Saturday, 28 April 2018

Siri 2: Jalan Keluar kepada Masalah Politik Kepartian: Politik Kewibawaan


Siri Sebelumnya: Undi Calon atau Parti?

Slogan “Undilah Calon Muslim Berwibawa” menawarkan penyelesaian kepada beberapa masalah blok kepartian yang dialami di negara kita.

1. Kawasan majoriti beragama Islam, tetapi parti meletakkan calon bukan Islam.
Ini yang ISMA mahu sedarkan ketika PRU 13 ketika politik Malaysia hanya sekitar Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Ada sesuatu yang tidak kena dengan demokrasi yang diamalkan apabila pengundi majoriti tidak mempunyai pilihan menghantar wakil seagama dan sebangsa dengan mereka. Dari sudut lain, seumpama mengharapkan agar orang bukan Islam tersebut memahami agama Islam dan mampu untuk memperjuangkan isu berkaitan agama ini di Parlimen atau DUN. ISMA mengambil langkah berani menyedarkan masyarakat dengan menghantar calon alternatif di kawasan seperti P009 Alor Setar, P097 Selayang dan P128 Seremban. Alhamdulillah jalan yang dirintis ISMA ini telah ada pengikutnya apabila PRU 14 kali ini sudah ada calon beragama Islam bertanding di kerusi-kerusi ini.

2. Calon anti-Islam yang dihantar parti sekutu, terpaksa diam dan terima atas alasan menghormati semangat satu pakatan.
Jiwa yang sensitif dengan nilai Islam pasti tidak mahukan calon yang dikempen dan diundinya nanti menolak usaha memartabatkan syariat. Dia tidak mahu dipaksa memangkah undi untuk pemimpin yang anti-Islam ketika sudah ada calon seagama dengannya bertanding sama. Lihat saja wakil rakyat penggal lalu – ada yang menyuburkan pesta arak, ada yang tidak setuju dengan pelaksanaan undang-undang syariah, ada juga yang beberapa kali menyentuh sentimen Islam dan bangsa Melayu tanpa serik. Sebahagian mereka bertanding di kawasan majoriti beragama Islam dan menang ke atas calon alternatif yang beragama Islam. Jiwa sensitif ini risau jika dipersoalkan nanti mengapa menyumbang pada kemenangan calon yang menentang syariat.

3. Calon yang terpalit dengan rasuah dan skandal, tetapi masih dicalonkan parti.
Biasanya berlaku pada calon yang berkedudukan tinggi dalam parti dan mempunyai pengaruh pada akar umbi. Seolah-olahnya parti sudah kehabisan calon berwibawa yang lain selain dirinya. Mereka yang masih memandang politik terhad pada parti kesukaannya sahaja pasti akan memilih calon ini ketika pengundian nanti. Inilah semangat berpuak (asabiyyah) yang tercela, menolong parti sendiri walaupun pada kezaliman.

Politik Kewibawaan
Sebagai alternatif, slogan Undilah Calon Muslim Berwibawa mahu mengeluarkan masyarakat daripada kesempitan politik kepartian kepada keluasan politik kewibawaan yang menguntungkan agama dan negara. Pengundi tidak perlu lagi berpada dengan memangkah undi berdasarkan logo parti, tetapi selepas menilai kewibawaan dan prestasi calon yang bertanding. Beberapa kriteria boleh dijadikan ukuran – siapa yang paling berintegriti, berperwatakan mulia, berprinsip dan setia dengan perjuangan, menjaga perpaduan serta kesepakatan, maka dialah yang akan dipilih untuk diundi sebagai wakil mereka ke Parlimen atau DUN.

RUU 355 yang lalu sedikit sebanyak menunjukkan relevannya slogan ini, bahawa sokongan terhadap undang-undang yang menguatkan agama Islam boleh bersifat merentas parti. Bahkan yang menentangnya juga turut merentas parti. Hal ini menunjukkan bahawa di Malaysia ini ikatan kepartian sifatnya rapuh berbanding ikatan keagamaan, apatah lagi ketika blok kepartian tersebut didominasi unsur liberal dan sekular.

