Sunday 26 May 2019

Indahnya Ramadan: Coretan Sheffield UK

1. Indahnya Ramadan adalah kerana ia bulan AlQuran diturunkan. Ia bulan kita memuhasabah hubungan kita dengannya baik dari sudut bacaan, tadabbur, pengamalan, tafsir, hafazan dan sebagainya. Kitab rujukan kita yang tertinggi ini sewajarnya diulangkaji agar kehidupan kita berjalan di atasnya. Apa yang diperintah itu yang kita amalkan, apa yang dilarang itulah pula yang kita jauhi. Dalamnya juga terdapat paksi keimanan, renungan alam, kisah teladan, hakikat kehidupan yang sewajarnya tersemat kukuh dalam dada kita sepanjang usia.

2. Indahnya Ramadan juga kerana kita disunatkan untuk bertadarus AlQuran padanya. Tersebut dalam hadis, ia merupakan amalan tahunan baginda bersama malaikat Jibril. Alhamdulillah kami di sini mengambil kesempatan waktu asar yang panjang (5 - 9 PM) untuk berkumpul bertadarus setiap hari. Kebiasaannya sejam cukup untuk menyelesaikan bacaan satu juz. Bukannya mukasurat terakhir yang dikejar, sebaliknya peluang menyemak bacaan jika ada yang tersilap. Penghujungnya kami gilirkan sesama kami tazkirah buat renungan, sekitar Ramadan, perjuangan umat Islam beserta penderitaan saudara seagama di seluruh dunia..

3. Indahnya Ramadan adalah kerana ia bulan yang penuh keberkatan. Ada pelbagai peluang kebaikan terbuka. Fitrah hati manusia sememangnya gembira dengan amal kebaikan. Pada bulan ini ibadah sunat diganjarkan seperti yang wajib, yang wajib pula digandakan ganjarannya. Terasa ringan juga untuk melakukan pelbagai kebaikan pada bulan ini, mungkin kerana faktor syaitan yang sudah terikat. Antara yang baginda contohkan kepada kita dalam bulan ini ialah sedekah yang banyak, tidak seperti bulan yang lain. Di Sheffield ini kami usahakan kempen membantu masjid menyelesaikan hutang pembinaan.



4. Indahnya Ramadan juga kerana adanya ganjaran bagi mereka yang memberi makan kepada orang yang berbuka. Ia sering menjadi rebutan para wanita yang terkadang berkeuzuran untuk turut sama mendapat pahala orang yang berpuasa. Ramadan kali ini, kami mengambil kesempatan juga untuk berkongsi juadah berbuka dengan jiran yang pintunya belum pernah kami ketuk sebelum ini. Ada masanya juga kami membawa bekalan yang dimasak di rumah untuk berbuka bersama jemaah di masjid. Kegembiraannya bukan sahaja pada peluang berinteraksi dan bermesra dengan jiran dan komuniti antarabangsa di sini, tetapi juga pada ukhuwwah dan kebersamaan yang terjalin, merentasi bahasa dan warna kulit.


5. Indahnya Ramadan turut disebabkan adanya tarawih, ibadah malam yang khusus sepanjang bulan ini. Seolah-olahnya ada faktor penolak yang menyebabkan rasa kuat untuk beribadah malam, sehingga boleh melazimi 11 / 23 rakaat, sesuatu yang tidak dapat dirasai dalam bulan lain.

6. Indahnya Ramadan adalah kerana adanya lailatul Qadr, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Rasulullah memberikan pembayang bahawa ia berada pada sepuluh malam terakhir. Baginda turut mencontohkan kepada kita untuk mencarinya bersungguh-sungguh melalui hadis baginda memperkemas ikatan kain. Ibadah lain yang turut dianjurkan pada sepuluh malam terakhir ialah iktikaf. Ia mengajar kita untuk berlatih meninggalkan keselesaan tidur di rumah, sebaliknya berusaha mengejar ganjaran akhirat. Sama seperti di kawasan lain, masjid di Sheffield ini menjadi meriah dengan ibadah menjelang sepuluh hari terakhir. Kalaulah tidak kerana tuntutan mencari rezeki pada siang hari, pasti kebanyakan mereka akan tetap berada di masjid tidak keluar sepanjang 10 hari tersebut.

7. Indahnya Ramadan juga adalah kerana ia merupakan bulan perjuangan. Ia merupakan bulan berlakunya Peperangan Badar, Pembukaan Kota Mekah, Peperangan Ain Jalut dan peristiwa perjuangan besar yang lain. “Rehlah Masyi” merupakan suatu program yang kami anjurkan dalam bulan ini untuk mengimbau perjalanan Rasul dan sahabat ke medan Badar. Sambil berjalan kami mengulangkaji sirah perjuangan Badar, mendengar kisah kepahlawanan pejuang Tanah Melayu, juga menghafal hadis. Apalah sangat 5 km perjalanan dalam cuaca dingin Sheffield, berbanding puluhan kali ganda perjalanan 2H meredah panasnya semenjung Arab melawan kaum musyrik Mekah.


8. Indahnya Ramadan kerana ia peluang mengenalkan anak terhadap rukun Islam ketiga ini. Ia didikan awal bahawa ibu bapanya beragama Islam dan mempunyai komitmen terhadap agama. Walaupun tidak perlu berpuasa pada usianya tersebut, sengaja kami dengarkan bacaan AlQuran padanya, dan ada masanya membawa dia turut bertadarus, supaya dia merasakan ada kelainan dalam bulan ini. Walaupun adakalanya aneka ragam berlaku terutamanya waktu berbuka (9:30 PM) dan tarawih (10:30 PM) yang bersamaan waktu tidur mereka, anggaplah ia sebagai pengalaman unik berpuasa pada musim panas.

9. Indahnya Ramadan tahun ini dirasai pada tahun akhir pengajian di Sheffield sini. Banyaknya kerja analisis di makmal dan penulisan di pejabat menyebabkan perlu untuk berada di universiti hampir setiap hari. Penyelia pula mahu berjumpa setiap minggu, maka pelbagai milestone perlu kerap dicapai. Di luar sana, ada suara yang cuba memburukkan umat Islam yang tidak produktif dalam bulan ini, termasuk yang beragama Islam juga. Dari suatu sudut, mulut skeptik dan tidak senang ini tidak pernah tidak senyap, pada masa yang sama juga perlu untuk kita mengelak fitnah tersebut berpunca daripada diri kita sendiri.

10. Indahnya Ramadan, buat akhirnya adalah kerana ia mengorientasikan semula objektif dan neraca ukuran diri kita. Ganjaran yang tersedia melalui Ramadan ini bukannya berbentuk material, seperti yang biasa kita kejar dalam kehidupan seharian, sebaliknya merupakan keberkatan, pahala, syurga, keampunan, penerimaan amal dsb. Ia merupakan suatu pesta yang hasilnya tak diterima sekarang, melainkan pada kehidupan selepas kematian nanti. Ia merupakan sesuatu yang dikejar oleh mereka yang beriman kepada yang ghaib. Bagi mereka, Ramadan bukan sekadar untuk ibadah peribadi, tetapi juga bersama komuniti. Ia bukan sekadar kerohanian, tetapi juga perjuangan. Bagi mereka yang berpegang pada hadis, “Sesiapa yang berpuasa / mendirikan Ramadan / qiamullail dengan keimanan dan mengharapkan balasan, …”, pasti akan merasai bahawa Ramadan ini sangat indah.

Faqih Ahmad Shuhaili
Zahra’ Zainurrashid
Mei 2019

No comments:

Post a Comment

Labels