Monday, 23 February 2015

101: Islam dan Kafir


Antara kekeliruan dalam kalangan orang Islam terhadap konsep keimanan ialah tiada keperluan untuk melabel seseorang itu secara spesifik sebagai kafir atau muslim. Bagi mereka, menentukan seseorang itu kafir atau muslim, ke syurga atau ke neraka, merupakan perkara hati, dalaman dan ghaib. Perkara begini hanya ditentukan oleh Allah, sedangkan manusia tidak wajar menentukan demikian. Meletakkan label kafir atau mengatakan nasib mereka akan ke neraka merupakan hukuman terburu-buru yang berbentuk penghinaan lalu menyebabkan mereka menjauhi Islam. Kekeliruan seperti ini perlu dibetulkan supaya pendirian dan muamalah seharian kita menjadi jelas.

Berhukum
Dalam Islam, ada satu kaedah terkenal yang disebut "nahkum biz zawahir, wa natawalla bis sarair” yang bermaksud kita berhukum dengan aspek luaran dan yang dapat diperhati, manakala aspek tersirat dan tersembunyi pula diserahkan kepada Allah untuk membalasnya. Lazimnya perkara dalaman seseorang akan terzahir melalui perkara luaran. Iman akan terzahir melalui akhlak. Orang Islam akan terzahir melalui ibadah sehariannya.

“Berhukum” merupakan perkara lazim seharian sama ada berbentuk panggilan, label, pengakuan dan sebagainya. Contohnya, hakim memberi hukum melalui perkara zahir berbentuk hujah peguam, keterangan saksi. Keputusan hakim dan implikasinya seperti memenjara dan mendenda akan digunapakai apabila ia telah diputuskan, walaupun mungkin hakim tersebut tersilap dalam penghakimannya.

Sama seperti kisah lawan Saidina Ali di medan perang yang tiba-tiba mengucap syahadah, namun Saidina Ali tetap membunuhnya kerana menganggap ia helah lawannya daripada dibunuh. Sesampainya berita ini kepada baginda saw, baginda berasa marah dan menyesal melalui sabdanya “Adakah kamu telah membelah dadanya sehingga kamu tahu dia jujur atau tidak”.

Ia juga bukanlah sesuatu yang asing dalam kehidupan kita sebenarnya kerana berhukum dengan zahir, melabel memang merupakan kelaziman manusia. Jika bertemu dengan orang Melayu di mana-mana, terus dianggap sebagai muslim tanpa perlu diselidik sah syahadahnya juga sempurna solatnya. Jika orang Islam meninggal dunia, jenazahnya akan dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan; sebagai tanda ia seorang muslim. Begitu juga mayat agama lain tidak dilakukan sedemikian sebagai tanda ia bukan Islam.

Seorang tuan guru yang selalu memberi kuliah, mentadbir negeri dengan nilai Islam, apabila meninggal dunia, pasti diyakini dalam keadaan beragama Islam tanpa perlu diragui detik akhirnya. Sama juga zahirnya bagi seorang pemimpin parti sekular, ada tanda kekafiran melalui nama dan amalan sehariannya, juga pernah menghalang pelaksanaan syariah dalam hidupnya, apabila meninggal dunia, mayatnya akan diselanggarakan sebagai kafir, tanpa perlu bertanya-tanya detik akhirnya bagaimana. Implikasi zahir juga akan digunapakai; orang Islam akan menuju ke syurga, manakala mereka yang kafir akan diseksa dan menuju ke neraka.

Bukan dalam soal mati sahaja berlaku label dan pendirian berbeza terhadap yang Islam dan bukan Islam, dalam kehidupan seharian juga ada. Orang Islam mempunyai hak ukhuwah yang akan ditunaikan sebagai tanda ia bukan Islam e.g. memberi salam, menziarah, amar maruf nahi munkar. Orang bukan Islam pula tidak ditunaikan hak sedemikian (tidak diberikan salam, diajak solat dsb) sebagai suatu bentuk pengakuan bahawa mereka bukan beragama Islam.

Mereka yang tidak mahu menghukum dan melabel ini sebenarnya kadang-kadang boleh terperangkap dengan kebiasaan diri sendiri. Makanan yang mereka makan pastinya mereka sudah labelnya secara spesifik ia halal, oleh sebab itu mereka makan. Makanan mengandungi babi akan dihindari sebagai tanda keharamannya. Hubungan keturunan juga merupakan satu label sebenarnya. Orang yang mereka panggil ayah dan ibu merupakan label yang mereka berikan walaupun mereka tidak mempunyai ingatan ketika beberapa tahun awal mereka dilahirkan.

Hikmah
Label kafir dan hukuman ke neraka ini sebenarnya mempunyai hikmah tersendiri. Ia merupakan suatu bentuk cara menyedarkan mereka bahawa mereka dalam keadaan bersalah dan perlukan pembetulan. Hanya mereka yang sedar mereka salah sahaja yang akan mahu untuk berubah. Jika kafir itu label umum yang tidak perlu dispesifikkan, bagaimana Rasulullah boleh merealisasikan perintah Allah untuk menyampaikan seruan kepada orang kafir.

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: "Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke dalam neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan" [Ali Imraan, 3:12]

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti (dari kekufurannya), nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika mereka kembali lagi (ingkar maka Kami akan menyeksa mereka), kerana sesungguhnya telah berlakulah kebinasaan orang-orang (yang kufur ingkar) dahulu kala. [alAnfaal, 8:38]

Persoalan ini merupakan asas dalam muamalah dan berpendirian. Untuk mereka yang mempunyai salah faham ini, eloklah mantapkan pengetahuan dalam perkara asas syara ini supaya kukuh agar tidak menjadi kecacatan dan kelompongan ketika membicarakan perkara yang lebih besar dan kompleks.

No comments:

Post a Comment

Labels