“Jika cita-cita perjuangan kita merupakan suatu bangunan, maka kita semua adalah merupakan batu-bata yang disusun menjadi kesatuan bagi mendirikan bangunan itu.”
Sungguh berhikmah kata-kata Dr Burhanuddin Al Helmi ini, seorang tokoh zaman kemerdekaan, dikenali dengan pembawaan naratif mengharmonikan perjuangan Melayu dan Islam. Jika diperhatikan, nada yang sama Allah telah gunakan dalam surah AsSaff ketika berbicara tentang golongan yang Dia cintai.
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”
Mesejnya sama; setiap daripada kita merupakan sebahagian daripada perjuangan ini. Menyediakan dan menggabungkan diri dalam kisah perjuangan ini pula akan menghasilkan ketumbukan yang kuat.
Gabungan kata-kata ini juga menimbulkan perasaan yang indah, bahawa perjuangan negara merupakan sesuatu yang selari dengan agama. Terasa gah ketika berjuang untuk negara, lantaran perlembagaannya bersendikan Perkara 3; Islam merupakan agama negara. Terasa manis juga berjuang berlandaskan agama, kerana Islam turut mengiktiraf rasa cinta pada negara, seperti doa Ibrahim dalam surah AlBaqarah, 2:126; agar negeri baginda dikurniakan keamanan dan kemakmuran | ربّ اجعل هذا بلدا ءامنا وارزق أهله من الثمرات
Namun, erti perjuangan perlu dihayati dengan maksud yang betul. Perjuangan anak muda jangan ditafsir dengan berjuang menimbulkan huru-hara dalam majlis, menerbangkan kasut dan kerusi. Bukan juga bertempur antara geng merah dengan geng kuning seumpamanya.
Perjuangan anak muda ialah seperti Musab b Umair ra. yang meskipun kaya, tegar mempertahankan prinsip akidah walau diugut oleh ibunya. Sanggup mengorbankan kemewahan untuk menyediakan asas kukuh untuk pembinaan negara Madinah dan empayar Islam. Di penghujung kesyahidannya di medan Uhud, datang dilemma sama ada memilih untuk mengkafani kepala atau kakinya. Maka terlihat jelas prioriti hidup beliau pada kita.
Atau perjuangan seperti Tokku Paloh, Datuk Bahaman dan Abdul Rahman Limbong – ilmu dan bakti mereka kepada masyarakat menggunung, setinggi semangat juang mereka juga dalam melawan penjajah Inggeris. Atau perjuangan melalui idea dan kepimpinan seperti Tun Perak yang membawa ahli keluarga mengiringi pemuda mereka berperang melawan Siam. Maruah pejuang di depan keluarga perlu tinggi, jika tidak, maruah anak isteri pula yang akan diratah penjajah.
Ataupun jika kita dikaitkan dengan situasi negara pada hari ini, perjuangan kita lebih kepada keluar daripada zon yang selesa dengan kehidupan masing-masing. Tanpa disedari, nilaian agama dan bangsa kita dicabar, rasuah cuba dinormalkan, politik pula diwarnai dengan gaya flip flop, tidak matang dan tidak memenangkan Islam. Maka kita memerlukan generasi baru yang amanah, berpendidikan dan berkebolehan untuk menongkah arus mewujudkan pembaharuan dan tidak terikut-ikut gaya tidak beragenda generasi sebelumnya.
Yang penting, batu-bata generasi baru ini perlulah tinggi nilaian mutunya, ibarat akronim IMAN – perlu ada Ilmu yang bermanfaat, Mujahadah yang istiqamah, Amal yang berterusan dan Nafsu yang terbimbing.
Umur kemerdekaan yang mencecah enam dekad sewajarnya tidak menyebabkan kita semakin lalai dalam nikmat ini, sebaliknya menjadikan kita sedar bahawa perjalanan perjuangan ini masih tidak terhenti. Maka penting untuk kita menjadikan diri siginifikan dalam perjuangan ini lalu menghalakannya secara sehati sejiwa bersama.