Tuesday, 24 March 2020

Social Distancing


Dalam Bahasa Melayu, istilah ini diterjemahkan sebagai Penjarakkan Sosial (dbp.gov.my).

Dalam konteks masa sekarang, ada istilah lebih tepat berbanding ini, seperti yang digunakan World Health Organization, iaitu Physical Distancing (Penjarakkan Fizikal).

Komunikasi dan perhubungan sosial kita sekarang dah melangkaui sempadan dengan kehadiran internet dan media sosial (instagram, twitter, facebook dll). Maka yang diminta utk kita jaga ialah batas fizikal supaya dapat mengelakkan jangkitan penyakit.

Apabila keluar istilah ini, saya teringat dalam AlQuran seolah ada gambaran penjarakkan fizikal yang akan berlaku hari akhirat nanti (Abasa, 80:34-37).
يوم يفر المرء من أخيه وأمه وأبيه وصاحبته وبنيه لكل امرئ منهم يومئذ شأن يغنيه
"Pada hari itu, seseorang itu lari dari saudaranya, ibunya, bapanya, isterinya serta anak-anaknya. Tiap-tiap seorang mereka pada hari itu ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja."

Tak pasti tentang social distancing di akhirat, tetapi kelihatannya komunikasi tetap berlaku, walau antara yang sihat (penduduk syurga) dan sakit (penduduk neraka). Ada pelbagai dialog dah digambarkan akan berlaku pada hari akhirat kelak seperti dalam contoh berikut:

Al-A'raaf, 7:50 - Ahli neraka menyeru ahli Syurga (dengan berkata): "Limpahkanlah kepada kami sedikit dari air atau dari rezeki (makanan) yang telah dikurniakan Allah kepada kamu"

Saba', 34:31 - Dan (sungguh ngeri) kalau engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dibawa berdiri di hadapan Tuhan mereka (untuk dihisab), masing-masing tuduh menuduh antara satu dengan yang lain. Orang-orang yang tertindas berkata kepada orang-orang yang sombong takbur (yang menjadi ketuanya): "Kalaulah tidak kerana kamu (menindas dan memperdayakan kami), tentulah kami sudah menjadi orang yang beriman".

Wallahualam mungkin ada perbincangannya kiasan ni, seperti akhirat nanti bentuk fizikal ke, atau bagaimana dialog tersebut berlaku. Para ustaz silakan komen atau betulkan.

Apapun kita doakan penjarakkan yang berlaku hari ini dapat segera tamat. Moga kesulitan dunia pada hari ini menginsafkan diri kita, lalu mendorong kita mendekatkan diri kepada Pencipta yang Maha Berkuasa.

Gambar: fredhutch.org

Wednesday, 30 October 2019

Ketidaksamarataan dalam Pendidikan

1. Menurut Annuar Musa, dalam Belanjawan 2020, peruntukan bagi sekolah kebangsaan hanyalah kira-kira RM 3000 per sekolah, sedangkan bagi Sekolah Persendirian Cina ialah RM 250 000.

2. Begitulah nasib Sekolah Kebangsaan yang mendukung dasar pendidikan kebangsaan, berada di luar bandar, sangat memerlukan dana untuk pembangunan murid, dan rata-ratanya dihadiri golongan bumiputera. Sedangkan Sekolah Persendirian Cina pula berada di bandar, sudah mewah, mudah menerima dana daripada taikun, tidak selari dengan dasar pendidikan kebangsaan lalu tidak menggalakakkan perpaduan nasional.

3. Situasi seperti ini yang sepatutnya disentuh, bukannya tentang kuota bumiputera untuk mendapatkan biasiswa dan penempatan di universiti.

4. Ada Cina dan India yang mengatakan mereka sudah cukup cemerlang dalam peperiksaan, tetapi tidak menerima biasiswa. Persoalannya, berapa ramai pula orang Melayu yang cemerlang juga, tetapi tidak menerima biasiswa. Ataupun, yang sebenarnya dia tidak cemerlang pun berbanding kawan sebangsa dia yang ada menerima biasiswa? Seolah-olahnya mereka tidak tahu berapa ramai bumiputera di Malaysia berbanding Cina dan India. Berapa ramai bumiputera yang miskin, lalu tidak berpeluang mendapat hak pendidikan di universiti? Atau lagi, adakah bumiputera ini cukup kaya untuk mendanai pendidikan dan kehidupan seharian?

