Tuesday, 15 March 2016

Apa Kepentingan Islam dalam Dokumen Rasmi? Tidak Cukupkah Sekadar di Hati?


​Agama itu ada penjaganya
Hilang penjaga, terlerailah agama

Islam memang mendidik umatnya agar mementingkan pembentukan dan tarbiyyah dalaman seseorang. Ada banyak ayat alQuran berbicara tentang akhlak diri. Kita juga memahami jika baik dalaman seseorang, baik juga luarannya dan pasti dia akan membenci serta menjauhi perkara yang buruk di luar dirinya.

Ia memerlukan disiplin dan mujahadah yang kuat. Tipulah jika kita katakan nak menjaga diri atau untuk berubah, cukup dengan kekuatan diri sendiri. Mungkin betul cukup, jika suasana sekelilingnya membantu. Tetapi jika kawan yang ada turut menggalak buat jahat, persekitaran pula memberikan peluang kejahatan itu berlaku, memang ucap selamat tinggallah pada keinginan baik tersebut. Tiada yang akan menjaganya dengan rapat.

Lalu datanglah pelbagai unsur pengukuhan dan pencegahan, kebiasaannya ada kaitan dengan kuasa dan autoriti. Kalau dalam negara, kerajaan tak boleh berharap pada disiplin rakyatnya semata-mata agar berkelakuan baik dan bertimbang rasa. Ia perlu ada set peraturan dan undang-undang untuk menjaga, juga hukuman buat mereka yang melanggar undang-undang.

Maka begitulah kepentingan Islam dalam dokumen rasmi seperti perlembagaan. Ia menjadi penjaga agar orang yang tidak kuat mujahadah dirinya tidak terbabas. Tanpa penjaga ini, orang lain boleh sahaja masih bersama agama Islam, tetapi mereka kehilangan sempadan untuk berjaga-jaga. Juga tiada sesuatu untuk berlindung apabila berlaku proses hakisan identiti.

Dalam negara kita, ada Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan. Ada institusi Raja Melayu memelihara agar kedudukan Islam dalam negara tidak mudah hilang. Ada jabatan agama yang memberikan standard untuk urusan agama untuk orang ramai. Ia semua menjadi rangka, setidak-tidaknya agar mereka yang tidak kuat disiplin diri tidak terseleweng akibat pengaruh jahat yang kuat.

No comments:

Post a Comment

Labels