Tuesday, 24 April 2018

Siri 1: Undi Calon atau Parti?


Rakyat Malaysia umumnya diketahui mengundi secara parti. Lazimnya mereka akan mencari logo parti di atas kertas undi untuk dipangkah. Pekatnya kesan semangat kepartian ini sehingga Rafizi Ramli menggambarkan kerusinya di Pandan, “letak kucing pun boleh menang. Jadi tak jadi masalah. Pandan kerusi terkuat PKR.”

Namun secara rasionalnya, kita sepatutnya berharap pada faktor manusia (individu) berbanding yang bukan manusia (parti atau sistem apatah lagi kucing). Sistem terikat dan dioperasikan oleh manusia manakala individu mempunyai kuasa untuk mengubah dasar parti dan boleh fleksibel dengannya.

Dalam erti kata lain, pemimpin yang wibawa walaupun hidup dalam sistem yang buruk, dia akan cuba untuk mengubah dan mengatasinya secara bersama ke arah yang baik. Manakala pemimpin yang berpakat untuk korup, walaupun hidup dalam sistem yang baik, tetap mereka akan berkomplot untuk korup juga. Loophole sentiasa ada, sama ada digunakan untuk tujuan mulia atau tidak.

Biasanya orang akan kata pemimpin akan tunduk pada sistem parti. Ia tidak selamanya seperti itu kerana alternatif lain sentiasa akan ada. Senario politik pembangkang banyak berikan contoh. Pemimpin DAP boleh isytiharkan Pakatan Rakyat sebagai terbubar pada 2015, walaupun sistem tersebut sudahpun wujud atas tandatangan setiap parti untuk tetap “setuju untuk tidak bersetuju” sesama mereka. Begitu juga pemimpin PAS yang tersingkir dalam muktamar 2015, mereka tidak tunduk dengan keputusan tersebut dan terus tetap bersama PAS, sebaliknya individu ini secara kolektif menubuhkan parti serpihan yang baru.

Lanjutannya, seseorang ahli parlimen atau DUN yang telah keluar atau dipecat daripada partinya masih lagi memegang jawatan tersebut sehingga tamat penggal. Dia masih mempunyai suara dan kuasa undi di Parlimen walaupun tidak lagi bersama partinya sebelum ini. Individu yang sama di Parlimen, cuma nama parti berubah. Di Parlimen atau DUN, sebarang undi dikira berdasarkan bilangan individu, bukan terus dijumlahkan berdasarkan bilangan wakil rakyat sesebuah parti itu ada. Undi pula bersifat rahsia.

Yang terbaik ialah ketika parti dipenuhi dengan individu yang berwibawa. Cuma parti pun ada masanya boleh diceroboh dengan anasir asing yang bertentangan dengan aspirasi Melayu dan Islam seperti dalam [3]. Atau boleh juga berlaku pertembungan calon parti ini dengan individu yang lebih berwibawa daripada parti lain. Jika ada dua calon yang berwibawa, sudah tentu keutamannya memilih yang paling berwibawa.

Memilih secara parti ada keganjalannya seperti ketika parti meletakkan calon bukan Islam di kawasan majoriti beragama Islam. Ataupun calon parti sekutu bersifat anti-islam, maka pengikut terpaksa diam kerana semangat pakatan politik. Atau juga ketika parti tiada pilihan selain “recycle” calon yang terpalit dengan skandal. Sedikit sebanyak apabila calon yang dihantar tidak mempunyai sifat pemimpin wibawa, berlaku toleransi dan sekongkol dengan kekurangan dan kesalahan mereka, baik yang bertentangan dengan agama mahupun bertentangan dengan integriti.

Maka di sini relevannya kewajaran memilih individu berbanding calon, walaupun mungkin seruan ini masih baru dan dilihat bertentangan arus. Dengan syarat calon-calon berwibawa ini sedar bahawa mereka mempunyai matlamat sama membawa kemakmuran pada agama dan negara, walaupun berbeza parti. Kita mahukan suatu pasukan pemimpin berwibawa yang mampu mencorakkan demokrasi agar menepati kepentingan Islam, bukan membiarkan demokrasi pula yang mencorakkan Islam.

Ibarat longgokan buah dijual di jalanan, ada yang masak ada yang busuk. Daripada memilih satu longgok, lebih baik kita memilih buah yang terbaik untuk diletak pada penimbang seterusnya dibawa balik.

Sempena PRU 14 ini, tunaikanlah tanggungjawab anda semua dengan mengundi calon muslim yang berwibawa. Semaklah semua calon yang bertanding di kawasan anda. Biasanya hanya enam calon sahaja untuk diselidiki – tiga orang calon bagi parlimen, tiga lagi bagi DUN. Gunalah kriteria kewibawaan seperti yang Gerakan Pengundi Sedar serukan, semoga dengannya kita berasa senang hati dan tidak menyesal dengan pilihan 5 tahun sekali ini.

Siri Seterusnya: Jalan Keluar kepada Masalah Politik Kepartian: Politik Kewibawaan

No comments:

Post a Comment

Labels