Wednesday, 18 September 2019

Tiada Kesedaran Politik, Lalu Tidak Survive

Dato' Dr Badhrulhisham (minit 115) mengisyaratkan bahawa kesedaran masyarakat Melayu Islam terhadap survival agama dan bangsa mereka berada pada tahap yang rendah, berbanding bangsa lain. Beliau mengambil contoh peratusan populasi Cina di Terengganu yang berjumlah 2% pada suatu masa, tetapi dalam daftar pengundi, ia meningkat sebanyak 3%.

Kita perlu berikan pendidikan dan kesedaran tentang kepentingan politik kepada masyarakat sejak usia awal lagi. Politik melibatkan tentang kuasa, sedangkan kuasa menentukan apa yang seseorang boleh tentukan kepada kelompok masyarakat, sama ada masyarakat tersebut rela atau tidak. Ia merangkumi polisi terhadap ekonomi, pendidikan, peluang kerja, jatuh bangun agenda agama serta bangsa, serta pelbagai perkara lagi.

Sesuatu yang merisaukan kita apabila ramai dalam kalangan kita tidak pun mendaftar sebagai pengundi, juga tidak kisah untuk keluar mengundi pada hari pilihan raya. Ia berpunca daripada kesedaran mereka yang rendah.

Tonton Wacana Survival di Facebook ISMA Seri Iskandar: https://www.facebook.com/771113062906714/videos/941104116223637/

Tuesday, 17 September 2019

Untuk Bentuk Negara Bukannya Boleh Serahkan pada PIBG

Menurut Dr Teo Kok Seong dalam Forum Analisis Ogos 2019 (minit 30), untuk pembentukan negara bangsa, ia perlu dilakukan secara “state-defined” atau dari atas ke bawah.

Maksudnya negara perlu menggunakan bidang kuasanya untuk menentukan bagaimana bentuk pemikiran dan keperibadian warganegaranya. Contohnya, bahasa Melayu perlu diajar pada setiap warganegara dan setiap mereka perlu mencapai tahap penguasaan yang memuaskan. Begitu juga rakyat perlu mengetahui sejarah asas pembinaan negara. Juga akhlak dan nilai ketimuran perlu dididik dan diterapkan dalam kehidupan seharian.

Perkara ini tidak boleh diputuskan oleh rakyat bawahan sendiri. Contohnya dalam penerapan khat dan jawi sebagai seni warisan negara, ia tidak wajar diputuskan oleh PIBG sesebuah sekolah. Contoh lain, tidak wajar untuk memilih untuk tidak mahu belajar dan bertutur dalam bahasa kebangsaan, sebaliknya dalam bahasa Cina atau India. Atau mengetepikan buku teks sejarah dan memilih versi sejarah yang mengangkat peristiwa dan tokoh tersendiri. Apatahlagi membentuk sistem pendidikan dan peperiksaan yang berbeza.

Penentuan ini bertujuan agar warganegara tersebut terikat secara bersama pada asas yang membentuk negara. Bukan membuat negara cara sendiri dan masing-masing. Jika tidak, kita akan membentuk set yang berbeza sesama warganegara. Ibarat minyak dengan air, situasi caca merba ini ibarat bom jangka masa yang akan meletup apabila tiba masanya.

Selamat Hari Malaysia.

Tonton Forum Analisis: Seni Khat di Youtube - https://www.youtube.com/watch?v=eqMlNmpAorY

Sunday, 11 August 2019

Aidiladha 1440

Hari Raya, hari bergembira dan berbangga dengan kemeriahan syiar-Nya, baik berupa haji, korban mahupun lafaz takbir. Moga lahir ketakwaan daripadanya | سلام عيد الأضحى


Wednesday, 5 June 2019

Aidilfitri 1440

Moga banyak keuntungan daripada bulan Ramadan.
Salam Aidilfitri 1440.
Maaf Zahir dan Batin.



