Assalamu Alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakaatuh.
Tahun 1433H sudahpun tiba. Kita bersyukur kepada Allah kerana memanjangkan umur kita untuk terus merasai nikmat-Nya pada tahun baru ini. Yang pasti, hidup dan tugas sebagai hamba-Nya perlu terus dilakukan sebagai tanda terima kasih kita kepada-Nya.
Moga dengan ketibaan tahun baru ini disertakan dengan azam kuat dalam diri kita untuk melakukan hijrah atau perubahan, baik dari sudut akademik mahupun sahsiah; sedikit atau banyak. Jadikanlah 1432H sebagai medan muhasabah untuk memberi pengajaran dalam menghadapi masa akan datang ini agar lebih cemerlang dari segi fizikal, mental, spiritual dan emosional.
Mungkin cukuplah bagi kita untuk menghayati apa yang dikatakan oleh Nabi kita saw dalam hadis riwayat Imam al Bukhari, “Orang yang berhijrah merupakan orang yang meninggalkan apa yang dilarang Allah.” Sememangnya suasana di luar negara yang mendedahkan diri kita kepada pelbagai larangan dan perkara haram ini, menuntut mujahadah yang tinggi daripada dalaman diri untuk terus menjaga dan mengekalkan nilai Islam dan budaya ketimuran kita.
Tahniah juga kepada warga ISMA Sheffield atas penubuhan jawatankuasa pertama baru-baru ini. Moga dengan struktur yang jelas ini akan memberikan kita peluang untuk beramal dengan sebaiknya. Perjalanan kita masih jauh, moga langkahan kecil yang telah dimulakan ini dikira sebagai titik mula hijrah kita dan diiktiraf sebagai amal soleh di sisi-Nya.
Semoga 1433H ini menyaksikan lebih banyak rahmat dan berkat-Nya dilimpahkan kepada bumi Sheffield ini melalui amal dakwah kita, insya-Allah. Amin.
Wassalam.
Membangun Umat Beragenda.
Faqih Ahmad Shuhaili
Ketua Syukbah ISMA Sheffield
No comments:
Post a Comment