Thursday, 25 June 2009

Usaha, Bukannya Hasil (Dua-dua lagi Bagus)

Siapa yang tak teringin melihat hasil yang banyak? Siapa yang tak rasa bangga dengan keputusan cemerlang yang dicapai?

Kita sudah dibiasakan untuk melihat sesuatu dari sudut hasil, bukan lagi usaha. Secara mudahnya usaha dapat diumpamakan seperti bongkah ais yang tenggelam, tidak terlihat, lalu boleh diabaikan. Hasil pula merupakan bongkah terapung yang boleh dilihat ramai.

Kalau begitu, apa yang paling penting sebenarnya? Yang tenggelam atau yang timbul? Di sinilah kesilapan berlaku apabila kita terlalu mengejar hasil atau target yang dicapai namun dalam masa yang sama mengambil mudah terhadap usaha yang dicurahkan.

Contoh paling mudah, kita lihat pada peperiksaan. Mungkin kita berasa sedih dengan keputusan yang tidak memberangsangkan sedangkan kita sudah berusaha sehabis baik, bangun pada waktu pagi untuk mengulangkaji, selalu berjumpa guru, banyak buat latihan dan lain-lain. Jangan sedih, dari sudut manusia, anda mungkin rugi malah boleh dikatakan kasihan dan bernasib malang, tapi di sisi Allah, anda lebih mulia berbanding yang lain, termasuk mereka yang mendapat hasil yang memberangsangkan dengan usaha yang sedikit.

Begitu juga dari sudut pembinaan anak halaqah. Usaha untuk mencari dan membina mereka, itu yang paling utama. Sama ada ramai atau sedikit, berjaya dibina atau tidak, bukanlah menjadi persoalan utama. Yang dipentingkan ialah bagaimana kita mencari, mengumpul, meramaikan dan membina kualiti mereka. Adakah sudah dengan sepenuh hati atau hanya main pegang sentuh saja dan mengabaikan kualiti dan standard yang ditetapkan Allah.

Selalu juga kita mengejar hasil yang banyak dan mengharapkan binaan cepat matang, tetapi usaha kita hanya sedikit. Nampak langsung tidak seimbang dan jangan berharap kita boleh sentiasa bersenang lenang dan berbangga dengan produk yang kita ada. Mungkin akan wujudnya sisi-sisi kelemahan yang akan merosakkan sistem pembinaan yang kita ada.

Namun, jika hasil yang kita harapkan dapat dicapai namun usaha boleh dikatakan sedikit, kita perlu berasa rugi. Kita rugi dari sudut ganjaran berusaha kerana dengan usahalah seseorang itu dinilai dan diberikan balasan, bukannya hasil. Jadi, banyakkan lagi usaha kita.
وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ وَسَتُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ
Dan katakanlah: "Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang gaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan".
[at Taubah, 9:105]

Begitu juga, usaha yang bersungguh-sungguhlah yang akan memberikan keberkatan kepada hasil dan ganjaran yang akan kita perolehi. Senang cerita, memang tidak rugi seandainya anda banyak berusaha walau sedikit atau banyak hasil yang anda dapat kerana yang penting ialah ganjaran dan tuntutan sebenar daripada pekerjaan yang kita lakukan itu.
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ
Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan Kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.
[al Ankabut, 29:69]

3 comments:

  1. byk idea2 yg dikeluarkn dalam blog ni sgt berguna..

    thanks faqih.

    ReplyDelete
  2. yep anas... mge Allah sentiasa memberi kamu kekuatan dalam memperjuangkan yg hak hihi... n menjadikan kamu tergolongan dalam golongan org2 yg ikhlas...
    lg 1... doakan aku ye( khairul shazwan)

    ReplyDelete
  3. semoga bermanfaat
    all these are just my 2 cents
    Mana yang baik, ambil utk jadi pengajaran

    ReplyDelete

Labels