Wednesday, 13 February 2013

Tidak Dapat Dibebaskan Kecuali ...


Rasulullah saw telah diutus untuk menyampaikan risalah Islam ketika negeri Arab yang paling subur dan kaya tidak berada di bawah kekuasaan mereka, tetapi dikuasai oleh orang bukan Arab.

Seluruh wilayah Syam di utara berada dalam kekuasaan Rom; kepimpinannya diserahkan kepada pemimpin Arab yang bekerjasama dengan Rom. Seluruh wilayah Yaman di selatan tunduk bawah kekuasaan Parsi; kepimpinannya diserah kepada penguasa yang tunduk kepada Parsi. Orang Arab hanya berkuasa di Hijaz, Najd; dikelilingi oleh padang pasir tandus. Hanya sedikit terdapat beberapa lembah subur di sana sini.

Muhammad saw merupakan tokoh yang diberi penghormatan oleh pembesar Quraisy untuk meletakkan Hajarul Aswad. Mereka rela dengan keputusan yang dibuat oleh Muhammad saw sejak 15 tahun lalu. 

Sebagai keturunan Bani Hashim; nasab keturunan yang paling mulia dalam kalangan Quraisy, boleh sahaja baginda membakar nasionalisme Arab untuk mengumpulkan kabilah yang saling bertelingkah dan bermusuhan kerana wilayahnya sedang dijajah oleh Rom dan Parsi. Dengan melakukan sedemikian, baginda boleh mengangkat panji rasa kebangsaan dan nasionalisme Arab. Selanjutnya membentuk jaringan pemikiran nasionalis yang kuat di seantero Semenanjung Arab.

Jika sejak awal Rasulullah saw menyeru ke arah nasionalisme, kemungkinan besar pemimpin Arab akan menerima. Tetapi baginda memilih untuk menderita selama 13 tahun menentang para penguasa di Semenanjung Arab.

Mungkin ada orang yang berkata, "Setelah orang Arab terima, setelah tampuk kekuasaan berada di tangan baginda, setelah kehormatan berada pada diri baginda, Rasulullah saw boleh menggunakannya untuk menyampaikan risalah tauhid yang diterima olehnya daripada Allah. Kemudian membanteras perhambaan dan penindasan manusia ke atas manusia."

Akan tetapi Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana tidak mengarahkan rasul-Nya ke jalan seperti itu. Dia mengarahkan untuk menentang arus dengan senjata "Laa Ilaaha Illa Allah" dan menanggung penderitaan yang dikenakan ke atas kelompok kecil mereka yang telah menerima dakwah ini.

Mengapa? Allah tidak mahu membebankan rasul-Nya dan orang beriman. Allah Maha Mengetahui bahawa bukan jalan seperti itu, bukan jalan ini yang dapat membebaskan bumi ini dari tangan para taghut (penguasaan zalim melampau); taghut Rom, Parsi, Arab dan sebagainya.

Bumi ini milik Allah, wajib diselamatkan kerana Allah. Tidak dapat dibebaskan kecuali untuk mengibarkan bendera Laa Ilaaha Illa Allah. Membebaskan manusia di muka bumi ini dengan menggantikan taghut Rom atau Parsi dengan taghut Arab bukanlah jalan yang benar.


Taghut ialah taghut, manusia merupakan hamba Allah semata-mata. Tidaklah mungkin menjadi hamba Allah semata-mata kecuali dengan meninggikan panji Laa Ilaaha Illa Allah.

Laa Ilaaha Illa Allah seperti yang difahami orang Arab yang memahami maksudnya; iaitu tiada penguasaan kecuali bagi Allah, tidak ada syariah kecuali dari Allah, tidak ada kekuasaan seseorang ke atas seseorang; kerana seluruh kekuasaan berada di tangan Allah. Nasionalisme yang dikehendaki Islam ialah nasionalisme akidah, yang mempersamakan antara Arab, Rom, Parsi dan seluruh nasionalisme di bawah panji Allah.

Inilah jalannya.

Edit daripada:
Fi Zilal al Quran (S. Qutb)

No comments:

Post a Comment

Labels