Thursday, 26 February 2015

Apa Salahnya Dosa Sendiri-sendiri


Kesalahan ada degree (tingkatan) yang berbeza. Dalam Islam, ada dosa besar, dosa kecil. Ada kesalahan melibatkan diri sendiri, ada kesalahan melibatkan orang (makhluk) lain. Ada kesalahan secara sembunyi, ada kesalahan yang orang lain nampak. Ada kesalahan yang sengaja, ada yang tidak sengaja.

Apapun jenis, bentuk dan kesan kesalahan tersebut, ia tak sepatutnya menanggalkan sifat malu dari dalam diri pelakunya. Sejahat mana sekalipun seseorang itu, perlu sedaya upaya timbulkan sifat kekesalan apabila melakukan kesalahan, supaya kesalahan tersebut tidak lagi berulang lagi pada masa akan datang.

Hari ini ada trend pelik berbangga dengan kesalahan yang dilakukan. Mungkin disebabkan sensitiviti yang semakin menghilang dan terpengaruh dengan ideologi hak asasi. Lalu timbul kata-kata seperti “semalam ada pesta arak, lupa pulak nak ajak”, “kami berzina atas kerelaan kami, dalam rumah sendiri, tiada siapa paksa”, “apa salahnya berjudi / lgbt etc, bukannya melanggar hak asasi” atau juga “apa salahnya berikan ruang agama lain berdakwah dalam media utama”.

Hakikatnya, ia tetap dosa dan kesalahan meskipun dalam apa keadaan sekalipun. Sebagaimana dosa ada tingkatannya, begitu juga akibat dan hukuman dosa tersebut, ada tingkatannya yang berbeza. Sebab itu ada hukuman hudud yang berat hukumannya untuk kesalahan yang berat dan terbuka. Ia dikira mencabar peraturan yang Allah tetapkan untuk hamba-Nya. Jika tidak jatuh pada hukuman hudud, ada ta’zir mengikut pihak berkuasa. Jika tidak di dunia, mungkin di akhirat nanti akan kena. Hukuman juga, mungkin bentuk yang setimpal, mungkin juga dalam bentuk yang berbeza seperti kesihatan dan kebahagiaan yang terancam.

Sebab itu kita perlu sedar dan kembali pada asas. Bumi ini Allah yang cipta, begitu juga diri kita, semuanya merupakan milik-Nya, dan Dia telah tetapkan peraturan bagi setiap perkara. Peraturan-Nya, sifatnya membawa kebaikan. Melanggar peraturan-Nya bererti mengundang keburukan. Maka sikap kita adalah menjauhi kesalahan sebagaimana analogi hadis yang mengingatkan agar menjauhi masuk ke sempadan kawasan larangan.

Monday, 23 February 2015

101: Islam dan Kafir


Antara kekeliruan dalam kalangan orang Islam terhadap konsep keimanan ialah tiada keperluan untuk melabel seseorang itu secara spesifik sebagai kafir atau muslim. Bagi mereka, menentukan seseorang itu kafir atau muslim, ke syurga atau ke neraka, merupakan perkara hati, dalaman dan ghaib. Perkara begini hanya ditentukan oleh Allah, sedangkan manusia tidak wajar menentukan demikian. Meletakkan label kafir atau mengatakan nasib mereka akan ke neraka merupakan hukuman terburu-buru yang berbentuk penghinaan lalu menyebabkan mereka menjauhi Islam. Kekeliruan seperti ini perlu dibetulkan supaya pendirian dan muamalah seharian kita menjadi jelas.

Berhukum
Dalam Islam, ada satu kaedah terkenal yang disebut "nahkum biz zawahir, wa natawalla bis sarair” yang bermaksud kita berhukum dengan aspek luaran dan yang dapat diperhati, manakala aspek tersirat dan tersembunyi pula diserahkan kepada Allah untuk membalasnya. Lazimnya perkara dalaman seseorang akan terzahir melalui perkara luaran. Iman akan terzahir melalui akhlak. Orang Islam akan terzahir melalui ibadah sehariannya.

