Khidr as: "... hamba Kami, diberikan rahmat di sisi Kami,
yang telah Kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi Kami"
Tadabbur al Kahfi mingguan kami selalu sebut tentang empat jenis fitnah (ujian) yang berlaku. Selain fitnah berkaitan agama, harta dan kuasa, fokus tadabbur kami buat masa kini ialah fitnah berkaitan ilmu.
Asal perisitiwanya penuh siginifikan: Nabi Musa as merasakan bagindalah yang paling bijak dalam kalangan manusia ketika itu. Lalu Allah menyuruhnya mencari Khidir as untuk tunjukajarkan kepadanya bahawa ilmunya tidak sebanyak mana.
Ini sangat berkaitan dengan diri kita yang terkadang merasa sudah cukup dengan ilmu yang ada. Di fb sahaja (sebagai contoh) masing-masing berani komen dan menghakimi setiap perkara dengan ilmu yang ada. Bukan nak menafikan hak bersuara, tapi biarlah kembali kepada asal peristiwa Nabi Musa; elakkan mendabik dada, sebaliknya terus berbudaya ilmu sepanjang masa.
Melihatkan situasi yang berlaku sekarang, saya suka letakkan diri saya di posisi Nabi Musa as yang sedang berguru dengan Khidir as. Memang terkadang tidak puas hati dan gelisah melihat apa yang si cikgu ajar dan lakukan, tapi al Kahfi mengajar diri ini untuk terus sabar dan teguhkan lagi kesabaran dengan ajaran si cikgu.
Kalau Nabi Musa dah berasa cukup terpukul dengan tiga peristiwa, saya ni berpuluh-puluh kali sudah terkena. Mula-mula memang kita ingat semua perkara dah ada dalam penyelidikan kita, rupanya ada ilmu yang tak tercapai melalui usaha kita, yang Allah mahukan kita belajar daripada kalangan hamba-Nya yang diberikan “min ladunna ilma.”
Di sini letaknya pengajaran utama kisah al Kahfi ini, perjalanan Nabi Musa dan Khidir as bukan nak mengajar kita untuk bertaklid buta dengan si cikgu, tapi biarlah ada adab kesopanan antara pelajar dengan guru. Kalau ada yang tidak kena dengan pengajaran si cikgu, kita yang (merasakan) sudah dewasa ini jangan terus berikan seribu macam hukuman menghentam si cikgu.
Sebaliknya merendah dirilah untuk bertanya dengan penuh tatasusila, mudah-mudahan ada pencerahan yang akan melapangkan dada. Menarik kisah perjalanan Nabi Musa dan Khidir as ini. Bacalah sendiri. Di bahagian ketiga surah al Kahfi.
Ilmu itu Cahaya, Jahil itu Berbahaya
Ingatlah Ingat Semua, Jadilah Insan Berguna