Elok juga diberitahu apabila menyebut memperjuangkan kepentingan agama Islam, kepentingan agama lain tidak pula dinafikan. Sifat Islam adalah memberikan rahmat pada semua – panduan dan peraturannya bersifat membawa kebaikan pada masyarakat umum. Termasuklah dalam hak kewarganegaraan, orang bukan Islam diberikan kebebasan untuk beragama, hidup aman, mencari rezeki dan seumpamanya. Bahkan golongan paling kaya di Malaysia majoritinya bukan beragama Islam, rumah ibadat paling banyak pula bukannya masjid. Pengamalan agama Islam tidak membenarkan diskriminasi dan penafian hak agama lain.

Sedar dan Bangkit
Maka bersempena PRU 14 ini nanti, marilah kita sama-sama menunaikan tanggungjawab memilih calon pemimpin yang terbaik, agar calon muslim dan berwibawa dapat dimenangkan seramai mungkin. Semoga dengan kewibawaan mereka ini, mereka berganding tangan memainkan peranan secara bersama pula di Parlimen atau DUN nanti demi menegakkan “baldatun tayyibatun, wa Rabbun Ghafur” – negara yang makmur, Tuhannya Pengampun.

Tuesday, 24 April 2018

Siri 1: Undi Calon atau Parti?


Rakyat Malaysia umumnya diketahui mengundi secara parti. Lazimnya mereka akan mencari logo parti di atas kertas undi untuk dipangkah. Pekatnya kesan semangat kepartian ini sehingga Rafizi Ramli menggambarkan kerusinya di Pandan, “letak kucing pun boleh menang. Jadi tak jadi masalah. Pandan kerusi terkuat PKR.”

Namun secara rasionalnya, kita sepatutnya berharap pada faktor manusia (individu) berbanding yang bukan manusia (parti atau sistem apatah lagi kucing). Sistem terikat dan dioperasikan oleh manusia manakala individu mempunyai kuasa untuk mengubah dasar parti dan boleh fleksibel dengannya.

Dalam erti kata lain, pemimpin yang wibawa walaupun hidup dalam sistem yang buruk, dia akan cuba untuk mengubah dan mengatasinya secara bersama ke arah yang baik. Manakala pemimpin yang berpakat untuk korup, walaupun hidup dalam sistem yang baik, tetap mereka akan berkomplot untuk korup juga. Loophole sentiasa ada, sama ada digunakan untuk tujuan mulia atau tidak.

Biasanya orang akan kata pemimpin akan tunduk pada sistem parti. Ia tidak selamanya seperti itu kerana alternatif lain sentiasa akan ada. Senario politik pembangkang banyak berikan contoh. Pemimpin DAP boleh isytiharkan Pakatan Rakyat sebagai terbubar pada 2015, walaupun sistem tersebut sudahpun wujud atas tandatangan setiap parti untuk tetap “setuju untuk tidak bersetuju” sesama mereka. Begitu juga pemimpin PAS yang tersingkir dalam muktamar 2015, mereka tidak tunduk dengan keputusan tersebut dan terus tetap bersama PAS, sebaliknya individu ini secara kolektif menubuhkan parti serpihan yang baru.

Lanjutannya, seseorang ahli parlimen atau DUN yang telah keluar atau dipecat daripada partinya masih lagi memegang jawatan tersebut sehingga tamat penggal. Dia masih mempunyai suara dan kuasa undi di Parlimen walaupun tidak lagi bersama partinya sebelum ini. Individu yang sama di Parlimen, cuma nama parti berubah. Di Parlimen atau DUN, sebarang undi dikira berdasarkan bilangan individu, bukan terus dijumlahkan berdasarkan bilangan wakil rakyat sesebuah parti itu ada. Undi pula bersifat rahsia.

Yang terbaik ialah ketika parti dipenuhi dengan individu yang berwibawa. Cuma parti pun ada masanya boleh diceroboh dengan anasir asing yang bertentangan dengan aspirasi Melayu dan Islam seperti dalam [3]. Atau boleh juga berlaku pertembungan calon parti ini dengan individu yang lebih berwibawa daripada parti lain. Jika ada dua calon yang berwibawa, sudah tentu keutamannya memilih yang paling berwibawa.