“Berhukum” merupakan perkara lazim seharian sama ada berbentuk panggilan, label, pengakuan dan sebagainya. Contohnya, hakim memberi hukum melalui perkara zahir berbentuk hujah peguam, keterangan saksi. Keputusan hakim dan implikasinya seperti memenjara dan mendenda akan digunapakai apabila ia telah diputuskan, walaupun mungkin hakim tersebut tersilap dalam penghakimannya.

Sama seperti kisah lawan Saidina Ali di medan perang yang tiba-tiba mengucap syahadah, namun Saidina Ali tetap membunuhnya kerana menganggap ia helah lawannya daripada dibunuh. Sesampainya berita ini kepada baginda saw, baginda berasa marah dan menyesal melalui sabdanya “Adakah kamu telah membelah dadanya sehingga kamu tahu dia jujur atau tidak”.

Ia juga bukanlah sesuatu yang asing dalam kehidupan kita sebenarnya kerana berhukum dengan zahir, melabel memang merupakan kelaziman manusia. Jika bertemu dengan orang Melayu di mana-mana, terus dianggap sebagai muslim tanpa perlu diselidik sah syahadahnya juga sempurna solatnya. Jika orang Islam meninggal dunia, jenazahnya akan dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan; sebagai tanda ia seorang muslim. Begitu juga mayat agama lain tidak dilakukan sedemikian sebagai tanda ia bukan Islam.

Seorang tuan guru yang selalu memberi kuliah, mentadbir negeri dengan nilai Islam, apabila meninggal dunia, pasti diyakini dalam keadaan beragama Islam tanpa perlu diragui detik akhirnya. Sama juga zahirnya bagi seorang pemimpin parti sekular, ada tanda kekafiran melalui nama dan amalan sehariannya, juga pernah menghalang pelaksanaan syariah dalam hidupnya, apabila meninggal dunia, mayatnya akan diselanggarakan sebagai kafir, tanpa perlu bertanya-tanya detik akhirnya bagaimana. Implikasi zahir juga akan digunapakai; orang Islam akan menuju ke syurga, manakala mereka yang kafir akan diseksa dan menuju ke neraka.

Bukan dalam soal mati sahaja berlaku label dan pendirian berbeza terhadap yang Islam dan bukan Islam, dalam kehidupan seharian juga ada. Orang Islam mempunyai hak ukhuwah yang akan ditunaikan sebagai tanda ia bukan Islam e.g. memberi salam, menziarah, amar maruf nahi munkar. Orang bukan Islam pula tidak ditunaikan hak sedemikian (tidak diberikan salam, diajak solat dsb) sebagai suatu bentuk pengakuan bahawa mereka bukan beragama Islam.

Mereka yang tidak mahu menghukum dan melabel ini sebenarnya kadang-kadang boleh terperangkap dengan kebiasaan diri sendiri. Makanan yang mereka makan pastinya mereka sudah labelnya secara spesifik ia halal, oleh sebab itu mereka makan. Makanan mengandungi babi akan dihindari sebagai tanda keharamannya. Hubungan keturunan juga merupakan satu label sebenarnya. Orang yang mereka panggil ayah dan ibu merupakan label yang mereka berikan walaupun mereka tidak mempunyai ingatan ketika beberapa tahun awal mereka dilahirkan.

Hikmah
Label kafir dan hukuman ke neraka ini sebenarnya mempunyai hikmah tersendiri. Ia merupakan suatu bentuk cara menyedarkan mereka bahawa mereka dalam keadaan bersalah dan perlukan pembetulan. Hanya mereka yang sedar mereka salah sahaja yang akan mahu untuk berubah. Jika kafir itu label umum yang tidak perlu dispesifikkan, bagaimana Rasulullah boleh merealisasikan perintah Allah untuk menyampaikan seruan kepada orang kafir.

