannya masjid. Pengamalan agama Islam tidak membenarkan diskriminasi dan penafian hak agama lain.

Sedar dan Bangkit
Maka bersempena PRU 14 ini nanti, marilah kita sama-sama menunaikan tanggungjawab memilih calon pemimpin yang terbaik, agar calon muslim dan berwibawa dapat dimenangkan seramai mungkin. Semoga dengan kewibawaan mereka ini, mereka berganding tangan memainkan peranan secara bersama pula di Parlimen atau DUN nanti demi menegakkan “baldatun tayyibatun, wa Rabbun Ghafur” – negara yang makmur, Tuhannya Pengampun.

No comments:

Post a Comment

Labels