Wednesday, 13 April 2016

Bagaimana Mahu Berjumpa Keluarga di Syurga?


Banyak peristiwa bermakna yang berlaku pada saya minggu ini. Berbetulan pula khutbah Jumaat beberapa hari lepas bercerita mengenai pentingnya mempunyai sosok peribadi contoh atau model (qudwah) yang baik. Yang untuk rumuskannya, saya teringat pada ayat alQuran dalam atThuur, ayat 21.

Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.

Ayat alQuran ini menggambarkan puncak kegembiraan ahli syurga yang mempunyai talian kekeluargaan, akhirnya dikumpulkan semula sambil menikmati kejayaan bersama. Ia diganjarkan bukanlah disebabkan mereka sekeluarga semata-mata, melainkan juga iman yang diwariskan secara berterusan. Dan ini tidak berlaku andai bapa dan ibunya tidak menunjukkan contoh peribadi yang baik, beserta persiapan dan didikan yang betul.

Dalam soal perubahan ke arah yang lebih baik, ia sebenarnya bermula dengan diri sendiri. Orang lain, baik keluarga mahukan kawan rapat tidak dapat memaksa kita agar menjadi baik kerana yang memahami dan menguasai peribadi kita adalah diri sendiri. Meskipun begitu, persekitaran yang baik seperti kawan yang soleh serta majlis ilmu seperti usrah mingguan dapat memainkan peranan mengubah diri secara tidak langsung.

Jika kita memandang pada masa hadapan pula, dengan menyedari pelbagai gejala sosial dalam masyarakat hari ini, selain gaya hidup terlampau berseronok tanpa agenda dan risalah perjuangan, kita sepatutnya ada rasa risau. Jika kita sendiri masih memilih jalan hidup yang mendedahkan diri pada kelalaian, bagaimana pula perangainya generasi kita akan datang.

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. [AtTahriim, 66:6]

Peribahasa melentur buluh biarlah daripada rebungnya menggambarkan perlunya didikan diterima seawal mungkin kerana apabila buluh sudah keras, membentukkannya menjadi payah dan mudah untuk patah. Inilah gambaran kepada kegagalan unsur kebaikan atau keimanan ini diwariskan, sehingga ia merosakkan generasi seterusnya. Perubahan, yang ketika ini senang dilakukan, pada waktu itu menjadi susah kerana telah menjangkiti orang lain, iaitu generasi sendiri. Ketika itu, tiada sesiapa yang dapat disalahkan melainkan diri sendiri.


No comments:

Post a Comment

Labels