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: "Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke dalam neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan" [Ali Imraan, 3:12]

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti (dari kekufurannya), nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika mereka kembali lagi (ingkar maka Kami akan menyeksa mereka), kerana sesungguhnya telah berlakulah kebinasaan orang-orang (yang kufur ingkar) dahulu kala. [alAnfaal, 8:38]

Persoalan ini merupakan asas dalam muamalah dan berpendirian. Untuk mereka yang mempunyai salah faham ini, eloklah mantapkan pengetahuan dalam perkara asas syara ini supaya kukuh agar tidak menjadi kecacatan dan kelompongan ketika membicarakan perkara yang lebih besar dan kompleks.

Thursday, 19 February 2015

Dhab, Iman dan Amal: Suatu Renungan








Monday, 16 February 2015

Tarbiyyah dan Ilmu: Satu Pemerhatian


Sesunguhnya aku melihat air yang bertakung itu merosak (dan berbau busuk)
Jika ia mengalir, ia bersih. Jika ia tidak bergerak, ia tidak mensuci

Ramai selalu mengaitkan tarbiyyah dan usrah ini dengan ilmu. Betulkah datang ke usrah untuk dapatkan ilmu. Adakah yang tinggi ilmu agama lebih mudah memahami dunia tarbiyyah. Perlukah ilmu yang sangat tinggi untuk menyumbang pada jalan ini. Disebabkan persoalan yang banyak ditemui inilah saya tuliskan lintasan dan pemerhatian selama berada dalam jalan ini. 

Dan untuk terus straight, ilmu menggunung tinggi bukan ukuran kecemerlangan seseorang dalam tarbiyyah. Ilmu agama sekalipun. Dalam tarbiyyah, kami diajar untuk lebihkan pada kerja dan disiplin dalam bergerak.

Bukan untuk katakan ilmu tidak penting. Ia penting sebagai pemula / kickstart anda memahami jalan ini, tetapi hasil akhirnya terletak sama ada anda mampu menyusun segala ilmu itu untuk berdepan dengan jahiliyyah pada hari ini. Jahiliyyah ditentang agar tidak menimbulkan fitnah. Dan berdepan itu pula, bukan berseorangan, tetapi dengan rakan tarbiyyah anda yang lain. Inilah (sebahagian) yang mahu dimaksudkan sebagai amal dan disiplin gerakan.

Dan dalam tarbiyyah ini, ilmu berselerak yang anda temui hari-hari akan disusun. Silibus yang diberikan sebenarnya bukan sekadar untuk menambah ilmu anda semata-mata. Ia ada objektif dan sasarannya tersendiri. Cuba tanya, kenapa dalam banyak-banyak ilmu dalam Islam, tajuk tertentu yang dipilih dalam usrah. Ia pasti ada signifikannya tersendiri. Dapatkan objektif itu dan kuasainya bersungguh-sungguh. 

Saya sendiri, melihat ada empat jenis ilmu yang sentiasa diberi penekanan. Sejarah dan jati diri. Tarbiyyah dan harakah. Syahadah dan tuntutan. Fikrah dan realiti. Empat inilah yang anda cuba kuasai dan kukuhkan sebaik sahaja anda mahu serius dengan jalan pilihan ini. Elok pemahaman anda dengan empat ini, insya-Allah betul cara pandang dan objektif tindakan anda untuk agama ini.

Untuk mereka yang baru berjinak dengan dunia ini, dengarlah nasihat para murabbi dalam memandu anda menapaki langkah ini. Pemanduan murabbi itu penting. Sebab itu hubungan dengan murabbi perlu anda titikberatkan. Usrah merupakan tempat utamanya menyampaikan pesanan panduan. Bersungguhlah untuk hadir, cuba untuk campai zero-absenteeism. Kehadiran anda menjadi salah satu petanda berapa jauh anda mampu berada dalam susunan barisan ini.