Memilih secara parti ada keganjalannya seperti ketika parti meletakkan calon bukan Islam di kawasan majoriti beragama Islam. Ataupun calon parti sekutu bersifat anti-islam, maka pengikut terpaksa diam kerana semangat pakatan politik. Atau juga ketika parti tiada pilihan selain “recycle” calon yang terpalit dengan skandal. Sedikit sebanyak apabila calon yang dihantar tidak mempunyai sifat pemimpin wibawa, berlaku toleransi dan sekongkol dengan kekurangan dan kesalahan mereka, baik yang bertentangan dengan agama mahupun bertentangan dengan integriti.

Maka di sini relevannya kewajaran memilih individu berbanding calon, walaupun mungkin seruan ini masih baru dan dilihat bertentangan arus. Dengan syarat calon-calon berwibawa ini sedar bahawa mereka mempunyai matlamat sama membawa kemakmuran pada agama dan negara, walaupun berbeza parti. Kita mahukan suatu pasukan pemimpin berwibawa yang mampu mencorakkan demokrasi agar menepati kepentingan Islam, bukan membiarkan demokrasi pula yang mencorakkan Islam.

Ibarat longgokan buah dijual di jalanan, ada yang masak ada yang busuk. Daripada memilih satu longgok, lebih baik kita memilih buah yang terbaik untuk diletak pada penimbang seterusnya dibawa balik.

Sempena PRU 14 ini, tunaikanlah tanggungjawab anda semua dengan mengundi calon muslim yang berwibawa. Semaklah semua calon yang bertanding di kawasan anda. Biasanya hanya enam calon sahaja untuk diselidiki – tiga orang calon bagi parlimen, tiga lagi bagi DUN. Gunalah kriteria kewibawaan seperti yang Gerakan Pengundi Sedar serukan, semoga dengannya kita berasa senang hati dan tidak menyesal dengan pilihan 5 tahun sekali ini.

Siri Seterusnya: Jalan Keluar kepada Masalah Politik Kepartian: Politik Kewibawaan

Tuesday, 3 April 2018

British Police


“British Police. Can I see your passport?”

Pagi itu ketika bersiar sekitar bandar London, kami dikepung tiga orang lelaki; seorang bertanya arah, dua orang pula dtg kemudian, mengaku sebagai polis. Dari gaya percakapan dan pakaiannya langsung tak menggambarkan sebagai warga British, apatah lagi sebagai polis.

“No you dont need the passport. We live here, should be no problem,” lantas saya terjah ke hadapan agar kami keluar daripada kepungan mereka.

Setelah melepasi beberapa meter di hadapan, sengaja toleh ke belakang untuk melihat mereka, kelibat sudah hilang. Dan beberapa hari selepas itu keluar artikel di surat khabar bertajuk “Visitors, beware”, seolah-olah mengiakan syak wasangka kami.

Bersempena cuti Easter dan ramai yang seronok melancong dalam atau luar uk ni, eloklah diingatkan agar berhati-hati juga dengan keadaan sekeliling, takut ditipu sindiket dan penipuan.

“The British police are uniformed and do not ask for passports OR ask to look at your wallet.”

Dan dalam hidup secara umum, memang lazimnya kita terdedah dengan pelbagai jenis penipuan. Yang perlu kita sentiasa berhati-hati ialah penipuan syaitan. Musuh utama yang berjanji mahu menyesatkan kita sejak azali lagi. Sedikit kelalaian akan menyebabkan kita rugi dan menyesal di akhirat. Kerugian yang tak berbentuk wang ringgit di dunia, tetapi nikmat syurga yang terlepas akibat terpedaya dengan janji manis mereka.

ومن يتخذ الشيطان وليا من دون الله فقد خسر خسرانا مبينا يعدهم ويمنيهم وما يعدهم الشيطان إلا غرورا

Sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya dia rugi dengan kerugian yang nyata. Dia sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong. Dan apa yang dijanjikan syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata [AnNisa’, 4:119, 120]

#penulisankaiser2018
Gambar: Screenshot New Straits Times, Disember 2017


Labels