Sunday, 2 June 2019

ISMA Sheffield Eratkan Hubungan Komuniti Malaysia dengan Masjid Setempat


Sheffield, 1 Jun – ISMA Sheffield berjaya menganjurkan kempen untuk meringankan bebanan kewangan Al-Huda Islamic Centre, sebuah masjid di sini baru-baru ini.

Dalam kempen tersebut, sejumlah £1440 (kira-kira RM 7,600) berjaya dikumpulkan dalam kalangan rakyat Malaysia yang rata-ratanya merupakan pelajar universiti di sini. Keprihatinan rakyat Malaysia terlihat jelas apabila jumlah yang dikumpul melebihi £1000 yang disasarkan.

Sumbangan telah diserahkan dalam sebuah majlis ringkas di masjid ini semalam.

Ketua ISMA Sheffield, Sazlee Hidayatullah berkata kempen ini bertujuan mengeratkan hubungan antara komuniti Malaysia di sini dengan pihak masjid. Beliau turut berterima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan kempen ini.

Pegawai Masjid Al-Huda, Saeed Mohammed melahirkan kegembiraan terhadap jumlah sumbangan yang diterima. Beliau turut mengalu-alukan sebarang interaksi daripada rakyat Malaysia di sini dan berharap hubungan baik ini akan berterusan pada masa akan datang.

Biro Komunikasi dan Multimedia ISMA UK-Eire

Sunday, 26 May 2019

Indahnya Ramadan: Coretan Sheffield UK

1. Indahnya Ramadan adalah kerana ia bulan AlQuran diturunkan. Ia bulan kita memuhasabah hubungan kita dengannya baik dari sudut bacaan, tadabbur, pengamalan, tafsir, hafazan dan sebagainya. Kitab rujukan kita yang tertinggi ini sewajarnya diulangkaji agar kehidupan kita berjalan di atasnya. Apa yang diperintah itu yang kita amalkan, apa yang dilarang itulah pula yang kita jauhi. Dalamnya juga terdapat paksi keimanan, renungan alam, kisah teladan, hakikat kehidupan yang sewajarnya tersemat kukuh dalam dada kita sepanjang usia.

2. Indahnya Ramadan juga kerana kita disunatkan untuk bertadarus AlQuran padanya. Tersebut dalam hadis, ia merupakan amalan tahunan baginda bersama malaikat Jibril. Alhamdulillah kami di sini mengambil kesempatan waktu asar yang panjang (5 - 9 PM) untuk berkumpul bertadarus setiap hari. Kebiasaannya sejam cukup untuk menyelesaikan bacaan satu juz. Bukannya mukasurat terakhir yang dikejar, sebaliknya peluang menyemak bacaan jika ada yang tersilap. Penghujungnya kami gilirkan sesama kami tazkirah buat renungan, sekitar Ramadan, perjuangan umat Islam beserta penderitaan saudara seagama di seluruh dunia..

3. Indahnya Ramadan adalah kerana ia bulan yang penuh keberkatan. Ada pelbagai peluang kebaikan terbuka. Fitrah hati manusia sememangnya gembira dengan amal kebaikan. Pada bulan ini ibadah sunat diganjarkan seperti yang wajib, yang wajib pula digandakan ganjarannya. Terasa ringan juga untuk melakukan pelbagai kebaikan pada bulan ini, mungkin kerana faktor syaitan yang sudah terikat. Antara yang baginda contohkan kepada kita dalam bulan ini ialah sedekah yang banyak, tidak seperti bulan yang lain. Di Sheffield ini kami usahakan kempen membantu masjid menyelesaikan hutang pembinaan.