Ada lagi satu rahsia. Dalam tarbiyyah ini, murabbinya tidak akan depress dengan mereka yang kurang dalam bab agama, juga tidak impress pun dengan mereka yang datang dari sekolah agama. Asalkan anda bersungguh mahu untuk beramal dan bergerak, anda akan dapati ilmu yang anda pelajari akan menjadi pembasah, penyubur dan penolak penting atas jalan ini. Banyak ilmu anda hanya akan berguna apabila betul bertemu fungsi dan salurannya.

PM, CEO ramai mana memegang PhD
Dan jangan terkejut kalau ada yang tak habis mengaji

Thursday, 12 February 2015

Pivot 2.0: Peluang Amerika Menjejakkan Kaki ke Malaysia

CSIS (Centre for Strategic & International Studies) pada awal tahun ini mengeluarkan dokumen bertajuk “Pivot 2.0” menyenaraikan peluang bagi US (Amerika Syarikat) terlibat di rantau Asia.[1] Badan ini memetik sebuah survey yang dijalankan pada tahun lepas oleh The Chicago Council on Global Affairs yang menunjukkan majoriti rakyat US bersetuju bahawa mereka mempunyai kepentingan yang tinggi di rantau ini.[2] Survey ini juga mendapati majoriti pakar Asia menyokong usaha Obama untuk mengimbangi kuasa di rantau Asia Pasifik ini.

Walau bagaimanapun, beberapa keadaan dikenalpasti mampu melemahkan rancangan ini termasuklah sokongan yang berkurang semasa pilihan raya US tahun 2014, kekangan bajet kewangan serta keterlibatan dalam krisis di Ukraine dan Iran – Iraq. Meskipun begitu, kekuatan mereka terletak pada persepakatan kukuh antara Parti Demokrat (kerajaan) dan Parti Republikan (kongress) terhadap isu ini (penglibatan di rantau Asia).

Artikel kali ini akan merumuskan dua aspek cadangan yang terkait dengan Malaysia iaitu Trans-Pacific Partnership (TPP) dan situasi semasa di negara sekitar Laut China Selatan (LCS). Ia bertujuan memberikan penerangan dari sudut mengapa dan bagaimana US mahu terlibat di rantau ini. Artikel ini bukanlah menyokong keinginan mereka di rantau ini, sebaliknya memberikan kefahaman terhadap tindakan US agar strategi mereka terlibat di sini dapat dibaca dan dijangka terlebih dahulu.

Cadangan pertama diutarakan dalam dokumen tersebut ialah memulakan kempen membina sokongan masyarakat mereka agar menyokong pelaksanaan TPP dan perjanjian perdagangan yang berkaitan sebelum musim panas (Jun) 2015. Bagi US, TPP akan menjadi komponen ekonomi yang utama dalam mengimbang kuasa di Asia. Dengan termeterainya TPP akan menjadikan Asia sebagai kawasan perdagangan bebas yang terbesar (40% of all merchanise trade) bagi US.

TPP penting bagi US kerana ia akan membantu menyediakan set peraturan perdagangan baru untuk Asia Pasifik yang akan memberikan keuntungan besar terhadap syarikat mereka pada masa ini dan akan datang. TPP juga akan mengukuhkan kehadiran mereka di rantau ini dengan memaparkan imej mereka sebagai kuasa di kawasan Pasifik. Tanpa TPP, negara serantau hanya akan memandang skeptik pengimbangan kuasa US di sini sebagai suatu bentuk projek ketenteraan semata-mata.

