Pasti kamu akan mengikuti mereka sehasta demi sehasta
Hatta ke lubang biawak sekali pun
Prinsip yang diwarisi, pasti ada sejarah di sebaliknya. Juga perjuangan untuk mewujudkan prinsip tersebut, menyebarkannya, mempertahan dan mengukuhkan. Ia tidak dibina seharian seperti kata pepatah "was not built in a day".
Hinggalah sampai pada suatu masa warisan prinsip tersebut sampai pada generasi yang tidak kenal sejarah, tidak juga berjiwa pejuang. Ruh prinsip besar tersebut sudah tidak lagi dirasai. Ia dirasakan hanyalah perkara kecil yang entah wujud tiba-tiba. Lebih teruk lagi apabila datang pula pihak yang mempersoal kewajaran prinsip tersebut tanpa memahami sejarah dan perjuangan di sebaliknya.
Lalu akhirnya prinsip tersebut dicairkan sedikit demi sedikit. Lebih-lebih lagi ketika zaman sekarang yang tergilakan keterbukaan dan suara demokrasi. Perjuangan status quo pula dipandang sepi. Lalu tercabutlah identiti dan prinsip diri. Kononnya mahu dihormati, tetapi orang lain melihat ia sebagai harga diri yang telah dibeli. Esok lusa mungkin akan menjadi murahan lagi.
Di Malaysia ada prinsip Islam sebagai agama persekutuan. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan kaum peribumi. Hari demi hari kepentingannya tidak lagi mahu dirasai. Datang arus liberalisme, habis perjuangan berubah.
Semuanya bermula dengan perubahan sedikit demi sedikit. Bidang urusan Islam dipersoal. Institusi Raja yang menaungi negara diperlekeh. Bahasa Melayu dipinggirkan. Hingga suatu hari, membuang kesemua perkara ini langsung tidak terasa sebagai masalah.
No comments:
Post a Comment