4. Indahnya Ramadan juga kerana adanya ganjaran bagi mereka yang memberi makan kepada orang yang berbuka. Ia sering menjadi rebutan para wanita yang terkadang berkeuzuran untuk turut sama mendapat pahala orang yang berpuasa. Ramadan kali ini, kami mengambil kesempatan juga untuk berkongsi juadah berbuka dengan jiran yang pintunya belum pernah kami ketuk sebelum ini. Ada masanya juga kami membawa bekalan yang dimasak di rumah untuk berbuka bersama jemaah di masjid. Kegembiraannya bukan sahaja pada peluang berinteraksi dan bermesra dengan jiran dan komuniti antarabangsa di sini, tetapi juga pada ukhuwwah dan kebersamaan yang terjalin, merentasi bahasa dan warna kulit.


5. Indahnya Ramadan turut disebabkan adanya tarawih, ibadah malam yang khusus sepanjang bulan ini. Seolah-olahnya ada faktor penolak yang menyebabkan rasa kuat untuk beribadah malam, sehingga boleh melazimi 11 / 23 rakaat, sesuatu yang tidak dapat dirasai dalam bulan lain.

6. Indahnya Ramadan adalah kerana adanya lailatul Qadr, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Rasulullah memberikan pembayang bahawa ia berada pada sepuluh malam terakhir. Baginda turut mencontohkan kepada kita untuk mencarinya bersungguh-sungguh melalui hadis baginda memperkemas ikatan kain. Ibadah lain yang turut dianjurkan pada sepuluh malam terakhir ialah iktikaf. Ia mengajar kita untuk berlatih meninggalkan keselesaan tidur di rumah, sebaliknya berusaha mengejar ganjaran akhirat. Sama seperti di kawasan lain, masjid di Sheffield ini menjadi meriah dengan ibadah menjelang sepuluh hari terakhir. Kalaulah tidak kerana tuntutan mencari rezeki pada siang hari, pasti kebanyakan mereka akan tetap berada di masjid tidak keluar sepanjang 10 hari tersebut.

7. Indahnya Ramadan juga adalah kerana ia merupakan bulan perjuangan. Ia merupakan bulan berlakunya Peperangan Badar, Pembukaan Kota Mekah, Peperangan Ain Jalut dan peristiwa perjuangan besar yang lain. “Rehlah Masyi” merupakan suatu program yang kami anjurkan dalam bulan ini untuk mengimbau perjalanan Rasul dan sahabat ke medan Badar. Sambil berjalan kami mengulangkaji sirah perjuangan Badar, mendengar kisah kepahlawanan pejuang Tanah Melayu, juga menghafal hadis. Apalah sangat 5 km perjalanan dalam cuaca dingin Sheffield, berbanding puluhan kali ganda perjalanan 2H meredah panasnya semenjung Arab melawan kaum musyrik Mekah.


8. Indahnya Ramadan kerana ia peluang mengenalkan anak terhadap rukun Islam ketiga ini. Ia didikan awal bahawa ibu bapanya beragama Islam dan mempunyai komitmen terhadap agama. Walaupun tidak perlu berpuasa pada usianya tersebut, sengaja kami dengarkan bacaan AlQuran padanya, dan ada masanya membawa dia turut bertadarus, supaya dia merasakan ada kelainan dalam bulan ini. Walaupun adakalanya aneka ragam berlaku terutamanya waktu berbuka (9:30 PM) dan tarawih (10:30 PM) yang bersamaan waktu tidur mereka, anggaplah ia sebagai pengalaman unik berpuasa pada musim panas.

9. Indahnya Ramadan tahun ini dirasai pada tahun akhir pengajian di Sheffield sini. Banyaknya kerja analisis di makmal dan penulisan di pejabat menyebabkan perlu untuk berada di universiti hampir setiap hari. Penyelia pula mahu berjumpa setiap minggu, maka pelbagai milestone perlu kerap dicapai. Di luar sana, ada suara yang cuba memburukkan umat Islam yang tidak produktif dalam bulan ini, termasuk yang beragama Islam juga. Dari suatu sudut, mulut skeptik dan tidak senang ini tidak pernah tidak senyap, pada masa yang sama juga perlu untuk kita mengelak fitnah tersebut berpunca daripada diri kita sendiri.