Selain proses undang-undang dalaman US yang memerlukan persetujuan kedua-dua parti di sana, perkara lain yang diperlukan untuk menjayakan TPP pada tahun 2015 ialah persetujuan negara terlibat. Awal 2008, Pentadbiran George W Bush telah melibatkan Singapura, Brunei, Chile dan New Zealand dalam usahanya melancarkan TPP. Pentadbiran Obama selepas itu pula cuba mengembangkannya menjadi 12 buah negara di Asia Pasifik termasuklah Malaysia. Rundingan ketika ini sedang menghampiri penamatnya. Ketika persidangan Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) November 2014, mereka menyatakan, “kami telah mengarahkan menteri kami untuk menjadikan penyelesaian rundingan TPP ini sebagai suatu keutamaan besar”.

Untuk rekod, selain menerima bantahan keras rakyatnya daripada menandatangani TPP lantaran bakal merugikan negara,[3] Malaysia belum memberi kata putus untuk menyertai Perjanjian TPP. Beberapa fleksibiliti diminta oleh Malaysia dalam beberapa isu berkepentingan seperti bumiputera, hak cipta intelektual dan syarikat milik negara.[4]

Cadangan kedua dalam dokumen tersebut pula, antara lain ialah mendapatkan sokongan antarabangsa dan serantau dalam keputusan mahkamah melibatkan Filipina menentang tuntutan Sembilan Garis Putus (9GP) oleh negara China di LCS. Dijangkakan keputusannya akan dikeluarkan sebelum penghujung tahun ini. Selain tuntutan Filipina, Malaysia dan Vietnam pernah menghantar penghujahan secara bersama di Commission on the Limits of the Continental Shelf untuk menyemak batasan pentas benua negara masing-masing sehingga menimbulkan bantahan negara China.[5] Bagi CSIS, apapun keputusannya nanti, ia akan menjadi titik perubahan terhadap kes pertindihan tuntutan di sana serta akan melihatkan sama ada penglbatan US di rantau ini menyakinkan atau tidak.

Dalam hal ini, pentadbiran Obama telah mengambil banyak langkah bijak dalam menyatakan pendirian tidak bersetuju terhadap tuntutan China di LCS. Yang terbaru merupakan laporan kajian keabsahan 9GP yang dikeluarkan State Department.[6] US dijangkakan akan turut mendapatkan sokongan antarabangsa terhadap keputusan tribunal ini dalam masa yang sama menekan negara China agar menerima apa sahaja keputusan yang akan diberikan. Sokongan dan tekanan US penting dalam usahanya mengukuhkan kedudukannya di Asia Tenggara agar hak Filipina membawa kes tersebut ke mahkamah mendapat sokongan penuh ASEAN.

Dalam masa yang sama, US perlu menggandakan usahanya meningkatkan kesedaran terhadap kawasan maritim, patrol dan kemampuan mencegah (deterrence capabilities) di Asia Tenggara. Perkara ini termasuklah melipatgandakan dana, latihan dan pemindahan peralatan kepada rakannya di sini termasuklah Malaysia. Ini tidak lain agar US dapat kelihatan gah dalam berdepan negara China yang berpotensi mencabar dominasi kuasanya di sini. Oleh sebab itulah, US perlu nampak berperanan dalam tuntutan ini dengan apa juga cara seperti menyampaikan saranan dan sokongan terhadap apa-apa tindakan diplomasi yang berkaitan.

Menariknya pada cadangan kedua ini, laporan turut menimbang demokrasi yang tidak stabil di Myanmar dan Thailand sebagai peluang untuk terlibat di rantau Asia Tenggara ini. Melihatkan perkembangan mutakhir di Malaysia yang menyaksikan hukuman penjara terhadap Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, ia kelihatannya membuka ruang tambahan kepada penglibatan US di sini. Selain wujudnya petisyen mendesak pentadbiran Obama mempercepat proses pembebasan Anwar dari penjara[7], duta US ke Malaysia turut menyuarakan kritikan secara terbuka keputusan badan kehakiman negara.[8] Perkembangan seperti ini sebenarnya boleh dijangka melihatkan kesungguhan US untuk terlibat secara aktif di rantau ini.

