Wednesday, 23 November 2011

Jangan Kedekut


Sheffield, 6 Nov – Kekalahan empayar Uthmaniyyah dan kejatuhan empayar Melayu Melaka disebabkan umat Islam ketika itu kedekut dengan apa yang mereka ada.” Begitu antara intipati khutbah Hari Raya Aidiladha yang disampaikan oleh Ustaz Sarip b Adul, Yang Dipertua Isma Kota Kinabalu baru-baru ini.

Jelas beliau, agama Islam memerlukan pengorbanan daripada kalangan umatnya. Namun, apa yang menyedihkan ialah umat Islam pada hari ini semakin kedekut dengan apa yang mereka miliki dan merasa berat untuk melakukan pengorbanan berupa harta, tenaga dan masa untuk agama. Hal inilah yang menyebabkan agama Islam dilihat terhina pada masa kini.

Khutbah beliau ini disampaikan ketika Sambutan Hari Raya Aidiladha anjuran Sheffield Malaysian Student Association (SMSA) dan Persatuan Masyarakat Pelajar Malaysia Sheffield (PMPMS) yang diadakan meriah dengan kehadiran lebih 100 warga komuniti pelajar prasiswazah dan pascasiswazah di sini.

Ketika membentangkan perkongsian “Bidak-bidak di Papan Catur” pada waktu malamnya pula, beliau menambah bahawa musuh-musuh umat Islam seperti Yahudi, Nasrani dan golongan munafik bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh untuk merosakkan manusia khususnya umat Islam. Tambah beliau lagi, dari sudut pembahagian masa pula, umat Islam masih belum cukup memperjuang dan menegakkan agama Islam. Hal ini kerana musuh musuh umat Islam ini bekerja siang dan malam untuk merosak dan meleburkan keperibadian Muslim dalam kalangan umatnya.


Ustaz Sarip yang juga merupakan Ahli Majlis Fatwa Negeri Sabah sedang berada dalam siri jelajahnya ke negara Eropah seperti United Kingdom, Ireland dan Czech selama dua minggu untuk mempromosikan slogan terbaru Isma, “Membangun Umat Beragenda”. Turut menemani beliau, Engr. Mohd Khoushaini Mohd Naim mewakili Sekretariat Antarabangsa Isma (Sektar). Pengisian yang diadakan berkisar usaha menangkis agenda barat seperti humanisme, liberalisme dan plarisme agar dapat Membangun Umat Beragenda

Laporan Oleh:
Faqih Ahmad Shuhaili
Ketua Syukbah Isma Sheffield
Website: Isma Eropah

Popular Posts