Thursday 13 February 2014

Transkrip “Islam diancam, kita perlu agresif”

Transkrip “Islam diancam, kita perlu agresif”
(dengan sedikit olahan)

Soalan: Ada juga orang yang jenis yang tidak suka bergaduh / nampak orang yang bergaduh ketika memberikan komen. Mungkin jiwa dia terlalu lembut …

Jawapan:
Jiwa yang terlalu lembut ini mungkin berpunca daripada silap faham terhadap sirah. Inilah antara masalah yang berlaku pada sebahagian daripada umat Islam, apabila mereka membaca sirah, mereka membaca kisah yang lembut-lembut. Mereka membaca kisah nabi memaafkan orang, mengampunkan orang, lemah lembutnya nabi dan sebagainya.

Tapi cuba kita gabungkan sirah secara keseluruhan. Nabi mengampunkan orang, memaafkan orang, namun ada juga orang yang sepatutnya dibunuh dalam peristiwa pembukaan Mekah. Nabi kata, bunuhlah walaupun dia bergantung di dinding kaabah Tetapi sebahagian mereka juga ada yang dimaafkan.

Tetapi di masa yang sama cuba kita tengok bagaimana nabi melancarkan Perang Badar, Perang Uhud, dan Perang Khandak. Tamat Perang Khandaq, Nabi isytiharkan, alaan naghzuhum, wa laa yaghzuuna (sekarang kita pula yang menyerang, bukan mereka lagi yang menyerang).

Jadi maknanya nabi buat suatu tindakan agresif selepas Perang Khandaq. Nabi sudah tidak diserang, Nabi pulak menyerang. Nabi menyerang Quraisy, jajahan Rom, jauh sampai ke sempadan negara Arab semuanya. Dan perkara ini difahami oleh sahabat sebegitu juga.

Kaab b Asyraf, sebagai contoh, merupakan seorang pemuka Yahudi yang sentiasa menyakitkan hati orang Islam dan melakukan tipu daya untuk jatuhkan orang islam. Dia merupakan orang Yahudi; terikat dengan Piagam Madinah. Sepatutnya dia mempertahankan Madinah, tetapi dia mengkhianati Madinah.

Apa yang Nabi buat? Nabi menghantar utusan membunuh dia. Apabila bila kita membaca semua sirah itu akhirnya kita akan dapat lihat gambaran sebenar terhadap Islam, iaitulah apabila berhadapan dengan sesuatu isu, Islam akan menggunakan wasilah yang bersesuaian untuk menangani isu tersebut.

Kalau sekiranya orang menjatuhkan Islam dengan menggunakan syair, Islam akan membalas dengan bersyair. Kalau sekiranya orang cuba menjatuhkan Islam dengan pedang, Islam tidak akan bersyair dah, tetapi Islam akan menggunakan pedang. Kalau sekiranya orang menggunakan suatu komplot yang besar untuk menjatuhkan Islam, Islam akan kumpulkan tenaga yang besar juga untuk melawan.

Jadi wasilah yang bersesuaian diperlukan untuk menangkis segala serangan. Jadi kita tak boleh tafsirkan serangan golongan-golongan liberal untuk menjatuhkan Islam, sebagai contohnya kumpulan Comango sebagai suatu serangan yang boleh dijatuhkan dengan khutbah Jumaat ataupun dengan sedikit artikel dalam Utusan, Berita Harian, web, internet, blog. Tak boleh begitu.

Bahkan pada pandangan saya, kita sepatutnya lebih agersif daripada sekarang. Sebab wasilah yang kita gunakan pada hari ini sepatutnya mesti bersesuaian.

Comango dapat bantuan daripada mana? Dananya banyak. Kemudian mereka pergi ke Geneva, ke sana sini melobi. Kita pula, kalau sekiranya kita berusaha kecil-kecilan memang tak boleh.

Sikap sebahagian umat Islam yang tidak mahu bertembung ini sebenarnya mungkin berpunca daripada salah fahamnya terhadap agama sendiri.

Ada sesetengah orang kata, kalau sekiranya kita pandai bertoleransi, nscaya kita tidak akan bertembung. Nabi merupakan manusia yang paling bertoleransi, tetapi nabi bertembung juga. Sebab pertembungan ini memang akan tetap berlaku. Dalam alQuran disebut

وكذلك جعلنا في كل قرية أكابر مجرميها ليمكروا فيها
[alAnaam, 6:123]

Demikianlah kami jadikan pada setiap negeri, akan ada sahaja akabira mujrimin (penjenayah-penjenayah besar / pemuka jahat yang memusuhi Islam) yang liyamkuru fiha (sentiasa berusaha untuk menjatuhkan Islam). Jadi memang itu tabiatnya.

Bahkan sekiranya kita melihat sejarah nabi pun, adakah dalam kalangan nabi yang tiada musuh? Tiada nabi yang tiada musuh. Semua nabi akan ada musuhnya. Adakah kerana nabi-nabi ini tidak toleransi?

Nabi Muhammad, ketika lahirnya sahaja, seluruh kaum Quraisy bergembira. Abu Lahab sendiri membebaskan hamba dan seumpamanya. Maknanya, kelahiran itu disambut. Tetapi akhirnya apabila baginda isytiharkan selepas 40 tahun bahawa baginda merupakan seorang nabi yang diutuskan, apa yang berlaku? Orang Quraisy tiba-tiba menolak Rasulullah saw.

Ini yang kita perlu faham, hal ini berlaku bukannya kerana baginda tidak faham toleransi, tapi baginda ditolak kerana tabiat agama ini memang akan ada satu kumpulan manusia yang menentang.

Jadi, perkara ini mesti difahami oleh orang Islam. Kita mesti bersedia. Bukan maksudnya kita nak menghasut orang untuk bertindak ganas, tetapi kita mesti bersedia, kerana itu memang tabiat yang dah ditunjukkan sejak sejarah Nabi Adam sehinggalah Nabi Muhammad dan generasi Islam yang seterusnya.

Kalau sekiranya kita melihat waqi’ atau realiti di Malaysia sebenarnya, kalau sekiranya umat Islam bertoleransi dengan toleransi yang cukup baikpun, tetap akan ada manusia yang akan merosakkan Islam.

No comments:

Post a Comment

Labels