Nota Tambahan: Boleh dikatakan tahun 2015 ialah masa untuk rakyat Malaysia berjaga-jaga dengan tindak-tanduk US, khususnya berkenaan polisi mereka ke atas negara-negara di rantau ini. Rekod seperti yang ditulis William Blum (2000) menyaksikan campurtangan US dalam sesebuah negara hanya menguntungkan kuasa besar tersebut semata-mata sedangkan tuan rumah akhirnya akan ditinggalkan menderita.[9] Cukuplah sejarah ini menjadikan kita berhati-hati dalam berurusan dengan negara kuasa besar ini.

Rujukan:
[1] Michael J. Green, Nicholas Szechenyi, Victor Cha, “Pivot 2.0”: How the Administration and Congress Can Work Together to Sustain American Engagement in Asia to 2016, 2015

[2] Dina S. Smeltz and Craig Kafura, Americans Affirm Ties to Allies in Asia, 2014

[3] Memorandum bantahan TPPA, Aug 29, 2013, http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130829/dn_01/Memorandum-bantahan-TPPA

[4] TPPA: Malaysia minta fleksibiliti, Feb 26, 2014, http://ww1.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140226/ek_01/TPPA:-Malaysia-minta-fleksibiliti

[5] Permanent Mission of the People’s Republic of China to the United Nations, letter to Ban Ki-moon, May 7, 2009, http://www.un.org/depts/los/clcs_new/submissions_files/mysvnm33_09/chn_2009re_mys_vnm_e.pdf

[6] U.S. Department of State, Limits in the Seas No. 143 China Maritime Claims in The South China Sea, 2014, http://www.state.gov/documents/organization/234936.pdf

[7] Petisyen desak pembebasan Anwar dibuat di laman web White House, Feb 11, 2015, http://www.astroawani.com/berita-dunia/petisyen-desak-pembebasan-anwar-dibuat-di-laman-web-white-house-53751

[8] U.S. Embassy Statement on The Conviction of Anwar Ibrahim, Feb 10, 2015, http://malaysia.usembassy.gov/pr_emb_statement_anwar-021015.html

[9] William Blum, Rogue State: A Guide to the World’s Only Superpower, 2000

Pivot 2.0: Peluang Amerika Menjejakkan Kaki ke Malaysia: diterbitkan kali pertama di IRIS Institute 15 Feb 2015

Monday, 9 February 2015

Jangan Risau, Rakyat Malaysia Imannya Kuat!


Menarik meneliti respons rakyat Malaysia berkenaan placard “I’m a Muslim, I love Hindus” semasa perhimpunan Thaipusam baru-baru ini. Selain respons Timb Mufti Perak dan Jawatankuasa Pusat ISMA, saya cuba bawakan beberapa perkara lain untuk diperhatikan dalam isu ini.

Pertama, carikan hadis Rasulullah secara jelas menyebut “Aku sukakan orang kafir”.
Ramai berhujah placard tersebut tiada masalah kerana Rasulullah berdiri ketika mayat Yahudi lalu di hadapan baginda. Untuk mereka, kita bawakan hadis yang lebih tepat “(Di akhirat,) seseorang itu akan berada bersama dengan mereka yang dia cintai”. Juga kaedah "keredaan terhadap kekufuran merupakan kekufuran”. Sebenarnya, ada bezanya suka dengan hormat, juga ada beza batasan keimanan dengan kemanusiaan. Ibu bapa yang kafir, ketika dicintai bukanlah atas kapasiti kekafirannya lalu boleh diangkat placard "I Love Kaafir", tetapi atas kapasitinya sebagai ibu bapa, "I Love my Dads and Mums”. Sayang terhadap orang kafir, jika sekalipun dihujah, perlu diarah untuk menyedarkan dia terhadap kesalahan agama mereka dan kebenaran agama Islam. Selalulah baca surah alKaafirun, begitulah dialog yang sepatutnya diungkapkan. "I'm a Muslim, I do not worship what you worship."

