Conflict Resolution Model: Lima pilihan menyelesaikan konflik
Artikel ini akan menghurai lima model pilihan menguruskan konflik / menghadapi konfrontasi menurut sudut pandang pertembungan alHaq vs alBathil di Malaysia. alHaq merujuk kepada gerakan untuk memartabatkan Islam di negara ini manakala alBathil merujuk kepada perjuangan dan siri provokasi mencabar kedaulatan dan identiti Islam di sini, yang berkait dengan kententeraman masyarakat negara kita.
Pilihan ini akan memberikan gambaran umum dan awal tentang pendirian yang sesuai untuk berhadapan dengan situasi semasa yang berlaku dalam negara, seterusnya membentuk reaksi kita terhadap isu tersebut. Perkara ini penting kerana gambaran awal yang salah (eg salah kenalpasti dengan siapa konflik berlaku) akan menghasilkan tingkahlaku dan reaksi yang tidak tepat terhadap isu tersebut.
1. Penyesuaian (ambilkira ciri masing-masing): Jahiliyyah masih kekal
Model Islam dan Jahiliyyah digabungkan dan ditunjukkan secara bersama, seperti yang diperjuangkan melalui "Islam Liberal". Islam masih ada, cuma dilembutkan dan dicairkan dengan unsur liberalisme. Lebih ringan lagi, Islam dan agama lain tidak perlu disebut dan dizahirkan. Agama hanya berfungsi di tempat ibadah masing-masing. Akibatnya, imej Islam tidak dijelaskan kepada masyarakat umum. Secara mudahnya, Islam dan ideologi lain diletakkan sama taraf. Contoh implikasi yang dapat dilihat,
- wujud tuntutan yang meminta orang Islam tidak boleh mendakwahi golongan bukan Islam sebagaimana orang bukan Islam tidak boleh menyebarkan fahaman mereka kepada orang Islam.
2. Mengelak: Bukan pilihan orang berjuang
Sebarang konflik / cabaran terhadap Islam direspons secara pasif. Diam lebih utama untuk mengelakkan ketegangan agama / bangsa daripada terjadi, walaupun pihak bukan Islam yang mencabar terlebih dahulu. Akibatnya, syiar dan dakwah Islam tidak dapat ditunjukkan kepada masyarakat luar. Antara contohnya:
- tidak memberikan pendirian (atau memberikan perbincangan yang lari daripada konteks) terhadap penggunaan kalimah Allah dalam Bible berbahasa Melayu,
- berdiam diri terhadap kes deskriminasi terhadap pemakai tudung
- menjadikan ibadah korban tidak perlu dizahirkan kerana kelihatan kejam dan mengguris hati penyembah binatang korban.
3. Kompromi: Langkah undur ke belakang
Seolah-olah menafikan kuasa dan kelebihan yang telah diberikan kepada Islam di sini. Model ini yang selalu ditunjukkan oleh mereka yang kagum dengan negara "terbuka" seperti UK dan Turki, padahal negara tersebut berada dalam kongkongan sekularisme, sedangkan Malaysia tidak mempunyai masalah dalam usaha menzahirkan agenda Islam. Contoh pendirian salah akibat pilihan ini ialah:
- tidak perlu menyekat usaha kristianisasi eg penyebaran bible yang mengandungi kalimah Allah dalamnya, sebaliknya hanya perlu berdialog dengan mereka
- badan dan organisasi bercirikan Islam perlu dihapuskan.
- ruangan bangsa dihapuskan dalam MyKad.
- keistimewaan kepada Islam dan Melayu yang termaktub dalam perlembagaan perlu ditiadakan.
- Pendidikan Agama Islam tidak perlu diwajibkan kepada pelajar di sekolah untuk mengelak pemaksaan dan meraikan kebebasan memilih.
4. Menang-menang: Melanggar sunnatullah pertembungan
Pihak bukan Islam diberikan kuasa sebagaimana Islam ada. Syiar mereka dizahirkan, padahal ia menjadi kesalahan terutama di kawasan yang majoritinya Islam. Inilah yang menjadi tuntutan pelbagai pihak hari ini, terutamanya ketika mereka sedar lemahnya umat Islam di negara kita pada hari ini akibat perpecahan sesama mereka. Antara tuntutan mereka:
- Permintaan hak asasi terlampau diluluskan seperti lgbt dipaparkan tanpa segan silu dan menjadi pemandangan biasa
- COMANGO diberikan hak bersuara dan mencorak identiti negara
- Interfaith Commission diiktiraf
- Kuil dan gereja boleh dibina secara besar dan menjadi tarikan pelancong bagi negara ini, dengan alasan masjid juga boleh dibina secara besar
5. Persaingan: Pilihan yang terbaik untuk situasi di Malaysia.
Mahu tidak mahu, Islam perlu dimenangkan dan dizahirkan di negara ini sebagai satu-satunya agama yang mencorak negara berdasarkan prinsipnya yang syumul. Perlembagaan, kontrak sosial, sejarah dan struktur negara mampu untuk membantu kemenangan Islam di sini. Hujah, kuasa dan keistimewaan perlu digunakan sebaik mungkin dalam menyampaikan mesej Islam dan menjelaskan kekeliruan yang wujud. Dengannya, agenda Islam di Malaysia akan diperkasakan manakala sistem dalam masyarakat dan kerajaan dibaiki sedikit demi sedikit sehingga berjalan mengikut lunas Islam. Inilah yang selalu disuarakan ISMA melalui kenyataan dan respons mereka terhadap isu semasa.
Perjuangan Islam merupakan usaha menegakkan penguasaan hukum / agama Allah agar menjadi lebih tinggi berbanding semua hukum / agama ciptaan manusia yang ada atas muka bumi ini, bukannya sama taraf atau lebih rendah berbanding agama ini. Inilah yang termaktub dalam alQuran sebagai
هو الذي أرسل رسوله بالهدى ودين الحق ليظهره على الدين كله
Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala ugama yang lain ... [asSaff, 61:9]
Namun, ia bukanlah paksaan menukarkan semua warga Malaysia supaya memeluk Islam ataupun mengambil hak dan menindas mereka, sebaliknya memastikan sistem yang menaungi negara ini merupakan peraturan adil yang ditetapkan Allah dan rasul-Nya (i'la kalimatillah), mengikut panduan dan disiplin alim ulama, bukannya berpandukan logik dan akal semata-mata. Inilah yang bertepatan dengan hadis nabi mengenai ketinggian agama Islam:
الاسلام يعلو ولا يعلى عليه
Islam itu tinggi. Tiada apa-apa yang lebih tinggi daripadanya [Hadis Sahih]
Dengan tercapai objektif inilah Islam disifatkan sebagai rahmatan lilAlamin; agama, gaya hidup atau peraturan yang membawa rahmat, kesejahteraan dan kedamaian bukan sahaja kepada warga muslim, tetapi juga warganegara bukan Islam, alam sekitar bahkan untuk seluruh alam.
--
Bacaan Tambahan
1. Nazif Emran, ISMA is non-partisan and Islamic
2. Ustaz Halim, Isu kalimah Allah: Menjawab pemikiran Mujahid Rawa
3. Ustaz Hazizi, Islam tertegak atas al-Quran dan kekuasaan
No comments:
Post a Comment