10. Indahnya Ramadan, buat akhirnya adalah kerana ia mengorientasikan semula objektif dan neraca ukuran diri kita. Ganjaran yang tersedia melalui Ramadan ini bukannya berbentuk material, seperti yang biasa kita kejar dalam kehidupan seharian, sebaliknya merupakan keberkatan, pahala, syurga, keampunan, penerimaan amal dsb. Ia merupakan suatu pesta yang hasilnya tak diterima sekarang, melainkan pada kehidupan selepas kematian nanti. Ia merupakan sesuatu yang dikejar oleh mereka yang beriman kepada yang ghaib. Bagi mereka, Ramadan bukan sekadar untuk ibadah peribadi, tetapi juga bersama komuniti. Ia bukan sekadar kerohanian, tetapi juga perjuangan. Bagi mereka yang berpegang pada hadis, “Sesiapa yang berpuasa / mendirikan Ramadan / qiamullail dengan keimanan dan mengharapkan balasan, …”, pasti akan merasai bahawa Ramadan ini sangat indah.

Faqih Ahmad Shuhaili
Zahra’ Zainurrashid
Mei 2019

Sunday, 14 April 2019

Mahasiswa Luar Negara Sokong Kempen Malaysia Negara Islam


Sheffield, 12 Mac – Jawatankuasa ISMA Sheffield telah berjaya menganjurkan ceramah umum yang bertujuan untuk memperkenalkan Kempen Malaysia Negara Islam (MNI).

Ceramah tersebut dipengerusikan oleh Saudara Afif serta disampaikan oleh barisan panel iaitu Saudara Muhammad Hafidz Romli dan Saudara Faqih Aqili.

“Kita berkempen adalah untuk mempertegaskan identiti negara Malaysia supaya tidak diganggu ubah oleh mana-mana pihak. Sekiranya wujud usaha mencairkan keislaman negara kita, maka perlunya usaha untuk melawan dan mengukuhkannya semula,” tegas Muhammad Hafidz.

“Menjaga agama umat Islam memang menjadi tanggungjawab pemerintah, termasuk melalui pelaksanaan undang-undang. Maka, mencegah jangkitan mungkar kepada rakyat adalah lebih utama daripada merawat,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Saudara Faqih Aqili turut berkata, Malaysia boleh dikatakan dipandang baik dan cemerlang di mata dunia. Sekiranya kita tidak tegaskan status ini, akan ada pihak luar yang mahu menuntut identiti yang ‘pelik’ kepada negara kita.

Kempen ini untuk tunjukkan majoriti akar umbi rakyat Malaysia mahukan negara dicorakkan sebagai negara Islam, maka keinginan mereka jangan dikhianati. Jangan pula negara demokrasi meraikan pandangan pelik minoriti melebihi majoriti.

“Agenda pembaikan umat sangat luas dan mencakupi pelbagai bidang termasuklah pemerintahan, ekonomi, dan sosial. Bertolonglah kita dalam kebaikan, moga kesatuan kita memberikan kekuatan dan saling melengkapi antara satu sama lain,” jelasnya lagi.

Ceramah tersebut disudahi dengan sesi bergambar dengan menunjukkan tanda bulan sabit sebagai seruan untuk lebih ramai pelajar dan rakyat Malaysia di UK khususnya untuk menyahut kempen yang berjalan selama lima bulan ini.


Friday, 1 February 2019

Huda


Alhamdulillah bersempena hari ketujuh kelahiran, kami mengumumkan nama cahaya mata kedua ini sebagai Huda binti Faqih Aqili.

Perkataan huda berasal daripada bahasa Arab membawa maksud petunjuk, bimbingan juga ketaatan. Kerap disebut dalam AlQuran, moga nikmat berharga ini sentiasa dikurniakan kepada kita agar terhindar daripada fitnah kebatilan dan kesesatan.

أولئك الذين هدى الله فبهداهم اقتده | Mereka (Nabi-nabi) itulah yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka (wahai Muhammad) turutilah petunjuk mereka [QS 6:90]

Mohon doakan Huda sihat membesar dapat menunjuk dan membawa diri, keluarga, agama, bangsa dan negaranya atas kebenaran.


Labels