Kedua, pencegahan perlu dilakukan agar masyarakat menjauhi perkara yang salah.
Kita tidak perlu menunggu sehingga rakyat Malaysia ramai-ramai dijangkiti pluralisme, murtad atau tiada agama, baru kita perlu bertindak. Ada konsep sadd zarai’ (menutup jalan bahaya) yang boleh dipraktikkan. Dalam Islam, bukan sahaja iman perlu dikukuh (tahalli), tetapi unsur perosak juga perlu dihapuskan (takhalli). Ibarat menanam kelapa sawit, baja perlu diletak, selain pagar perlu dibina untuk mengelak kambing menceroboh makan. Pokoknya pencegahan perlu dilakukan ketika sihat, bukan menunggu sindrom dan penyakit barulah diubati. Lupakah mereka pada kes Hartina Kamarudin, Lina Joy dan Aishah Bukhari; banyak ilmu di dada sekalipun bukan petanda tidak akan terjebak dalam kekufuran.

Ketiga: iman yang kuat bukan diukur dengan memakai tudung, bersolat dan status dalam MyKad semata-mata.
Ada yang cuba berhujah, terlibat dalam perhimpunan tersebut hanyalah perkara kecil, sekejap dan tidak menjejaskan iman. Bukan sahaja orang bukan Islam, orang Islam sendiri berikan alasan tersebut. Mereka guna pembariskah mengukur iman untuk lihat perbandingan sebelum dan selepas perhimpunan tersebut sehingga yakin berkata sedemikian. Saya yakin para sahabat ra yang tinggi imannya, tidak akan mengangkat placard cinta tersebut, apatah lagi bersetuju dengannya atas alasan harmoni. Iman itu holistik sifatnya, tertunjuk dalam segenap aktiviti hidup, diterjemahkan dalam amal menguntungkan Islam. Eloklah baca tulisan Ustaz Mustafa Masyhur, Jalan Dakwah untuk ukur iman yang rakyat Malaysia, sudah bina cukup kuatkah?




Published on 2/6/15. 12:45 PM
Malaysia Time

Thursday, 5 February 2015

Nampak Permainan Mereka?


Langkah Mengekstrimkan Islam
  1. Lakukan provokasi terhadap orang Islam dengan menghina / mencabar / merampas hak mereka.
  2. Cari respons yang kasar dan ekstrim daripada orang Islam, selau ungkit dan tekankan. 
  3. Sembunyikan provokasi yang telah dibuat sebelum itu.
  4. Kes ditutup. Kesimpulan: Islam merupakan agama yang ekstrim.
Langkah Mensederhanakan Islam
  1. Lakukan provokasi terhadap orang Islam dengan menghina / mencabar / merampas hak mereka.
  2. Cari kumpulan yang tidak berikan respons / diam. Beritahu kepada masyarakat pendekatan seperti itulah yang terbaik. Pilih contoh sirah ketika umat Islam mempunyai bilangan dan kuasa yang sedikit.
  3. Dalam masa yang sama, burukkan umat Islam yang merespons dengan tegas. Ketepikan contoh sirah ketika umat Islam merespons dengan tegas apabila mereka mempunyai kekuatan dan bilangan.
  4. Kes ditutup. Kesimpulan: Islam mengajar sederhana. Pasif dan diam merupakan ajaran islam yang paling harmoni dan berhikmah.
Langkah Memangsakan Bukan Islam
  1. Lakukan provokasi terhadap orang Islam dengan menghina / mencabar / merampas hak mereka.
  2. Cari tindak balas umat Islam terhadap provokasi tersebut, terutama yang melibatkan amaran dan kuatkuasa.
  3. Beritahu hak bersuara bukan Islam selalu dinafikan dan mereka kerap dibuli. Sembunyikan provokasi yang telah dilakukan.
  4. Kes ditutup. Kesimpulan: orang Islam selalu membuli bukan Islam dan menjadikan mereka mangsa.
Langkah Membanding dan Memburukkan Islam
  1. Berikan contoh gagalnya Yahudi dan Kristian dalam mengintegrasikan agama dan politik
  2. Cadangkan pengasingan agama dari politik sebagai alternatif kepada pembawaan teruk Yahudi dan Kristian (sekularisme)
  3. Arus perdanakan sekularisme sebagai pilihan terbaik untuk manusia pada hari ini
  4. Tunjukkan ia lebih baik daripada Islam dengan membawakan contoh pembawaan Islam yang gagal (walaupun Islam ada rangka yang baik berlandaskan wahyu)
  5. Kes ditutup. Kesimpulan: sekularisme merupakan konsep terbaik berbanding kegagalan Islam. 

