Menarik meneliti respons rakyat Malaysia berkenaan placard “I’m a Muslim, I love Hindus” semasa perhimpunan Thaipusam baru-baru ini. Selain respons Timb Mufti Perak dan Jawatankuasa Pusat ISMA, saya cuba bawakan beberapa perkara lain untuk diperhatikan dalam isu ini.
Pertama, carikan hadis Rasulullah secara jelas menyebut “Aku sukakan orang kafir”.
Ramai berhujah placard tersebut tiada masalah kerana Rasulullah berdiri ketika mayat Yahudi lalu di hadapan baginda. Untuk mereka, kita bawakan hadis yang lebih tepat “(Di akhirat,) seseorang itu akan berada bersama dengan mereka yang dia cintai”. Juga kaedah "keredaan terhadap kekufuran merupakan kekufuran”. Sebenarnya, ada bezanya suka dengan hormat, juga ada beza batasan keimanan dengan kemanusiaan. Ibu bapa yang kafir, ketika dicintai bukanlah atas kapasiti kekafirannya lalu boleh diangkat placard "I Love Kaafir", tetapi atas kapasitinya sebagai ibu bapa, "I Love my Dads and Mums”. Sayang terhadap orang kafir, jika sekalipun dihujah, perlu diarah untuk menyedarkan dia terhadap kesalahan agama mereka dan kebenaran agama Islam. Selalulah baca surah alKaafirun, begitulah dialog yang sepatutnya diungkapkan. "I'm a Muslim, I do not worship what you worship."
Kedua, pencegahan perlu dilakukan agar masyarakat menjauhi perkara yang salah.
Kita tidak perlu menunggu sehingga rakyat Malaysia ramai-ramai dijangkiti pluralisme, murtad atau tiada agama, baru kita perlu bertindak. Ada konsep sadd zarai’ (menutup jalan bahaya) yang boleh dipraktikkan. Dalam Islam, bukan sahaja iman perlu dikukuh (tahalli), tetapi unsur perosak juga perlu dihapuskan (takhalli). Ibarat menanam kelapa sawit, baja perlu diletak, selain pagar perlu dibina untuk mengelak kambing menceroboh makan. Pokoknya pencegahan perlu dilakukan ketika sihat, bukan menunggu sindrom dan penyakit barulah diubati. Lupakah mereka pada kes Hartina Kamarudin, Lina Joy dan Aishah Bukhari; banyak ilmu di dada sekalipun bukan petanda tidak akan terjebak dalam kekufuran.
Ketiga: iman yang kuat bukan diukur dengan memakai tudung, bersolat dan status dalam MyKad semata-mata.
Ada yang cuba berhujah, terlibat dalam perhimpunan tersebut hanyalah perkara kecil, sekejap dan tidak menjejaskan iman. Bukan sahaja orang bukan Islam, orang Islam sendiri berikan alasan tersebut. Mereka guna pembariskah mengukur iman untuk lihat perbandingan sebelum dan selepas perhimpunan tersebut sehingga yakin berkata sedemikian. Saya yakin para sahabat ra yang tinggi imannya, tidak akan mengangkat placard cinta tersebut, apatah lagi bersetuju dengannya atas alasan harmoni. Iman itu holistik sifatnya, tertunjuk dalam segenap aktiviti hidup, diterjemahkan dalam amal menguntungkan Islam. Eloklah baca tulisan Ustaz Mustafa Masyhur, Jalan Dakwah untuk ukur iman yang rakyat Malaysia, sudah bina cukup kuatkah?
Published on 2/6/15. 12:45 PM
Malaysia Time
No comments:
Post a Comment