#CabaranLasak #EcoChallenge #KualaWoh

Berakit-rakit di hujung minggu 
Berenang-renang dah banyak kesempatan 
Bersakit-sakit memang perlu 
Bersenang-senang itu suatu persiapan





Monday, 2 February 2015

Tarbiyyah Realiti


Dulu waktu belajar tentang ghazwul fikr, selalu keluar tentang formula seperti 5F 5S sebagainya. Formula merumuskan medium musuh Islam melemahkan umatnya. Fun Food Film Female Song Sex Screen bagai. Disebutnya satu-satu contoh yang masyarakat dah termasuk dalam serangan musuh ini. Pernah juga duku jumpa kawan yang teruja dengan pendedahan seperti ni, siap selalu jadikan sebagai tajuk tazkirah. Harapnya sampai sekarang dia komited berhati-hati dengan serangan itu.

Bagus dan terujanya pendedahan seperti ini, sebab ia berkaitan dengan realiti yang boleh dijumpai berhari-hari. Ia menterjemahkan idea pertembungan dan permusuhan yang ada dalam buku ke bahasa realiti. Fikrah diterjemah pada situasi hari ini dan terasa lebih dekat dengan manusia.

Dan pada hari ini, pertembungannya bukan sahaja secara idea, tetapi dengan manusia. Ia bukan lagi dibuat secara dalaman tersembunyi, tetapi terbuka dan berhadapan. Bukan lagi beretorik seperti jaguh kampung berbincang idea sesama orang Islam, tetapi menegur dan memberi amaran secara berhadapan dengan musuh dan mediumnya.

Contoh, kerapuhan liberalisme dihuraikan bukan sahaja secara akademik dalam kuliah di masjid atau kertas kerja konvensyen secara terbuka, tetapi juga menjelaskan siapa musuhnya dan mengkritik agenda yang mereka bawa. Masyarakat diperkenalkan kepada siapa dalangnya, dari organisasi mana, siapa yang mendanai mereka dan pelbagai maklumat lagi agar dalang-dalang ini dijauhi.

Harga yang perlu dibayar juga bertambah. Ada masa perlu berurusan dengan mahkamah disaman seperti kes Marina dan Comango. Ada masa dituduh menghasut seperti sejarah pencerobohan bangsa Cina. Ada masa dituduh sebagai pelampau dan ekstremis. Pertembungan secara berhadapan ini bertambah sengit.

Mungkin inilah pengertian tarbiyyah - pengembangan. Fikrah itu bukan sahaja berada dalam kepala, tetapi juga berkembang ke realiti. Ia bukan sekadar manis diungkap dalam tazkirah, tetapi mengasah kejantanan menghadapi musuh dengan berani. Mengungkap fikrah bukan lagi dengan rakan seikhwah, tetapi juga dalam bahasa mengkritik musuh, juga difahami masyarakat. 

Dan apabila pertembungan diterjemah dengan bertambah jelas seperti ini, semakin terasalah bagus dan terujaan yang dirasai berbanding apa yang dialami dahulu.

Labels